Rasa yang kurang sempurna akan terjadi apabila rindu itu masih bertandang, tetapi hati terasa jauh. Barangkali ada sesuatu yang kurang dalam rasa cinta itu.
Aliff tidak boleh berpatah balik. Dia sudah janji sama Anum. Dia sudah meterai janji dengan Uncle Wan juga. Aliff cuba merasionalkan dan muhasabah dirinya sendiri. Jadi, buat permulaan, dia bertanya banyak soalan pada dirinya sendiri.
Bagaimana dia mula berkenalan dengan Anum?
Itu soalan mudah. Dia boleh menjawab dengan sekelip mata sahaja.
Apa yang buat dia tertarik pada Anum?
Mudah juga. Dia suka Anum yang lemah lembut walau suka merajuk itu. Satu lagi, Anum = cantik.
Bila dia rasa dia mula ada hati pada Anum?
Ermmm... Aliff mengetuk-ngetuk bibirnya dengan jari manis. Dia berfikir-fikir seketika. Susah juga soalan ini. Dia kena susur balik ke belakang tentang perasaannya itu. Hmm... Aliff rasa, sejak pertama kali dia tahu Wan Penunggu Cinta itu adalah Wan Anum binti Wan Ariffin, sejak itulah hatinya sudah tertarik pada gadis itu. Ya, dia pasti! Sejak itulah.
Bila pula dia mula jatuh cinta pada Anum?
Wah... soalan tentang cinta ini boleh menjadi sama ada soalan paling senang dalam dunia atau soalan paling sukar sekali di alam semesta. Rupa-rupanya baru dia sedar yang dia sendiri pun tidak pasti apa itu maknanya jatuh cinta. Haruskah dia berasa sakit dulu kerana jatuh, kemudian barulah dinikmati keindahannya? Kalaulah begitu, Aliff cuma berasa sedikit terkilan saja apabila selama dia berkawan dengan Wan Si Penunggu Cinta, perkenalan itu tidak didasari dengan sikap jujur seratus peratus. Tapi apalah sangat dengan rasa terkilan itu. Tidak berbekas di hati pun. Malah, Aliff rasa bersyukur lagi adalah sebab bolehlah dia beritahu Anum yang dia berkawan dengan Anum a.k.a Wan Si Penunggu Cinta itu bukan kerana semata-mata berlainan jantina atau kerana Anum itu lawa.
Sejak bila pula dia mula bersedia luar dan dalam untuk berkahwin dengan Anum?
Soalan ini sebenarnya mudah saja untuk dijawab. Siapa yang tak mahu menjadikan gadis secantik dan lemah lembut seperti Anum itu sebagai suri hati? Aliff beruntung kerana dia dipilih oleh Anum sendiri untuk menjadi teman sehidup semati, bersama-sama menempuh ombak badai kehidupan rumah tangga kelak. Wah... itulah kata-kata Anum pada Aliff saat dia menyetujui itu menerima lamaran Aliff. Uncle Wan juga sudah tahu tentang lamaran itu dan dia dinasihati supaya bukan sekadar melamar di mulut. Itu bukan cara kita. Ada cara yang lebih beradab, pesan Uncle Wan.
Ya, Aliff tahu sangat tentang itu. Malah kalau mak ayah dia tahu yang dia melamar Anum begitu saja, tidak mustahil mak ayahnya tak mengaku dia sebagai anak lagi.
Nama Abang Amat menerjah semula ke kotak fikiran Aliff setelah lebih daripada seminggu dia melupakannya. Leon yang memperkenalkan Abang Amat bermisai lentik dan berlengan ketul-ketul sewaktu kenduri kahwinnya yang lepas. Leon yang rasa bersalah pada Aliff kerana berbohong untuk meminjam wang simpanan Aliff memberinya jalan penyelesaian lain. Leon kata, kalau Aliff mahu langsungkan perkahwinan seperti dia, Aliff juga perlukan duit. Leon kata lagi, supaya janganlah jadi macam dia yang terpaksa pinjam wang pada Aliff untuk kahwin walaupun sebab Leon tak cukup wang itu sangat munasabah pada pandangan Aliff.
Aliff siap bagi duit lebihan simpanannya lagi untuk Leon. Tanda hadiah perkahwinan katanya. Namun, apabila dia tiba-tiba memutuskan untuk berkahwin dengan Anum, barulah dia sedar yang duit simpanannya tidak cukup. Dan Leon datang pada saat yang diperlukan itu, membawa sekali Abang Amat yang kata Leon boleh jadi penyelamat.
Sebab itulah, di kala ini selepas panggilan Abang Amat ditamatkan, Aliff mula bertanyakan soalan lain pada dirinya pula. Ini soalan yang benar-benar serius.
Benarkah Aliff mahu mengambil Anum menjadi isterinya? Isteri yang bukan sekadar ada di gelaran, tetapi isteri yang sebenar-benarnya. Tiada yang lain, hanya Anum.
Sepatutnya, sebelum dia melamar Anum lagi, Aliff sudah mula memikirkan tentang persoalan yang rumit ini. Bukannya sekarang, setelah Anum sudah mula berkira-kira mahu menyarung kebaya songket biru tua dan Uncle Wan sudah mula buat senarai tetamu untuk kenduri anak tunggalnya itu.
Aliff merasakan dia tidak boleh duduk diam saja, berserah tanpa membuat apa-apa. Dia kan lelaki. Lelaki Melayu pula tu. Hal kahwin-kahwin ni bukan hal main-main untuk lelaki Melayu.
Makanya, keesokan harinya Aliff sudah menelefon Abang Amat pagi-pagi lagi. Pelawaan Abang Amat yang berkali-kali diutarakan itu pada mulanya tidak diambil pusing sangat. Dia rasa dia mampu menyediakan wang yang cukup untuk majlis kenduri kahwin dia dengan Anum nanti.
Tapi, awal-awal lagi sejak Uncle Wan tahu isi hatinya itu, dia telah diberi amaran halus oleh bapa Anum itu tentang kebajikan anaknya jika sudah menjadi isteri Aliff nanti. Anum tak reti makan pasir, itu pesan Uncle Wan dan Aliff faham maksud tersirat itu. Walau diberitahu dengan nada mendatar seperti tiada perasaan, Aliff tahu Uncle Wan serius dengan kata-katanya itu. Lebih-lebih lagi Aliff ini kan anak muda generasi kini. Jadi, dia haruslah tunjuk pada bapa Si Anum itu.
***
Aliff memang tak pernah pasang niat pun untuk berniaga di Pasar Karat Shah Alam tu. Dia pun jarang-jarang pergi ke sana. Melainkan kalau terdesak saja misalnya dia terpaksa teman Si Juita borong tudung fesyen terkini yang murah untuk rakan-rakan sepejabatnya, barulah dia akan pergi. Jadi, Alifflah penemannya sedangkan Juita boleh saja ajak teman serumahnya yang lain untuk teman beli tudung. Juita kata, sebagaimana dia menganggap lelaki sebagai seorang yang adakalanya lebih rasional dalam membuat keputusan, begitu jugalah dia lebih percaya mata lelaki seperti Aliff untuk memilih tudung.
Aliff selalu mengusik Juita bias kerana melebih-lebihkan lelaki. Juita tidak pandai meraikan perbezaan lelaki dan perempuan. Namun ia sekadar tuduh yang tiada berasas sedangkan dalam hatinya, Aliff mengaku yang dia menyenangi apabila Juita mengajaknya membeli-belah di Pasar Karat Shah Alam yang terletak di tempat letak kereta berdekatan Stadium Shah Alam itu.
Kini, Aliff sendiri tidak sangka setelah lama Juita tidak mengajaknya membeli-belah di pasar karat ini, dia kembali menjejak kaki ke sana. Kali ini tanpa Juita. Kali ini dia bersama dengan orang lain – Abang Amat misai lentik!
Ini semua kerana Wan Anum binti Wan Ariffin.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...