BAB 46

3 0 0
                                    

Pelanggan yang datang ke kafe hipster Uncle Wan semakin lama semakin ramai. Bunyi bising dengan gelak tawa para pelanggan kadang-kadang jelas membuatkan riak wajah Uncle Wan mencuka. Tetapi memandangkan pelanggan yang datang tidak putus-putus, sekurang-kurangnnya boleh meredakan rasa panas hatinya pada pelanggan-pelanggan mudanya itu.

"Uncle rasa Aliff perlu buat sesuatulah."

Mereka berdua menyambung perbualan tadi. Kali ini nampaknya perbualan lebih ke arah topik asal yang ingin diutarakan.

"Ya..." Aliff tersenyum sumbing.

"Kau tahu ke nak buat apa?" Tiba-tiba suara Uncle Wan sedikit meninggi. Beberapa orang pelanggan berdekatan yang tentunya anak-anak muda sepertinya memandang ke arah mereka.
"Uncle janganlah marah saya. Saya tak biasa kena marah depan orang ramai. Nanti saya boleh jadi terlupa semua benda yang saya nak cakap." Aliff sedikit tergagap. Bukan takut, tapi terkejut. Pertama kali dia kena marah dengan bapak orang lain. Dia yang dididik sebagai anak yang baik budi pekerti memang selalu jadi contoh jiran-jiran di kawasan perumahannya masa kecil dulu. Tak pernah kena marah dengan bapa kawan-kawannya. Tapi, malam ini...

"Uncle tak marah. Saja tinggi suara sikit. Nampak tegas. Jadi lelaki ni tak boleh lembik, gagap. Kena tunjuk yang kita ni boleh jadi pemimpin yang baik. Faham!"

"Ya..." Aliff menjawab sambil mengangguk... tegas. Huh!

"Aku ni bukan apa. Aku risau. Anum itu satu-satunya anak aku. Aku mengaku, kalau boleh aku nak Anum ada depan mata aku 24 jam setiap hari. Tapi, dia pun ada hidup sendiri, hati dan perasaan dia, aku tak boleh kawal seratus peratus. Aku ni hanya ayah dia. Bukan Tuhan dia. Jadi, aku rasa kau pun faham, kan? Memang aku nampak kau orang berdua rapat antara satu sama lain. Aku tumpang suka sebab anak aku bukan macam sesetengah anak-anak gadis lain yang sembunyi-sembunyi dengan siapa dia berkawan daripada mak ayah dia. Anum ni transparent sikit bab berkawan ni. Lagipun, aku memang ajar Anum jangan bohong dengan mak ayah. Alhamdulillah, dia pun tak terikut-ikut perangai budak-budak muda yang entah apa-apa kat luar nun."

Fuh... Aliff yang lebih banyak berdiam daripada bersuara pun sudah penat mendengar butir bicara Uncle Wan. Sekali-sekala Aliff menaruh syak yang Uncle Wan ini ada simpan iri dengan anak-anak muda. Mungkin ada cita-cita yang tidak kesampaian sewaktu zaman mudanya dulu.

"Jadi, aku harap kalau kau betul-betul sayang kat Anum, buatlah cara sayang yang betul-betul. Jangan main-main."

"Maksud uncle?"

"Aik, kata kau faham tadi apa yang aku nak kata?" Uncle Wan berkerut dahi.

"Mula-mula tadi saya memang dah dapat tangkap apa yang uncle nak beritahu saya tadi. Tapi, mukadimah uncle panjang sangat sampai saya jadi keliru. Kalau saya salah sebut, tak fasal-fasal saya rasa malu sendiri. Setahun pun belum tentu malu saya ni hilang." Aliff ketawa kecil tapi tidak disambut pun oleh Uncle Wan. Maaflah, Uncle Wan tidak rasa lucu pun.

"Aku terus-terang ajelah, ya. Mukadimah aku pun tadi kau kata dah panjang. Jadi aku langkau bahagian pantun yang aku salin daripada buku yang aku beli minggu lepas. Senang cerita, kalau kau betul sayang pada Anum dan kau ambil serius dengan perasaan Anum, ambillah dia dengan cara elok. Ambil dia jadi pasangan kau yang sah. Yang halal. Yang tidak menimbulkan apa-apa fitnah. Yang tidak akan buat muka aku dengan mak bapak kau malu. Faham? Aku rasa kau jelas benar dengan apa yang aku nak sampaikan ni. Kalau tak jelas, aku harap kau putus sajalah hubungan kau dengan Anum. Aku tak mahu anak aku berkahwin dengan lelaki yang tak faham kata-kata mudah dan aku pun tak teringin nak bermenantukan lelaki yang yang tak berani bertindak. Lembik dan tak layak jadi pemimpin!"

Aduh... rasa macam bukan sahaja sekali, malah berkali-kali panahan petir menghentam hati Aliff apabila ayat terakhir Uncle Wan itu meluncur keluar daripada mulutnya. Memang jenis tak reti berlapik agaknya Uncle Wan ni. Atau dengan anak-anak muda saja dia begitu? Entahlah.

"Saya tahu, uncle. Saya memang ada niat nak jadikan Anum sebagai suri hati saya. Saya tak sangka pula, uncle yang timbulkan niat ni dulu."

"Sebab kau lambat sangat. Aku buat ni demi Anum. Jadi, kau bersiap sedialah. Jadi suami orang bukan perkara main-main. Banyak benda yang kena ambil berat. Anum bukan anak patung untuk kau nak bagi dia makan pasir tiap-tiap hari."

Aliff mengangguk. Sewaktu minta izin untuk pulang, dia sempat melirik ke arah Anum yang berada di kaunter bayaran. Mereka berbalas senyum tanpa Anum mengetahui bahawa senyum daripada Aliff itu membawa seribu satu beban.

Dan, itulah titik tolak Aliff memberitahu Leon, Abang Amat dan Juita tentang halnya yang mahu mendirikan rumah tangga. Malah, sejak dia mula berjinak-jinak untuk bekerja lebih masa seperti Hafizi itu, sebenarnya adalah untuk ganti semula wang yang dia pernah beri pada Leon dulu. Dia tahu itu tidak mencukupi.

Pada waktu itulah Leon datang kembali dalam hidupnya membawa bersama Abang Amat. Lelaki berlengan ketul-ketul dan bermisai lentik itu setuju untuk membantunya menyelesaikan masalah kewangannya.

Kalaulah Uncle Wan tahu yang anak-anak muda yang sedang bergelak tawa dengan rakan-rakan di kafenya itu mungkin saja baru pulang dari kerja, melepaskan lelah setelah seharian mencari rezeki, dimarahi majikan atau tertekan dengan keadaan trafik yang menaikkan kemarahan, pasti sahaja Uncle Wan tidak akan pukul rata semua anak-anak muda dengan perkara negatif saja. Kalaulah Uncle Wan tahu yang dia kini bakal melakukan lebih daripada satu kerja sama seperti sebahagian anak-anak muda lain, adakah Uncle Wan masih lagi 'bersuka ria' berkata itu ini pada anak-anak muda di luar sana?

Hidup ini bukan hanya ada semata-mata pro atau kontra. Segalanya dicipta seimbang antara positif dan negatif, pro dan kontra, kiri dan kanan, buruk dan baik. Ikutlah sisi mana yang Uncle Wan mahu pandang.

Namun, jauh di sudut hati, Aliff beranggapan yang Uncle Wan ini iri dengan anak-anak muda kerana mungkin dia kempunan nak jadi muda semula. Huh!

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now