BAB 22

3 0 0
                                    

Juita dan Aliff sudah selamat berada di Restoran Nyonya Kitchen di Plaza Masalam Shah Alam. Sebelum masuk ke dalam restoran tersebut, Juita awal-awal ingatkan pada Aliff supaya melihat-lihat dulu keadaan restoran tersebut. Dia tidak mahu terserempak dengan Nabil dan Anggerik di restoran yang sama. Maklumlah, restoran ini dulu memang restoran yang agak popular dalam kalangan kawan-kawan sekolah Juita sebab ia berdekatan dengan sekolah mereka. Takut-takutlah kalau Nabil dan Anggerik mahu mengenang masa lalu dengan menjamu selera di restoran ini.

Setelah mendapat pesanan ringkas daripada Aliff yang semuanya selamat, barulah Juita melangkah keluar dari tandas dan menuju ke restoran tersebut.

***

Juita memicit-micit kepalanya sementara menunggu makanan sampai. Dia minta Aliff pilihkan saja menunya dan dia hanya mahu meneguk air sejuk dingin saja ketika ini. Air manis-manis akan buat kepalanya semakin pening.

"Betul ke yang kita nampak tu Nabil?" soal Juita sekali lagi. Masuk ni, Aliff kira sudah lima kali Juita bertanyakan hal tu. Aliff hanya mengangguk, mengiakan. "Dia kata dia tak nak jejak kedai buku buat masa terdekat ni," sambung Juita lagi..

Aliff menyandarkan badannya pada kerusi. Dia melihat saja tingkah Juita yang masih tidak menjamah sebutir pun nasi di dalam pinggannya itu. Aliff lihat Juita. Juita pandang nasi dengan pandangan kosong. Sama-sama tidak menjamah apa-apa lagi.

"Sebenarnya itu bukan persoalannya, Juita." Aliff memberitahu tiba-tiba.

Juita memandang Aliff dengan kerutan seribu di dahi. Dia perlukan penjelasan daripada kata-kata itu.

"Kau sendiri faham maksud aku," sambung Aliff lagi. Dia memang boleh baca apa yang ada di minda Juita ketika itu. Kadang-kadang dia sendiri pun hairan bagaimana dia dan Juita boleh membaca fikiran masing-masing walaupun tiada seorang pun yang ada kelebihan telepati.

Juita mengeluh berat. Dia mengeluarkan penyedut minuman daripada gelasnya itu, dan meneguk lebih daripada separuh air sejuk di dalam gelas itu. Lega tekaknya. Namun, ia masih tidak mampu melegakan hatinya yang masih walang itu.

"Yang kau betul-betul nak tahu sebenarnya ialah kenapa Anggerik tu ada dengan Nabil tadi, kan?" soal Aliff.

"Aku tak tahulah, beb. Aliff kata dia tak suka kat Anggerik tu. Dia pernah beritahu aku yang kadang-kadang dia Anggerik tu macam ada sesuatu."

"Sesuatu apa?" soal Aliff lagi.

"Entah. Itu aku tak tanya. Aku memang tak nak tanya Nabil lebih-lebih fasal Anggerik. Muka dia memang berubah kalau nama Anggerik disebut-sebut. Lagipun, telinga aku pun gatal-gatal aje kalau dengar nama dia." Juita tersenyum sumbing, sekadar menutup hati yang gundah itu.

"Dah... makanlah. Kau boleh tanya Nabil nanti. Mungkin mak ayah dia orang yang suruh keluar sama-sama kut. Kau juga yang kata keluarga dia orang berkawan baik." Aliff menyuap nasi putih yang digaul bersama asparagus goreng masak bersama bawang putih itu.

"Kau rasa, mak ayah dia orang ada rancangan apa-apa ke?" soal Juita penuh curiga. Dia mula menyuap sedikit nasinya ke mulut. Aliff mencedok sedikit sambal petai udang dan meletakkannya di dalam pinggan Juita apabila dia melihat Juita hanya mengunyah nasi kosong saja.

"Rancangan? Maksud kau macam ada udang di sebalik batu ke?" soal Aliff.

Juita mengangguk, "Haah. Entah-entah mak ayah dia orang nak jodohkan mereka berdua."

"Isy, manalah aku tahu. Otak kau ni dah tepu dengan plot novel-novel cinta ni. Sekarang ni, kau tak payah buat spekulasi yang bukan-bukan."

"Tapi, apa pun boleh jadi, Aliff. Cerita dalam novel tu kadang-kadang boleh jadi kat dunia realiti. Kau tak boleh ambil mudah benda-benda macam ni. Kau ingat novelis-novelis cinta tu tulis novel ikut nafsu fantasi dia orang aje ke? Kadang-kadang ada yang ambil daripada cerita betul." Juita mempertahankan.

"Okey... okey. Kalaulah itu yang kau rasakan, aku tak boleh kata apalah. Aku memang takut dengan peminat tegar novel cinta ni." Aliff angkat kedua-dua belah tangan tanda menyerah. "Tapi, aku cadangkan kau tanya sendiri Nabil nanti. Kau jangan terus pergi serang dia. Kau kena jadi watak gadis-gadis heroin yang sopan santun dan jaga gengsi bak kata mak kau tu. Jangan jadi perempuan yang kaki mengamuk dengan bibir merah melekat dengan lipstik Revlon macam watak-watak wanita antagonis atau watak wanita pengacau dalam novel-novel cinta yang kau selalu baca tu. Faham?"

Juita mengangguk. "Aku risaulah, Aliff."

"Apa yang kau risaukan?" Aliff mengerut dahinya memandang ke arah Juita yang sudah tertunduk memandang jauh ke dalam pinggannya. Jauh benar fikirannya.

"Aku risau kalau aku yang jadi si pengacau tu. Mungkin aku sebenarnya wanita yang kedua. Bukan Anggerik." Juita mengetap bibirnya.

"Juita, kau tak boleh macam ni. Kau tak boleh putus asa. Memang kehidupan realiti kadang-kadang boleh sama dengan cerita dalam novel, tapi kau tak boleh serahkan bulat-bulat untuk jadi macam dalam novel. Kau tak tahu lagi macam mana pengakhiran cerita kau dengan Nabil. Jadi, kau sendiri yang kena tulis cerita kau. Bukan orang lain, bukan Nabil dan bukan Anggerik. Yang penting kau cuba dulu. Aku rasa Nabil mahu jumpa kau semula bukan hanya saja-saja. Mungkin ada perkaran penting yang dia nak beritahu, tapi bukan masanya. Hal hati dan perasaan kita tak boleh terlalu memaksa. Kena sabar... sabar dan sabar."

"Betul ke?"

Aliff angguk laju. "Kalau tak, tak adalah dia beria-ia nak jumpa kau semula lepas 12 tahun."

Perlahan-lahan Juita mengukir sebuah senyuman nipis. Walaupun gundahnya masih belum benar-benar hilang, sekurang-kurangnya ada sedikit kelegaaan mendengar butir bicara Aliff itu.

"Juita, aku nak tanya sikit."

"Apa dia?"

"Kau... betul-betul suka pada Nabil Fadhlan?"

Juita terdiam sebentar. Dia mengangguk kecil dan perlahan. Kecil dan perlahan sehingga tidak terlihat anggukan itu. Hatinya terasa sebak entah mengapa. Dan entah mengapa soalan itu tiba-tiba menjadi soalan yang sangat sukar sekali buatnya, lebih-lebih lagi apabila ia ditanya oleh Aliff.

Suka? Ya, hatinya menjawab laju soalan Aliff itu. Dia memang suka pada Nabil. Nabil punyai segalanya apa yang dia seperti lelaki idaman.

Juita melihat Aliff terus menyambung suapannya dengan diam tanpa memandang ke arahnya lagi.


Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now