BAB 30

4 0 0
                                    

Aliff sebenarnya tidak pernah turut serta di acara-acara seni sebegini. Dia hanyalah orang kecil yang baru berjinak-jinak menjadi penulis. Eh, sebenarnya tidak pernah pun terfikir untuk menjadi seorang penulis. Malah, dia sendiri malu untuk mengakui pada orang dan dirinya sendiri yang dia ini penulis. Dia hanyalah orang gemar menulis saja. Yang dia tahu, sejak kecil lagi dia memang telah disogokkan oleh ayahnya dengan buku. Buku cerita, buku bersiri, komik kanak-kanak, novel penyiasatan, antologi cerpen dan anekdot. Semuanya ayah yang belikan. Ayahnya memang tidak berkira sangat soal buku. Barangkali ayahnya tahu buku adalah salah satu cara meningkatkan imaginasi kanak-kanak adalah dengan membaca buku-buku fiksyen.

Tapi sayanglah pada anak-anak yang tiada peluang mendapat keistimewaan itu atau disekat secara 'kejam' untuk mendapat keistimewaan itu. Tidak dibenarkan membeli buku yang mereka mahukan walau harganya serendah dua ringgit. Mahal kata ibu bapa.

Hmm... apa-apalah. Yang Aliff tahu nanti, dia akan cuba jadi bapa yang dikagumi anak-anak dengan memastikan anak-anaknya itu ada tabung khas sendiri untuk membeli buku mereka. Kalau tidak cukup, dia boleh saja tambahkan wangnya sendiri.

Hmm... seronoknya berangan-angan. Seronoknya punya anak sendiri. Alangkah bahagianya berkongsi kasih dengan orang kita sayangi dan membesarkan anak-anak bersama-sama. Aliff tidak dapat menyembunyikan wajahnya kini yang sudah tersengih-sengih bak kerang busuk. Dia segan juga orang sekeliling ada yang pandang dia semacam.

***

Kini Aliff sudah sampai di acara ini. Jujur dia berasa sedikit kekok dengan suasana di acara yang dia kira seperti kedai buku, kedai baju, kedai kasut, kedai tudung, kedai makan, panggung wayang, dan pentas persembahan dalam satu tapak yang kecil. Meriah juga acara ni, fikirnya. Aliff buntu mahu ke mana. Dia tidak membawa teman seperti yang lain-lain untuk sesi bergelak tawa dan berbual mesra dengan mereka. Dia keseorangan. Dia kesepian. Jadi, sebelum dia lihat-lihat, tengok-tengok dan pura-pura berminat dengan segala yang dijual dan dipamerkan, dia mahu duduk dulu.

Sambil duduk di kerusi paling belakang di pentas utama, Aliff mengunyah jambu potong yang dibelinya tadi perlahan-lahan. Dia melihat sekeliling lagi. Tiada siapa pun datang seorang diri sepertinya. Makan jambu batu pun seorang diri. Jambu batu yang dikunyah itu ditelan dengan payah sekali. Kenapalah jambu batu itu tiba-tiba keras seperti batu pula? Rasa mahu berdarah tekaknya telan kunyahan jambu batu itu.

Tak semena-mena dia rasa kasihan sangat dengan dirinya sendiri.

Kalaulah Aliff tahu keadaan akan menjadi begitu menyedihkan sebegini rupa, tidak sekali-kali dia menerima pelawaan rakan dalam mayanya merangkap pembaca setianya, Wan Penunggu Cinta tempoh hari untuk ke acara seni ini. Dia bukan orang seni. Dia hanya baru hendak berjinak-jinak dengan dunia penulisan kreatif. Dia pun baru menghasilkan kurang daripada dua puluh buah cerpen dalam tempoh dua tahun berkecimpung dalam dunia penulisan ini. Itu pun, nasib baiklah ada orang sudi baca, komen dan puji sikit-sikit. Makin lama dapatlah dia kumpul peminat seorang dua. Salah seorang daripadanya ialah Wan Penunggu Cinta. Wan ini memang rajin komen cerpen-cerpen yang disiarkan di sebuah laman penulisan kreatif yang Aliff sertai di alam maya. Tetapi, Si Wan Penunggu Cinta ini tak pernah sekali pun hantar karya-karya di situ. Katanya tidak berbakat. Dia hanya punya bakat membaca saja.

Aliff agak rapat juga dengan Wan ini, sehinggakan mereka berdua berani bertukar-tukar nombor telefon. Aliff pun tidak menyangka yang dia seberani itu dan dia juga tidak menyangka yang Wan boleh mempercayainya. Tapi apa guna berkawan kalau tidak diamalkan konsep saling mempercayai, kan? Lagi pula, mereka sama-sama lelaki. Nak takut apa?

Sebenarnya, Aliff sudah berjanji dengan Wan untuk sama-sama datang ke acara seni ini. Tapi, apabila dia sudah sampai di KL Sentral dan bersedia untuk menukar tren yang seterusnya, Wan menghantar pesanan padanya.

Bro, aku minta maaf sangat. Aku rasa mungkin aku tak dapat datang jumpa kau. Ada hal kecemasan.

Ringkas. Hanya ada dua baris ayat tetapi cukup buat Aliff kecewa. Pertama, dia tidak pernah bersua dengan Wan Si Penunggu Cinta, peminat karya-karyanya itu. Mereka telah berjanji seminggu awal untuk bertemu dan inilah masanya mereka berkenalan lebih rapat. Mana tahu boleh jadi kawan baik. Kalau semuanya berjalan lancar, maka terciptalah salah satu sejarah dunia hari ini. Kedua, Aliff terima pelawaan Wan pun kerana ingatkan dia akan ada teman untuk sama-sama ke acara yang pertama kali dia hadiri ini. Dia tidak biasa berseorangan di tempat yang dia tidak biasa. Rasa kekok.

Nah! Sekarang ini, Aliff duduk di kerusi plastik paling belakang sambil mengunyah jambu batu cecah serbuk asam. Keseorangan, sambil melihat persembahan yang bakal dimulakan di atas pentas nanti. Mungkin nyanyian solo dengan gitar akustik agaknya.

Aliff tahu yang dia tidak selesa dengan keadaannya sekarang itu. Atau paling senang cerita, dia tak suka dengan keadaannya. Entah mengapalah dia merasakan ramai pula yang pandang-pandang dia semacam. Mengejek ke? Tapi, memandangkan Aliff ini pandai berlakon, jadi wajahnya memang tidak nampak langsung seperti menyedihkan. Dia perlu berterima kasih pada Juita kerana berjaya membuatnya menjadi seorang 'pelakon' yang membuat riak wajah selamba tanpa ada sesiapa tahu perasaan sebenarnya. Aduh... entahlah. Malas pula Aliff mahu fikir. Sekarang ini dia cuma ada satu perkara saja dalam fikiran. Sama ada teruskan mengikuti acara ini. Bolehlah cuci mata dan jumpa benda-benda baharu. Atau, boleh saja dia balik saja lepas persembahan yang sedang berlangsung ini. Dia tidak enjoy dengan persembahan di atas pentas itu tetapi dia masih duduk sebagai tanda hormat sehinggalah persembahan tamat nanti.

Sedang Aliff asyik berpura-pura menikmati nyanyian penyanyi berambut keriting panjang diikat seperti ekor kuda tak sempat sikat itu, seorang gadis duduk di sebelahnya. Aliff tidak memandang ke arah gadis itu tetapi dia tahu sebelahnya adalah manusia berlainan jantina berdasarkan bau minyak wangi yang dipakai. Manis-manis buah baunya. Kalau pakai banyak-banyak mungkin boleh buat berair hidung orang yang menghidunya.

"Saudara Aliff?" Tiba-tiba ada satu suara bagai memanggil namanya. Betul-betul di sebelahnya. Lebih tepat lagi di sebelah kanannya.

Aliff memandang ke arah empunya suara itu. Kelihatan seorang gadis berselendang satin warna pastel, blaus putih susu dipadankan dengan skirt labuh sifon warna hijau bunga-bunga kecil sedang tersenyum ke arahnya. Gadis yang memakai minyak wangi manis-manis buah itu memanggilnya sekali lagi.

"Saudara Aliff, kan?" Si gadis mengharap kepastian.

"Haah, saya Aliff," balas Aliff. Mulutnya seperti mahu berkata sesuatu tetapi dia terlebih dahulu dipintas oleh gadis itu.

"Oh, betullah. Saya ingat dah salah orang tadi. Malu pula. Awak Aliff yang tulis cerpen Cinta yang Tersangkut di Bulan?"

Aliff mengangguk dalam kehairanan.

"Cerpen Stesen Ajaib?"

Aliff mengangguk lagi membuatkan gadis itu tertawa kecil. Comel pula, bisik hati Aliff.

"Assalamualaikum. Saya Wan. Wan Si Penunggu Cinta."

Kali ini Aliff tidak mengangguk. Matanya pula yang membulat memandang ke arah gadis itu. Dia tidak mempercayai apa yang dilihatnya.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now