BAB 37

4 0 0
                                    

"Kalaulah you dengan Juita tahu cerita sebenar antara I dengan Nabil, tentu you akan bermati-matian akan halang Juita daripada cuba-cuba dekat dengan Nabil. Kalaulah Juita tahu betapa Nabil sangat penting dalam hidup I, dia pasti akan tinggalkan Nabil. Tapi, dia tak faham, tak pernah cuba nak faham dan anggap I hanya nak rampas Nabil daripada dia. Antara I dengan Juita, siapa sebenarnya yang perampas?"

Kata-kata Anggerik siang tadi terngiang-ngiang dengan jelas dalam ingatannya. Tidak mampu dipadam dan dihapuskan. Aliff merebahkan badannya di atas katil bujangnya. Dia mengerang sedikit apabila pinggang dan bahunya mencecah katil. Barangkali kerana terlalu memikirkan pertemuan dengan Anggerik siang tadi menyebabkan badannya sengal-sengal.

Salinan buku nota Nabil masih lagi berada di atas meja tulis Aliff. Dia baru baca sikit-sikit catatan tersebut. Kebanyakannya adalah tulisan-tulisan cakar ayam yang entah apa-apa isinya. Berbeza dengan tulisan tangan nama 'Nabil Fadhlan' di hadapan muka surat.

Dengan perlahan-lahan Aliff bangun semula dari katil dan bergerak ke meja tulisnya. Dia menarik kerusi dan mula duduk menghadap salinan buku nota Nabil. Entah mengapalah Anggerik jadi baik pula padanya untuk memberikan salinan ini kepadanya. Buat masa sekarang Aliff tidak boleh percaya sepenuhnya pada Anggerik. Daripada gaya dan penampilannya, wanita seperti Anggerik itu seperti ada udang di sebalik batu. Maaflah, kalau dia berfikiran stereotaip seperti itu. Aliff sudah bingung memikirkan siapa Anggerik dan Nabil sebenarnya. Apa yang diceritakan oleh Juita melalui Nabil pun sudah dia mula ragu-ragu.

Aliff membuka halaman pertama. Tarikhnya pada awal 2004. Maknanya 11 tahun yang lepas. Maknanya juga waktu itu Nabil baru menginjak ke usia 19 tahun dan berdasarkan cerita Juita, Anggerik dan Nabil waktu itu sudah tidak kedengaran berita lagi.

Aliff membaca satu per satu perkataan yang ditulis itu walaupun agak sukar. Mungkin si penulisnya ingin cepat.

R datang lagi – cuba pinjam duit pada Tuan S – tidak dilayan – R ada masa tiga hari sahaja untuk langsaikan hutang-piutangnya – ternampak satu poster kerja kosong – kerja kosong sebagai pembunuh upahan – Erin datang sebagai penyelamat – ada misi rahsia antara R dan Erin.

Membaca tulisan-tulisan tersebut Aliff seperti mengenali. Dia mengetap bibirnya dan... ah!!

"Misi Rahsia untuk Erin." Aliff menyebut sambil memetik jarinya. Rupa-rupanya Nabil sudah mengarang novel pertamanya itu sejak remaja lagi.

Ada beberapa muka surat tentang lakaran cerita Misi Rahsia untuk Erin. Ada gambar-gambar yang dilakar secara amatur. Mungkin sebagai salah satu cara menggerakkan jalan cerita.

Aliff masih ingat lagi bagaimana dia sangat meminati karya pertama Mambang Kuning itu. Watak Erin dalam cerita itu sebagai seorang gadis cantik, berpengetahuan tinggi tetapi datang dari keluarga yang porak-peranda. Dia bertemu dengan R, seorang lelaki yang terdesak untuk membayar hutang-piutang. R mendapat kerja sebagai pembunuh upahan dan tugas pertama adalah membunuh Erin. Di situlah bermulanya misi rahsia antara R dan Erin.

Ia sebuah cerita yang menarik juga. Watak Erin digambarkan sebagai seorang yang cerdik tetapi punya sisi hitam yang terbongkar di akhir-akhir cerita.

Kemudian Aliff menyelak pula halaman-halaman berikutnya. Masih lagi plot-plot cerita untuk novel-novel Mambang Kuning seterusnya. Cerita Tarikh Tamat dengan watak Erika sebagai gadis kaya yang hidup dalam perhatian pihak-pihak tertentu. Erika perlu menyelesaikan satu kod rahsia untuk menyelamatkan dirinya sebelum tarikh tamat berakhir.

Ada juga kisah Nia yang terdengar satu komplot rahsia menjatuhkan seorang berpangkat besar. Dia dicari oleh orang-orang yang terlibat yang akhirnya membawa Nia kepada satu rahsia tentang dirinya.

Aliff membaca satu per satu catatan yang ditulis oleh Nabil (atau Mambang Kuning) itu dengan penuh minat. Walaupun agak sukar kerana tulisan Mambang Kuning kadang-kadang elok, kadang-kadang cakar ayam, tetapi dia tidak mahu berhenti. Dia mahu tahu apa yang ada dalam fikiran seorang penulis seram misteri dan thriller seperti Mambang Kuning. Dia mahu baca rangka kasar, plot dan cara Mambang Kuning menulis idea-ideanya menjadi sebuah karya yang selama ini dia minati sehinggalah dia tahu yang Mambang Kuning itu sebenarnya Nabil Fadhlan.

Ada satu keluhan kasar keluar dari mulut Aliff. Mengingatkan tentang siapa Mambang Kuning dan hubungannya dengan Juita, Aliff berasa sebal tiba-tiba. Entah mengapa ada rasa kurang gemar dia pada Nabil itu. Dia tidak boleh untuk tidak mempedulikan hatinya yang terdetik rasa cemburu apabila Juita sering saja menyebut nama Nabil di hadapannya. Selama ini tidak pernah nampakkah Juita apa yang cuba disampaikan olehnya lewat bahasa tubuh, kata-kata tersirat dalam, lelucon, nasihat dan marah? Adakah Juita memang tidak sedar ataupun dia yang terlalu berahsia, terlalu berhati-hati atau terlalu takut?

Aliff teringat kembali pertemuannya dengan ayah Anum tempoh hari. Anum sebenarnya sudah berkali-kali mengajak Aliff untuk minum petang di sebuah kafe sederhana besar di Seksyen 20, Shah Alam. Berhadapan dengan sekolah kebangsaan dan memang jadi tumpuan orang ramai untuk minum-minum petang. Seminggu kemudiannya, Aliff mengotakan janji dan mengajak Anum ke sana. Nama kafe itu ialah One Love Cafe. Aliff ingatkan kafe ala hipster ini kepunyaan anak muda yang tentulah berpenampilan kemas dengan memakai kemeja bermotif bunga-bunga, seluar warna-warni senteng (perlu nampak sedikit bulu kaki), serta rambut disikat rapi dengan pelbagai gaya.

Namun tekaan Aliff meleset sama sekali. Kafe itu rupa-rupanya merupakan kepunyaan ayah Anum, Encik Wan Ariffin yang sudah berusia 56 tahun. Uncle Wan (atau nama hipsternya, Uncle One) itu penampilannya sama seperti penampilan lelaki setengah baya yang sering kita lihat apabila pulang dari surau atau masjid. Berkopiah dan berkemeja dengan warna-warna bumi. Padanlah Anum beria-ia ajak Aliff datang ke situ. Bukan mahu ajak minum-minum sangat. Lebih kepada mahu perkenalkan Aliff dengan Uncle Wan.

Ah, mengapalah nama Anum pula tiba-tiba muncul dalam fikirannya? Aliff melepaskan satu keluhan berat. Berat sungguh hatinya ketika ini. Kadangkala mahu saja dia pinjam telinga siapa-siapa dan dengarkanlah segala apa yang terbuku dalam hatinya. Dia mahu berterus-terang saja semuanya apa yang selama ini tersimpan kemas dalam hatinya. Hanya pada Tuhan yang Maha Mendengar sajalah tempat dia mengadu.

Aliff menutup salinan nota Mambang Kuning itu. Dia penat. Dia mahu merehatkan badan. Mungkin malam ini atau esok, kalau moodnya sampai dia akan selak-selak lagi apa yang ada dalam salinan nota itu. Entah apa yang penting sangat tentang salinan itu sehinggakan Anggerik sanggup fotostat dan beri padanya? Apa sebenarnya yang ingin Anggerik mahu dia tahu?

Soalan itu beberapa kali diajukan pada Anggerik siang tadi. Tapi Anggerik hanya memberi jawapan dengan gelak sinisnya (seperti selalu!). Aliff tidak suka dengan tingkah Anggerik itu. Nama gadis itu tidak secantik sikapnya. Aliff menolak berkali-kali untuk mengambil salinan itu. Dia tidak faham mengapa dia perlu ambil dan baca hak orang tanpa izin daripada tuannya. Sehinggalah Anggerik memberitahu padanya sesuatu.

"Kalau you mahu tahu apa sebenarnya yang terjadi pada Nabil, you tak boleh terus terjah saja. You kena tahu dari mula jalan cerita Nabil. Jalan cerita kami berdua. Ambillah salinan ni. Apa yang Nabil tulis dalam nota-nota ni sebenarnya cara dia bercerita tentang hal dia yang orang lain tak tahu. Cuba baca dan seperti yang I beritahu tadi, you boleh hubungi I bila-bila masa saja jika ada kemusykilan."

Malam nanti. Ya, malam nanti Aliff akan habiskan bacaan nota Mambang Kuning itu. Maafkan aku, wahai si mambang kerana membaca rahsia kau tanpa kebenaran. Tapi jikalau benar Anggerik beritahu bahawa ia ada kena-mengena dengan Juita, aku sanggup.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now