BAB 15

3 0 0
                                    

"Juita, saya tak sangka kita boleh berjumpa semula." Nabil memulakan bicara setelah mereka berdua memesan makanan masing-masing di sebuah restoran lima bintang yang berdekatan.

Tidak. Sebenarnya adegan memesan makanan di restoran mewah itu hanyalah bayangan Juita semata-mata. Mana mungkin setelah apa yang berlaku tadi, Juita mampu makan dengan tenang di restoran mewah. Meneguk air pun dia tersekat-sekat ketika ini. Nabil hanya mengajaknya untuk bertemu pada jamuan ringkas di kedai buku Gila Novel itu selepas selesai acara. Juita hanya mengangguk dan bersetuju. Itulah yang dia harap-harapkan selama ini walaupun hakikatnya kalau boleh ketika ini dia mahu sahaja mengajak Aliff pulang segera. Bercerita tentang Aliff, sebelum itu, Juita sudah menghantar pesanan pada Aliff bahawa dia tidak boleh pulang bersama-sama dengan temannya itu. Ada hal penting katanya dan Aliff digesa supaya tidak terus menunggunya. Jangan susahkan diri sendiri. Itu amaran Juita pada Aliff.

Usai membaca pesanan Juita, Aliff membalas ringkas mesej itu.

Aku penat tunggu kau. Jadi, aku balik dulu. Dah selamat ada kat stesen, tengah tunggu tren. Jaga diri.

Juita berasa lega membaca pesanan itu. Risau juga dia pada rakannya itu kalau tertunggu-tunggu. Dia tak mahu Aliff susah hati dan jelas kini memang Aliff tak susah hati padanya, malah penat pula menunggunya.

***

Rasa segan menyerbu masuk ke dalam hatinya tak henti-henti. Rasa gembira apatah lagi saat Nabil menyebut nama penuh seperti dalam kad pengenalan itu. Tidak dia menyagka yang Nabil Fadhlan masih mengingatinya. Dunia memang berbaik hati dengannya pada hari ini.

Juita meneguk perlahan-lahan minuman yang dihulurkan oleh Nabil kepadanya tadi dengan harapan perasaan gugupnya itu hilang. Nabil masih lagi begitu, memandangnya tajam seolah-olah menyimpan banyak perkara sepanjang mereka tidak berjumpa. Ya, memang banyak perkara yang Juita tidak tahu sejak kehilangan Nabil dulu.

"Awak nampak lain." Nabil masih memandang ke arah Juita. "Mujur saya dapat cam awak tadi," sambung Nabil.

Juita tersenyum menutup rasa segan. "Apa yang lain?" soalnya.

"Nampak... lebih matang dari dulu."

"Saya dah tua. Memang sepatutnya nampak matang."

"Kita sama-sama dah tua," balas Nabil pula. Juita hanya angguk mengiakan. Ya, tua dan matang. Kombinasi yang sepadan.

"Juita..." Nabil memanggil namanya perlahan.

Juita yang sejak tadi asyik memandang ke arah minumannya, menoleh ke arah wajah Nabil. Dia dapat mengesan sesuatu pada nada suara lelaki itu. "Ya?" soalnya.

"Nabil..."

"Juita, saya rindu pada awak." Nabil segera mencantas kata-katanya.

***

Aliff tidak perlu mendengar isi perbualan mereka yang lain. Cukuplah ayat terakhir daripada Nabil itu mengesahkan segala-galanya. Dia segera berlalu di sebalik tirai persembunyiannya itu, meninggalkan Juita dan Nabil meneruskan sesi jejak kasih mereka. Kali ini Aliff benar-benar mahu terus pulang dan menuju ke stesen tren berhampiran. Dia duduk berjam-jam lamanya tanpa mempedulikan tren-tren yang berlalu meninggalkannya.

Aliff akhirnya mendail nombor seseorang. Tidak lama kemudian barulah talian di hujung sana berjawab.

"Helo Leon. Malam ni kau lapang? Aku nak jumpa kau. Bincang fasal hal hari tu."

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now