Anggerik memerhatikan saja gerak-geri Nabil sejak tadi. Dari segi luaran, Nabil memang tidak berubah. Masih sama. Namun dia tahu Nabil ini seorang yang sukar dijangka. Dia sudah kenal Nabil lama. Sejak mereka remaja hinggalah sekarang mereka berumur 30 tahun. Di sekolah mereka jarang menunjukkan mereka saling mengenali kerana Anggerik tahu lambat-laun Nabil akan jadi miliknya juga. Biar masa yang menentukan hubungan mereka. Dia percaya masa memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia atau sekurang-kurangnya dalam kehidupannya.
"You masih nak menulis novel lagi ke?" soal Anggerik apabila dia melihat Nabil sudah tenggelam dengan nota-nota kecil dan pen di tangannya. Sibuk mencatat ilhamlah tu, getus hati Anggerik.
Nabil memandang Anggerik sekilas. Dia menghadiahkan senyum sinis pada gadis di hadapannya itu sebelum menyambung kembali kerjanya. Dia tidak suka diganggu pada waktu-waktu kritikal ini, tetapi dia tidak dapat menolak daripada bertemu dengan Anggerik. Anggerik pasti menyangka pertemuan ini atas desakan keluarga Nabil. Tetapi, sebab sebenarnya lain.
Sebab itulah dia mengajak Anggerik keluar bersama-sama minum petang dengannya selepas melawa ke kedai buku baharu di Plaza Masalam ini. Dia ada misi khas yang memerlukan Anggerik bersama-sama dengannya. Cuma, dia tidak memberitahu Anggerik akan misinya itu. Dia tidak mempercayai wanita di hadapannya itu.
"Takkan I nak cakap sorang-sorang?" soal Anggerik lagi. Dia mengetap bibir tanda tidak puas hati dengan tingkah Nabil itu.
"Buku yang you beli tadi tu, bacalah," balas Nabil ringkas.
Anggerik mengeluh kasar sebelum mengeluarkan buku yang dibelinya tadi dari dalam beg tangannya. Dia sudah memang dapat agak perangai Nabil yang satu ini. Jangan cuba-cuba berbual dengannya apabila lelaki itu sedang sibuk menumpahkan segala ilham di dalam nota kecilnya. Memandang Nabil yang sedang larut dalam penulisannya itu membuatkan Anggerik tertanya-tanya sendiri adakah lelaki di hadapannya itu masih sama seperti yang dikenalinya 12 tahun lalu. Lebih tepat lagi adakah Nabil Fadhlan adalah Nabil Fadhlan yang dia kenalinya sebelum berlakunya peristiwa mengejutkan itu.
Nabil, setelah peristiwa itu adalah Nabil yang sukar ditebak sekali isi hatinya. Anggerik hampir-hampir saja putus asa dengan tingkah laku Nabil. Tidak keterlaluan juga pada awal-awal berlakunya peristiwa tersebut, Anggerik sering jauh hati, merajuk, kecil hati malah adakalanya dia mahu saja buang terus Nabil daripada hidupnya. Ibu bapanya juga pernah menghalang Anggerik daripada berjumpa dengan Nabil walaupun keluarga Anggerik dan keluarga Nabil bersahabat baik sudah lama. Ibu bapa mana yang tahan melihatkan anaknya terseksa kerana seorang lelaki. Namun, akhirnya mereka terpaksa mengalah.
Anggerik sendiri harus akur dengan perasaannya bahawa tiada lelaki lain yang dapat menggantikan tempat Nabil Fadhlan.
"Dah pesan makanan?" Suara Nabil terus saja mengejutkan lamunan Anggerik. Matanya yang dari tadi asyik merenung perlakuan Nabil tertangkap oleh mata Nabil. Anggerik cepat-cepat membetulkan rambutnya sekadar menutup segan.
"Belum. You nak makan apa-apa ke? I boleh pesan." Anggerik mempelawa.
"Tak. I tak nak makan. You pesanlah apa-apa untuk diri you," balas Nabil sedikit tegas membuatkan Anggerik kaget sedikit.
"Minum?" soal Anggerik walau dia sudah boleh mengagak jawapan Nabil.
"I bawa minuman sendiri." Nabil mengeluarkan air mineralnya dari dalam beg sandang.
Anggerik hanya mengangguk kemudian memanggil pramusaji untuk memesan makanan. Sekilas dia memandang ke arah Nabil. Dia tahu, Nabil mengajaknya untuk keluar hari ini bukan atas desakan keluarga Nabil seperti yang diberitahunya. Dia tahu misi Nabil. Cuma, dia tidak mampu menghalang. Rasa kasihan membuak-buak dalam dirinya.
***
"I dah baca novel terbaharu you tu. Cinta Semu. Menarik." Anggerik memulakan bicara setelah Nabil selesai mencatat segala butiran penting dalam buku notanya.
"Terima kasih," jawab Nabil mendatar. Tiada perasaan.
"You memang nak terus menulis novel ke?" soal Anggerik. Ini soalan sama yang ditanya awal tadi pada Nabil tetapi kali ini nadanya berubah. Lebih lembut dan lunak sedikit. Ditambah dengan senyuman nipis sekadar menutup resahnya apabila melihat tingkah laku Nabil yang tidak henti-henti menulis tadi.
Nabil tidak terus menjawab soalan Anggerik itu. Dia membuka nota kecil lusuhnya itu. Membelek helaian demi helaian dengan penuh hati-hati. Dahinya berkerut seribu bagai memikirkan satu persoalan yang tiada hujung jawapannya.
"Ya." Nabil memberi jawapan ringkas sambil menutup kembali nota kecilnya itu. Dia berasa tidak selesa ditanya soalan itu. Lebih-lebih lagi oleh Anggerik.
"Nabil..."
"Anggerik, you jangan risau. I okey." Nabil segera memintas kata-kata Anggerik.
"Nabil, I tahu you okey. I cuma nak tanya satu benda aje."
"Apa dia?"
"Cinta Semu tu fasal apa sebenarnya?"
"Kata dah baca."
"Dah, tapi I nak tahulah mana you dapat idea tu."
Nabil tersenyum mendengar kata-kata itu sebelum senyumannya mati secara mengejut. "Tak ada cara tertentu nak dapatkan idea menulis ni. Dekat mana-mana dan bila-bila pun boleh dapat. Kalau ilham tu nak datang, depan mata I ni pun idea menulis boleh ada." Nabil memberitahu sambil memandang tepat ke wajah Anggerik.
Anggerik tersentak dengan tingkah Nabil itu. Namun dia cuba berlagak biasa saja seperti tidak mengerti apa-apa. Dia berharap yang dia tidak mengerti apa-apa pun.
"Tapi Cinta Semu tu lain daripada novel-novel you sebelum ni."
"Kenalah ada kelainan, barulah pembaca tak bosan."
"You jarang tulis cerita cinta-cinta banyak sangat dalam novel. Yang terbaharu ni, judul pun ada perkataan 'cinta'." Anggerik tergelak kecil. Gelak yang pura-pura itu dapat ditafsir dengan jelas oleh pendengaran Nabil.
"I nak tulis cerita cinta sebab I rasa inilah waktu yang paling sesuai I keluarkan novel cinta seram. Novel-novel cinta kan sentiasa malar segar. Lagipun I tak mahulah hilangkan identiti I. Jadi, elemen seram tu perlu ada juga." Nabil menerangkan pada Anggerik dengan harapan wanita di hadapannya itu tidak dapat menebak sebab sebenar novel itu dikarang.
"Siapa watak Rina Kegg tu? Kenapa watak dia hilang tiba-tiba?" soal Anggerik benar-benar ingin tahu.
Nabil tidak terus menjawab pertanyaan bertalu-talu daripada Anggerik itu. Dia rasa dia tidak perlu menjawab soalan-soalan itu kerana dia tahu lambat-laun Anggerik akan dapat juga mencari jawapannya itu sendiri. Cuma apa yang Nabil boleh beritahu ialah, "Mungkin ada sambungan untuk novel yang akan datang. Tapi I belum tentukan lagi jalan ceritanya. Mungkin watak Rina Kegg tu I akan kembangkan menjadi lebih menarik."
"Menarik? Menarik yang macam mana?" soal Anggerik lagi.
"Lebih dramatik. Lebih ekstrim. Lebih huru-hara."
Anggerik diam.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...