BAB 48

3 0 0
                                    

Restoran KFC, Seksyen 2 Shah Alam.

Dia nampak pandangan Nabil berbeza dengan pandangan yang sebelum-sebelum ini. Juita dapat merasakan ada satu rahsia yang cuba disembunyikan oleh lelaki itu. Perlahan-lahan Nabil melangkah ke arahnya. Jika sebelum ini, Juita merasakan cara berjalan dan gaya pandangan Nabil itu adalah gaya paling romantik yang dia pernah tengok, tapi tidak kali ini. Juita rasa lain macam.

Ada rasa sedih dan sayu dalam pandangan Nabil.

Nabil kemudiannya berhenti betul-betul di hadapan Juita. Jika lagi dua langkah Nabil ke hadapan, sahlah dahinya akan berlaga dengan dahi Nabil.

"Kenapa?" tanya Juita kehairanan.

"Syyy..." Cepat-cepat Nabil menyuruh Juita diam sambil jari telunjuknya dihalakan ke bibir. Sambil-sambil itu mata Nabil meliar-liar di sekeliling seperti mencari sesuatu atau seseorang.

"Ada apa ni?" tanya Juita separuh berbisik.

"Ingat tak hari tu saya pernah beritahu awak fasal cerita Anggerik dengan Arman?"

Juita mengangguk. Hatinya sendiri pula yang berdebar-debar kini.

"Anggerik dengan Arman tu dulu pasangan kekasih." Nabil memberitahu sungguh-sungguh. Gaya Nabil yang seperti wartawan gosip hiburan, tetapi dengan wajahnya yang serius itu membuatkan Juita yang pada mulanya tidak percaya, jadi percaya pula.

Memanglah dia pernah dengar khabar angin tentang hubungan luar alam Anggerik dan Arman, tetapi Juita hanya anggap sebagai khabar di angin lalu. Arman tidak pernah bersekolah sama dengan mereka. Arman bersekolah di asrama penuh dan sewaktu Anggerik baru masuk ke sekolah mereka semasa di tingkatan tiga, Arman sudah pun tamat persekolahan. Sudah berumur 18 tahun dan menunggu masa untuk mengambil keputusan SPM saja.

Lagi pula, siapa yang mula-mula sekali buat cerita tentang hubungan terlarang antara Anggerik dan Arman tu? Juita pun dengar-dengar cerita itu daripada kawan sekelasnya, Zamani yang dengar cerita daripada Hanim, rakan dari kelas sebelah dan Hanim pula katanya mendengar cerita daripada rakan-rakan sekelas Anggerik sendiri. Dan, dari mana pula rakan-rakan sekelas Anggerik merangkap BFFnya sewaktu di sekolah itu dapat cerita sensasi itu. Daripada mulut Anggerik sendirikah?

"Saya yang buka mulut fasal cerita Anggerik dan Arman tu." Nabil mengaku apabila Juita memberitahu yang dia tidak percaya pada khabar angin itu. Walaupun hati Juita tidak berapa suka dengan Anggerik itu, tapi tidaklah sampai mahu menuduh yang Anggerik ada hubungan songsang dengan abang sendiri. Tapi Nabil...

"Biar betul? Takkan awak sanggup reka cerita macam tu sampai Anggerik..."

"Saya tak reka cerita. Itulah kenyataannya. Anggerik dan Arman memang ada hubungan yang lebih daripada hubungan adik dengan abang."

Juita sudah menutup mulutnya yang ternganga tidak percaya. Benar-benar dia tidak percaya. Pertama, tentang hubungan Anggerik dan Arman. Kedua, tentang gerangan orang yang menyebar cerita itu.

"Juita, pandang sini. Tengok mata saya. Awak mesti ingat saya ni kejam sebab malukan Anggerik satu sekolah sampaikan Pengetua pun tahu. Tapi, ramai orang tidak tahu cerita di sebalik cerita tu, Juita."

"Apa cerita sebenarnya?" Juita mula rasa duduknya tidak selesa.

"Saya bukan sengaja mahu aibkan Anggerik. Malah, saya dah tahu lama yang Arman ada hati pada adik dia sendiri sebelum saya rapat dengan Anggerik lagi."

"Macam mana awak kenal dengan Arman?" Ya, Juita mahu tahu bagaimana hubungan Arman-Nabil ini boleh wujud.

"Ayah kami dulu kawan sekerja. Mereka berdua agak rapat. Jadi, papa Arman rajin juga datang ke rumah kami. Dia akan bawa Arman sekali. Selalunya memang dia orang berdua aje yang datang ke rumah keluarga saya. Papa Arman tak pernah bawa isteri dia dan Anggerik sekali. Mungkin saya rasa ia lebih kepada hal-hal lelaki, jadi perempuan tak payah masuk campur. Lagipun, mak saya hanya muncul waktu sediakan air dan kuih-muih saja. Lepas tu, terus ke dapur atau naik masuk bilik semula. Mak saya pun tak masuk campur borak-borak ayah saya dan ayah Arman.

Waktu tu saya baru umur enam tahun dan Arman tua tiga tahun daripada saya. Setiap kali Arman dengan papa dia datang rumah, saya akan ajak Arman main sekali. Macam-macam permainan kita orang main. Semua permainan saya, saya akan keluarkan dan main dengan dia. Daripada main kat dalam rumah, sampai ke laman rumah. Saya dengan Arman memang macam abang dan adik. Saya seronok berkawan dengan dia.

Walaupun saya dengan Arman selalu main sama-sama, saya sebenarnya perasan sesuatu pada papa Arman. Setiap kali dia datang rumah, muka dia akan datang dengan muka yang tak gembira. Macam orang yang ada masalah besar."

"Dia jumpa ayah awak untuk apa? Ceritakan masalah dia ke?" Juita semakin tertarik dengan cerita Nabil.

Nabil menjengkitkan kedua-dua belah bahunya. "Tak tahu. Tapi kadang-kadang saya terdengar ada suara esakan di sebalik dinding yang memisahkan saya dengan papa Arman dan ayah saya."

"Papa Arman menangis?"

Nabil mengangguk.

"Sebab apa, ya?" Juita lebih bertanya pada dirinya sendiri walaupun dia tahu tiada jawapan yang menjelma.

"Saya pernah tanya Arman, tapi dia sendiri pun tak tahu. Kami pun masa tu masih kanak-kanak. Jadi, kami memang tak tahu cerita sebenar. Tapi, Arman pernah beritahu saya yang dia kesian dengan adik dia. Dia sayang adik dia. Saya tak tahu masa tu dia ada adik-beradik lain."

"Jadinya?"

"Keluarga saya terputus hubungan dengan mereka apabila papa Arman tak datang lagi ke rumah kami. Saya tanya ayah, ayah kata mereka dah pindah jauh. Tak tahu ke mana. Sampailah... beberapa tahun kemudian, sewaktu saya hantar Anggerik pulang, baru saya tahu yang keluarga Arman duduk dekat dengan kawasan perumahan saya. Dia dah pindah semula ke rumah lama."

"Awak kenal Anggerik dan tahu dia tu adik Arman?"

"Ya. Saya pernah tengok mereka berdua naik kereta yang sama yang dipandu oleh Uncle Amirul, papa Arman. Mula-mula saya tak syak mereka adik-beradik, tapi apabila saya tahu nama papa Anggerik pun Amirul, saya tahu Uncle Amirul tu memang papa Anggerik."

Juita melepaskan satu keluhan berat. Cerita Nabil masih belum sampai ke titik akhir sebenarnya. Tapi Juita tetap mendengar dengan sabar. Dia perlu tahu cerita dari mula untuk tahu cerita kontroversi antara Anggerik dan Arman nanti.

"Saya memang suka pada Anggerik sejak mula dia pindah ke sekolah kita lagi. Kali pertama saya jumpa Anggerik di pusat sumber sekolah. Dia seorang diri, baca buku waktu rehat. Dia bukan Anggerik yang ramai yang kenal dulu. Beberapa bulan selepas dia pindah ke sekolah kita, Anggerik seorang yang pendiam dan suka buat hal sendiri. Saya..."

"Err... Nabil. Boleh tak saya nak tanya sesuatu?"

"Ya?"

"Kenapa ya awak boleh suka pada Anggerik?"

Nabil ketawa mendengar soalan Juita itu membuatkan Juita sedikit jengkel.

"Apa yang awak nampak pada Anggerik tu?" Atau apa yang lebihnya Anggerik itu berbanding saya, tanya hati Juita pula. Rasa cemburunya tiba-tiba saja mengembang-ngembang seperti belon yang ditiup.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now