BAB 19

3 0 0
                                    

Imbas kembali...

Awal tahun 2003

Juita melangkah ke aras dua dan menuju perlahan-lahan ke arah dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Delima. Dia yang berbaju kurung Pahang hijau dengan corak bunga-bunga kecil itu datang lewat sikit di sekolah. Dari kejauhan sewaktu di pintu pagar utama lagi Juita sudah melihat kelibat rakan-rakannya yang sudah selesai mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2002.

Keadaan di dalam dewan dan sekitarnya memang sedikit hingar-bingar. Juita lihat ada yang sedang bergelak tawa sambil berpeluk-pelukan. Itu geng Ahmad Ardi, memang sepatutnya mereka bergelak tawa tika ini. Geng harapan nusa bangsa sekolah mereka untuk dapat semua 'A.' Tak kurang juga yang senyum-senyum tawar. Yang itu Juita agak pasti yang reda dan terima saja keputusan yang mereka dapat. Nak sedih pun tak berapa nak sedih, nak gembira sangat pula rasa melampau. Yang menangis teresak-esak pun ada. Itu jenis yang pasti akan ambil kertas Julai. Itu geng Anita. Tapi, Juita tak berapa nak ikut sedih sangat dengan mereka sebab semuanya datang daripada keluarga yang berada. Emak ayah mampu taja untuk sambung belajar terus ke luar negara. Bakal suami pun tentu daripada golongan yang ada-ada juga.

Sebenarnya, bukan mereka semua itu yang Juita kesahkan sangat. Selain daripada perasaan berdebar-debar untuk ambil keputusan SPM, ada satu lagi sebab yang membuatkan dada Juita berdetak kencang. Dia mencari-cari kelibat Nabil Fadhlan. Setelah beberapa bulan tidak bersua muka selepas tamat kertas peperiksaan yang terakhir, dia ingin berjumpa dengan lelaki itu.

***

5A daripada sepuluh buah subjek yang dia ambil. Juita memang bersyukur sungguh. Malah dia mungkin lebih gembira daripada geng Ahmad Ardi yang 'A' semua subjek itu. Kalau boleh dia bukan setakat mahu berpeluk-pelukan dengan rakan lain, tapi mahu buat lompat bintang depan cikgu kelas dia. Namun, peringatan ibunya yang sering kali menyuruhnya menjaga gengsi di hadapan orang ramai tetap Juita ingat. Maka, atas sebab itu jugalah dia menyarungkan sepasang kurung Pahang agar dengan pakaiannya yang feminin ini akan merencatkan niatnya yang kurang adab itu. Itulah kuasa baju kurung. Mampu membuatkan seorang perempuan yang kasar menjadi lemah lembut tiba-tiba.

"Nabil!" Juita segera berpaling ke arah suara yang memanggil nama keramat itu.

Anggerik. Juita sudah mengagak yang suara itu kepunyaan Nur Anggerik. Gadis paling popular di sekolahnya itu. Selepas tamat zaman persekolahan pun Si Anggerik yang berkulit putih kemerah-merahan dan berlambut lurus sehingga paras melepasi bahu itu masih lagi popular, glamor dan meletup-letup. Sebenarnya sewaktu Juita sampai di pagar besar sekolah lagi, dia sudah nampak kelibat Anggerik itu. Anggerik datang seorang diri saja tapi dengan memandu kereta Honda Civic berwarna hitam berkilat. Jelas dan nyata itu bukan kereta hasil titik peluhnya dan memandangkan dia datang daripada keluarga yang kaya-raya, tentulah itu kereta pinjam ayah atau ibunya, getus hati kecil Juita yang penuh iri itu. Sebaik sahaja Anggerik melangkah keluar dari keretanya (dan tentulah dengan penuh bergaya persis model antarabangsa),

Sebenarnya lagi, bukan kereta Honda Civic atau populariti Anggerik yang Juita irikan itu. Ia lebih daripada itu. Ia melibatkan soal maruah dan perasaannya. Lebih tepat lagi ia melibatkan Nabil Fadhlan.

"Nabil Fadhlan." Suara itu bergema lagi. "Berapa you dapat?" Suara yang penuh rasa teruja itu Juita dengar dengan penuh tekun. Dia memalingkan badannya daripada menghadap Nabil dan Anggerik supaya mereka berdua tidak dapat mengesan kehadirannya.

"Ni hah. Tengoklah. You punya?" soal Nabil pula sambil menunjukkan slip peperiksaannya kepada Anggerik. Mereka bertukar-tukar slip dan sekali-sekala kedengaran bunyi tawa kecil di antara mereka.

Adakah keputusan mereka seperti yang dijangka, iaitu cemerlang? Hati kecil Juita bertanya namun sudah pastilah tiada jawapan yang sahih yang muncul melainkan andaian-andaian kosong sahaja. Nampaknya kedua-dua mereka memang berahsia dan tidak mahu berkongsi keputusan yang mereka dapat. Sweet la konon? Huh! Juita mengetap bibirnya dan memejamkan mata. Kalau ditanya apa perasaannya ketika ini, jujur dia rasa sebak dan iri pada masa yang sama. Apa yang dia bayangkan beberapa bulan yang lalu bukannya seperti ini.

Juita datang sendirian, ambil slip peperiksaan sendirian dan pulang juga sendirian kini. Sewaktu Juita mahu turun ke aras satu, dia terserempak dengan Nabil dan Anggerik. Wajah Nabil memang kelihatan tidak senang dan terkejut melihat Juita.

Nabil, kenapa terkejut? Sebab sudah tertangkap dia dengan Anggerikkah? soal hati Juita. Namun, Juita terus saja berlalu meninggalkan mereka berdua. Tidak betah dia melihat bebola mata Anggerik yang dari tadi duk menjelingnya tajam. Juita sendiri berasa kasihan dengan seksaan yang dialami oleh bebola mata Anggerik itu.

Namun, tanpa disedari oleh Nabil dan Anggerik, Juita mengekori mereka senyap-senyap sehingga mereka keluar ke tempat letak kereta. Rupa-rupanya Anggerik mempelawa Nabil menaiki keretanya. Tentu sahaja mereka tidak terus balik ke rumah. Mesti mereka ada rancangan lain misalnya makan-makan di mana-mana restoran dulu ke. Membayangkan itu benar-benar membuatkan hati Juita bagi ditikam-tikam dengan belati tajam.

Pandangan Juita terus sahaja ditancap ke arah gerak geri Nabil dan Anggerik sehinggalah kereta Honda Civic kepunyaan Anggerik hilang, kabur, dan lenyap daripada pandangan. Dan itulah kali terakhir Juita melihat Nabil dan Anggerik. Kehilangan Nabil dan Anggerik setelah mengambil slip peperiksaan SPM sememangnya membawa banyak persoalan kepada rakan-rakan yang lain. Pada mulanya tiada siapa yang perasan sehinggalah rakan-rakan rapat mereka berdua tidak dapat menghubungi mereka. Apabila ditanya pada keluarga Nabil dan Anggerik, mereka cuma menjawab yang Nabil dan Anggerik sudah awal-awal dihantar untuk sambung pelajaran di luar negara. Negara mana? Jangan ditanya.

Entah apalah yang berahsia sangat, Juita pun tidak tahu. Rakan-rakan lain ada juga yang buat spekulasi sendiri. Katanya, mereka dipaksa kahwin setelah buat onar. Juita hanya mampu melafaz istighfar apabila mendengar khabar angin itu dan terus sahaja menolak dakwaan kejam itu.

***

Kini...

2015

Kehilangan Nabil dan Anggerik masih menjadi misteri setelah 12 tahun berlalu. Rakan-rakan sekolah Juita yang lain satu per satu mula tidak mengambil endah atau melupakan tentang Nabil dan Anggerik. Tetapi tidak bagi Juita. Dia pernah bercerita tentang hal itu dengan Aliff dan menurut teori Aliff, ada kemungkinan juga Anggerik dan Nabil telah diculik oleh makhluk asing dan keluarga mereka telah diugut untuk tidak memberitahu sesiapa kalau tidak mahu Nabil dan Anggerik mati. Terus saja Juita menolak tanpa kasihan teori mengarut itu walaupun ia jauh lebih baik daripada khabar angin tentang mereka terpaksa kahwin itu. Dan Juita juga tahu Aliff saja kemukakan teori entah apa-apa itu untuk menceriakan hatinya setiap kali dia bercerita tentang Nabil. Selalunya tentang Nabil saja. Jarang-jarang sekali mulut Juita menyebut nama Anggerik. Dia tak betah dan tak reti. Rasa kelat saja di mulutnya kalau nama Anggerik itu disebut.

Kini jelas, teori rakan-rakan sekolahnya dan teori Aliff jauh meleset. Selepas 12 tahun tidak bersua muka, takdir telah menemukan Juita dan Nabil secara tidak sengaja di acara tandatangan Ikhwan Oh La La. Sekarang barulah Juita mengerti makna sebenar magis.

Kata Nabil, memang benar dia telah dihantar oleh keluarganya ke luar negara untuk menyambung pelajaran, tetapi apabila Juita bertanyakan kenapa dia terus senyap, hilang tanpa khabar berita, Nabil terus hilang kata-kata. Akhirnya Nabil memberitahu bahawa belum sampai masanya lagi dia membuka cerita pada Juita. Dia perlukan waktu yang sesuai... dan Nabil cuma dapat memberitahu ia ada kena-mengena dengan Anggerik. Nur Anggerik!

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now