Apakah maknanya apabila dengan secara tiba-tiba, kita mulai menyedari yang hari ini jauh lebih berbeza daripada hari-hari yang sebelumnya? Udara pagi yang dihirup saat kita bangun dari lena harumnya bak wangian seri pagi yang segar. Langit siang yang hadir menemani ke tempat kerja, warna birunya membuatkan kita tersenyum sepanjang hari. Dan selama ini baru kita perasan yang burung-burung berkicau dengan tariannya di balik ranting pokok itu rupa-rupanya menyanyikan lagu-lagu cinta buat kita.
Inikah petandanya kita sudah jatuh suka atau segalanya ini hanya sekadar perasaan yang datang dan pergi seperti selalu? Berkali-kali Juita bertanyakan dirinya sendiri tentang perasaannya itu. Sejak pulang daripada berjumpa Nabil tempoh hari, dia lebih banyak senyap. Kadang-kadang termenung seorang diri sehinggakan Rozana yang masih lagi dalam mod merajuk dan enggan bercakap lebih-lebih dengannya itu pun boleh perasan dengan tingkah laku Juita.
Ada rasa risau bertandang dalam hati Rozana. Takut-takut dialah penyebab Juita jadi 'bisu' mengejut ini. Adakah Juita juga mahu bermain tarik tali dengan cuba merajuk dengannya? Rozana agak tidak berkenan dengan taktik itu. Isy, dia tak biasalah jadi orang yang memujuk orang lain ni. Itu bukan dia. Tapi, kalau beginilah berterusan hubungan mereka, terpaksalah Rozana mengalah kali ini. Kali ini saja. Dia bosan tanpa Juita. Rasanya dia dan Juita memang ditakdirkan untuk mengisi kebosanan mereka antara satu sama lain.
"Juita..." Rozana bangun ke arah kubikel rakannya itu dan menepuk lembut bahu Juita. Serba salah dia mahu senyum atau tidak pada rakannya itu. Dia sendiri pun dalam mod merajuk. Namun, dia gagahkan diri untuk senyum juga. Terasa tegang mukanya. Nampak sangat sudah lama tidak senyum.
Juita memandang Rozana dengan pandangan kosong. Ada rasa hairan dengan kehadiran Rozana yang tiba-tiba ke kubikelnya itu. "Apa?" soalnya.
"Err... kau nak makan kat mana tengah hari ni?" soal Rozana. Niatnya satu saja, mahu belanja Juita makan dan sekali gus meminta maaf. Dia mahu hentikan penderitaan ini segera.
"Aku puasa sunat hari ni, Rozana," jawab Juita tenang. Dia masih memandang ke arah Rozana menanti kata-kata seterusnya daripada rakannya itu. Tapi, hampa. Tiada apa yang keluar daripada mulut Rozana. Jadi, Juita teruskan saja kerjanya.
"Sejak bila?" soal Rozana dengan nada terkejut. Ini merupakan satu keajaiban dunia yang berlaku dalam hidupnya.
"Sejak hari ni."
"Okey..." Rozana tidak tahu berkata apa-apa lagi. Mendengarkan nada suara Juita itu yang seperti acuh tak acuh saja menjawab pertanyaannya membuatkan dia ketap bibir. Nampaknya mungkin Juita sudah bosan melayan kerenah mengada-adanya itu. Lalu, Rozana kembali ke kubikelnya, berpura-pura menaip. Biar nampak sibuk sikit. Dan keadaan itu berterusan selama lebih kurang sepuluh minit. Sehinggalah...
"Aku boleh temankan kau makan nanti." Tiba-tiba satu suara menyapa dari kubikel depan Rozana. Tentulah suara Cik Juita.
"Eh, tak apalah. Aku boleh minum air suam aje kat pantri nanti."
"Okeylah kalau macam tu." Suara di sebelah sana membalas.
"Err... boleh jugalah kalau kau nak teman. Aku tak sempat sarapan tadi."
Di sebalik kubikel, Juita hanya mampu tertawa kecil dalam hati. Rozana memang tetap Rozana. Takutlah tu dia merajuk, bisik hatinya.
***
"Rajin kau puasa sunat, ya. Dulu puasa ganti pun payah nak buat. Sampai kena ingatkan, baru nak puasa," kata Rozana sambil mengunyah-ngunyah petai bercampur nasi di dalam mulutnya.
"Aku tak lapar. Tak lalu makan. Tengok makanan pun macam dah tak ada rasa apa-apa. Kenyang aje sentiasa. Tu yang aku ambil keputusan nak puasa sunat hari ni. Lagipun hari ni kan hari Isnin. Eloklah puasa." Juita tersenyum lebar menerangkan sebab dia berperangai aneh hari ini.
"Biar benar kau tak ada selera makan?"
Juita hanya mengangguk sebelum menyambung bicaranya. "Rozana, kau rasa dunia ni berputar betul-betul pada paksinya ke?"
"Err..."
"Kalau kau dengar betul-betul, cuba teka burung-burung gagak yang bertenggek tiap-tiap hari kat wayar pencawang elektrik tu tengah borak fasal apa?" Juita mengangkat kedua-dua belah keningnya.
"Aaak... eh... err..."
"Salah! Mereka tu semua bukan borak fasal aak... aak! Kau tahu tak Rozana, mereka sebenarnya bukan berborak pun. Mereka tengah menyanyi. Nyanyi lagu-lagu cinta yang selama ni kita, manusia ni tak pernah pun perasan. Atau kita sebenarnya tuli dalam menilai..."
"Juita!" Rozana menepuk meja dengan kedua-dua belah tangannya. Nafsu makannya terus hilang mendengar butir bicara yang keluar satu per satu daripada mulut Juita itu.
"Apa? Janganlah jerit-jerit. Tak elok kau malukan aku depan orang ramai ni. Dia orang nak makan pun terganggu dengan suara kau." Juita membalas.
"Kau ni dah kenapa? Kenapa? Kalau kau tak tahan sangat, baik kau buka puasa aje, Juita oi. Mungkin kau kurang gula dalam badan. Aku ingatlah kau ni..."
"Aku ingat... dah tiba masanya aku fikir soal cinta yang lebih realistik." Juita terus saja memotong kata-kata Rozana.
"Eh? Tiba-tiba aje..." Rozana kehairanan.
"Ni bukan tiba-tiba. Ini sebenarnya impian aku sejak dulu lagi. Sejak zaman sekolah menengah lagi." Juita membalas.
Rozana tertawa kecil sebelum menyambung kata, "Sebenarnya sejak kau jumpa semula Si Mambang Kuning tu, kan?"
"Kau tahu, dia masih ingat aku lagi. Dia ajak aku jumpa dia lepas acara tu. Kita orang berborak tapi tak lama sangat sebab dia pun ada hal lain. Tapi dia kata, dia akan hubungi aku nanti. Kau rasa...?" Juita pula menyoal Rozana.
"Aku rasa... baguslah. Tapi apa hubungan kau orang berdua sebenarnya selain daripada kawan satu sekolah?" soal Rozana.
Juita mengeluh panjang. Banyak perkara yang bermain-main di fikirannya semenjak dia bertemu semula dengan Nabil Fadhlan. Banyak sungguh...
"Panjang ceritanya, tapi apa yang boleh aku katakan hal aku dengan dia tergantung tanpa apa-apa penjelasan... sampai sekarang."
"Jadi, kau nak jumpa dia beria-ia sangat tu, nak minta penjelasan daripada dialah? Macam tu?" soal Rozana.
"Aku rasa itu semua cerita zaman sekolah menengah. Cerita budak-budak remaja. Jadi, terpulang pada dia mahu jelaskan ataupun tidak. Yang aku tahu, dia yang beria-ia nak jumpa aku semula. Dia nak ajak aku keluar kalau ada waktu lapang nanti. Aku tahu akan banyak benda kami nak borak. Hal-hal masa depan, misalnya. Itu yang lebih penting, kan?" Juita tersenyum menampakkan set giginya yang putih. Set pelaris, kata emaknya.
"Yalah... ikut suka hati kaulah. Daripada nak kahwin dengan anak CEO, terus jatuh takhta nak dengan penulis cerita seram yang nama tak semenggah tu." Rozana mencebik.
Juita tidak ambil peduli dengan usikan itu. Yang dia pedulikan ketika ini adalah kesediaannya untuk bertemu sekali lagi dengan Nabil.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...