Imbas kembali...
Restoran Uncle K, SACC Shah Alam.
"I... ada seorang abang. Arman namanya. Juita mesti pernah cerita dengan you fasal abang I, kan?"
Aliff tidak mengiakan atau menafikan kata-kata Anggerik itu, tetapi daripada senyum segarisnya, Anggerik tahu Aliff mengenali Arman lewat cerita-cerita daripada Juita. Kisah dia dan Arman memang popular suatu masa dahulu.
"Abang Arman memang kesayangan mama dengan papa I. Lepas lebih lima tahun kahwin tanpa zuriat, Abang Arman hadir tanpa diduga. Mula-mula memang semuanya okey. Kehidupan keluarga I tak ada masalah walaupun keluarga kami sederhana saja. Taklah kaya-raya macam sekarang ni. Selepas tiga tahun kehadiran Abang Arman, I pula lahir dalam keluarga tu. Mama I gembira sangat sebab dia tak sangka dia boleh lahirkan seorang anak perempuan yang comel. Itu kata dialah." Anggerik tertawa kecil sebelum menyambung kata lagi.
"Tapi, beberapa bulan selepas I lahir, kehidupan kami sekeluarga jadi terumbang-ambing. Papa I tiba-tiba jatuh sakit dekat tempat kerja. Sakit misteri katanya. Mula-mula bawa berubat kat hospital, tapi doktor tak dapat kesan apa-apa. Doktor kata papa mungkin terlalu penat bekerja sampai boleh jatuh sakit kat tempat kerja. I tahu papa memang kerja kuat walaupun masa tu I kecil lagi. Sebab mama selalu beritahu I yang cita-cita papa mahu ada syarikat sendiri, jadi orang kaya-raya. Mama adalah orang yang sokong papa dari belakang."
"Papa kau memang dah dapat capai cita-cita dia." Aliff mencelah.
"Ya. Orang nampak kami kaya-raya, hidup senang. Nak beli apa pun boleh petik jari aje dah keluar duit beratus-ratus ringgit. Tapi cerita di sebalik keluarga kami, tidak seindah mata orang yang melihat."
"Apa jadi lepas tu? Papa kau sakit... kemudian?"
"Mama dengan Tok Isa bawa papa pergi jumpa seorang ni untuk berubat. Tok Isa ni atuk I, bapa kepada papa I. Mama kata dia tak tahulah nak kata orang tu bomoh ke atau ustaz. Dia ada kedua-dua ciri tu. Nama orang tu I dah tak ingat, tapi dah lama mati." Ada senyum sinis terukir di wajah Anggerik.
"Uih, mati? Dia bukan binatang. Cakaplah yang dia dah meninggal dunia." Aliff mencelah dan cuba beri 'ceramah' pendek tentang penggunaan perkataan yang sopan.
"Cerita I tak habis lagi." Anggerik meninggikan sedikit suaranya membuatkan Aliff menyuruh dia teruskan ceritanya kembali. Dia tak ada masa nak layan ceramah Aliff.
"Lepas balik dari berubat dengan entah siapa-siapa tu, mama kata Tok Isa dah mula bising-bising. Mama dengan papa tak banyak cakap masa tu, tapi mama tahu papa macam setuju dengan kata-kata Tok Isa."
"Apa yang entah siapa-siapa tu beritahu?"
"Dia kata... sepatutnya dalam keluarga kami tak boleh ada anak perempuan. Bawa sial."
"Eh? Kau percaya ke?"
"Ya. Itulah yang mama I cerita pada I. Mula-mula I tak percaya cerita mama. Siapa nak percaya cerita mengarut tu. Tapi apabila I tengok kelakuan papa dan Tok Isa yang seolah-olah nak jauhkan diri daripada I, I tahu yang dia orang berdua tu dah termakan kata-kata si jahat tu. Mama I pun tak percaya. Dia seboleh-boleh tolak cerita tu. Mama dan papa gaduh besar fasal benda ni."
"Kalau kau tak cerita fasal ni, aku sendiri tak percaya yang orang kaya macam keluarga kau ni boleh percaya benda-benda karut ni."
"Sabar, I tak habis cerita lagi. Tunggu I habis, lepas tu you nak menyampuk sampai malam, silakan..."
"Okey."
"Terus-terang I bagi tahu you yang papa I memang tak suka I. Dia kalau boleh tak nak mengaku yang I ni anak dia. Selepas papa jatuh sakit, dia terpaksa duduk dekat rumah lapan bulan. Mama yang kerja sara kami dengan gaji tak seberapa. Waktu papa dekat rumah, dia sihat aje. Tapi apabila dia nak kerja semula, dia akan jadi sakit tiba-tiba. Tok Isa cadangkan I dihantar jauh dari rumah tu. Dengan kata lainnya, Tok Isa suruh papa buang I. Buang I, okey! Gila! Papa, walaupun dia tak suka I, tapi sekurang-kurangnya dia ada sedikit sikap peri kemanusiaan. Mungkin sebab I ni anak daripada darah daging dia sendiri. Lagipun, mama I memang menentang keras keputusan tu. Cumanya..." Anggerik terdiam tiba-tiba.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...