BAB 42

7 0 0
                                    

Sepanjang malam itu Juita tidak dapat melelapkan matanya walau seketika. Cerita Nabil siang tadi masih terngiang-ngiang di ingatannya. Bukan sahaja cerita, malah suara, bahasa tubuh dan pandangan Nabil sewaktu bercerita tentang kejadian 12 tahun lepas masih Juita ingat dengan jelas satu per satu.

Sepanjang Juita megenali Anggerik dan Nabil sejak di bangku sekolah lagi, tidak pernah lagi Juita lihat riak wajah Nabil yang penuh rasa curiga, takut dan terlalu berhati-hati apabila bercerita tentang Anggerik.

Juita masih ingat lagi, sewaktu mereka di bangku sekolah, dia ada juga cuba bertanya pada Nabil tentang Anggerik. Yalah, siapa yang tidak hairan apabila mengetahui yang rupa-rupanya dua susuk popular sekolah itu berkawan rapat. Itu pun pada mulanya dia dengar sosek-sosek daripada teman sekelas. Juita tidak percaya kerana sepanjang dia duduk semeja dengan Nabil di pusat sumber, tidak sekali pun Nabil bercerita tentang Anggerik yang glamor itu.

Sehinggalah, Anggerik sendiri memunculkan diri di hadapan mereka berdua di pusat sumber. Untuk apa lagi kalau bukan untuk mengajak Nabil pulang bersama-sama. Sejak dari itu, perasaan kurang senang pasti akan muncul setiap kali Juita terserempak dengan Anggerik.

Dia mengakui yang dia cemburu!

Nabil seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada bertanyakan soalan tentang gadis itu, tetapi pada hari itu, entah mengapa terbuka pula hati Nabil untuk bercerita tentang Anggerik.

"Anggerik tu, apa yang dia tunjuk pada kita di sekolah, tak sama dengan apa yang sebenarnya dunia luar sekolah," Nabil memberitahu Juita pada suatu hari. Sewaktu mereka duduk-duduk santai di pusat sumber. Hari itu mereka tidak berbual tentang apa-apa novel pun, tapi mereka berdua tetap sama-sama berjumpa di pusat sumber, tiga kali seminggu.

"Kenapa Anggerik tak datang hari ni? Demam?" soal Juita.

Nabil mengangguk. "Hari Sabtu hari tu dah mula demam, melarat sampai hari ni."

"Banyak ya yang awak tahu fasal Anggerik," balas Juita kemudiannya.

"Banyak."

"Awak dengan Anggerik tu ada apa-apa hubungan istimewa ke?" Soalan Juita nampaknya melangkah setapak lebih jauh. Itu memang soalan utama yang dia simpan saat pertama kali Anggerik tiba-tiba datang mencari Nabil di pusat sumber tempoh hari. Namun, baru hari itu dia beranikan diri untuk bertanya.

Nabil senyap seketika. Dia mengetap bibirnya. Barangkali cuba menyusun ayat yang sesuai. Melihatkan wajah Juita yang penuh rasa ingin tahu itu, akhirnya Nabil membuka mulut.

"Sangat istimewa. Kali pertama saya nampak dia, saya tahu dia akan jadi orang penting dalam hidup saya. Cumanya, pada masa tu saya tak tahu bagaimana dan bila. Tapi siapa sangka yang takdir telah bawa saya untuk mengenali Anggerik lebih rapat." Nabil mengukir senyuman nipis.

"Macam mana?" soal Juita lagi.

"Yang itu awak tak payah tahulah. Biar saya dengan Anggerik saja yang tahu bagaimana cerita kami bermula."

Itulah kisah zaman persekolahan yang pahit untuk dikenang oleh Juita. Semuanya pasti melibatkan Anggerik!

***

Namun, apabila Nabil memberitahu Juita bahawa selama ini Anggerik merancang satu pembunuhan terancang pada dirinya, Juita mula rasa ada sesuatu yang tak kena. Pastilah ada sesuatu yang tidak kena kalau mulut Nabil sendiri yang memberitahu Anggerik merancang satu pembunuhan.

"Betul ke?" Juita bertanya. Dia benar-benar terkejut dengan pengakuan Nabil itu.

"Itu yang saya risaukan."

"Kenapa pula?"

"Saya risau tak ada siapa yang mahu percaya kata-kata saya."

"Nabil..."

"Juita, saya sendiri mulanya tak percaya apa yang Anggerik sanggup buat pada saya."

"Sekejap... sekejap. Saya tak faham ni." Juita mengerutkan dahinya.

"Apanya?"

"Insiden tu dah berlaku 12 tahun lepas. Apa sebab Anggerik rancang kemalangan tu? Bukan ke awak dengan dia saling menyayangi? Takkanlah nak bunuh orang yang kita sayang pula? Atau dia nak jadi dramatik, nak mati sama-sama dengan awak?" Juita ketawa kecil membuatkan Nabil terus saja berdeham, lantas mematikan tawa Juita.

"Tengok ni." Nabil menyinsing kemeja putih yang dipakainya lalu menampakkan satu parut panjang di sebelah perut kirinya

Juita tersentak melihat tingkah Nabil yang tiba-tiba selak baju di tempat awam pula. Namun matanya tidak dapat lari daripada melihat parut tersebut. Parut lama yang mencacatkan kulit perut Nabil itu memang menakutkan. Walaupun sudah sembuh, tetapi ia meninggalkan bekas yang pasti Juita sendiri pun akan terbawa-bawa dalam mimpi malam nanti. Cepat-cepat Juita mengalihkan pandangannya. Selain rasa seriau, dia rasa segan juga tenung perut lelaki di tempat awam. Hmmm...

"Anggerik?" soal Juita pada Nabil dengan mengandaikan Anggeriklah yang menyebabkan perut Nabil telah jadi cacat sedikit. Tak dia sangka penampilan Anggerik yang begitu moden, vogue dan sedikit manja itu rupa-rupanya ada sisi ganas yang tidak diketahui.

"Bukan. Arman yang buat," jawab Nabil ringkas.

"Siapa Arman?" Rakan sekolah merekakah? Juita cuba mengingat-ingat, tapi tidak bertemu jawapan.

"Abang Arman. Abang Anggerik. Parut yang ada pada perut kiri saya tu kerana dialah."

"Yang dah meninggal tu ke?" soal Juita lagi sambil menutup mulutnya dengan tangan tanda terkejut. Nabil mengangguk.

"Saya kenal Arman lama sebelum itu lagi. Sebelum dia meninggal kemalangan kereta betul-betul di hadapan mata saya dan Anggerik. Tapi Anggerik tak tahu tentang tu."

"Kenapa? Kenapa tak nak beritahu Anggerik yang awak kenal abang dia?" Juita mendekatkan wajahnya menghadap Nabil. Dia mahu tahu cerita lanjut.

"Arman pernah bagi amaran pada saya. Dia boleh buat apa saja kalau dia tahu Anggerik rapat dengan saya," jawab Nabil sambil melepaskan satu keluhan lalu menyandarkan badannya ke kerusi.

"Apa sebabnya Arman buat macam tu?" Juita bertanya lagi walaupun dia sedar yang dia banyak betul bertanya pada Nabil kali ini. Harap-harap Nabil tidak bosan dengan segala pertanyaan dia.

Nabil mengetap bibir. Perlukah dia menjawab pertanyaan Juita yang satu ini? Mahukah Juita mempercayainya selepas ini?

Dan kerana penjelasan yang keluar dari mulut Nabil itulah membuatkan Juita tidak dapat melelapkan matanya malam itu. Dia cuba juga pejam-pejamkan matanya, mengurut-urut kakinya tetapi gagal. Juita rasa cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tidak boleh tidurnya itu adalah dengan memberitahu seseorang agar bebannya ini dapat dikongsi bersama.

Lalu dia telah memilih Aliff. Tanpa berfikir panjang dia mendail nombor kawan paling dia percayainya itu walaupun jarum jam sudah menginjak ke angka 1.30 pagi. Waktu yang memang tidak sesuai langsung untuk seorang anak dara menelefon seorang teruna. Tapi, apakan daya...

"Helo Aliff, dah tidur ke? Janganlah tidur dulu. Ada benda aku nak beritahu ni."

"Juita, kenapa telefon pagi-pagi buta ni? Ada masalah ke?" Suara di hujung talian bernada cemas tetapi cuba-cuba untuk tidak menggelabah. Bukankah lelaki kena sentiasa dalam keadaan tenang terutama apabila melibatkan orang yang disayangi?

"Aliff, boleh tak aku nak jumpa kau Sabtu ni, errr... pukul 11 pagi? Okey?"

"Kenapa, Juita?"

"Boleh tak? Boleh kan, Aliff?" Juita separuh memujuk.

Aliff mencari-cari kalendarnya untuk melihat tarikh kut-kut ada temu janji lain, tapi tak berjumpa pula. Selalu elok aje ada atas meja tulisnya. Ah, persentakanlah kalendar tu. Dia tahu Juita ada hal penting untuk diberitahu. Kalau tidak takkanlah gadis itu sanggup menelefonnya.

"Boleh."

"Okey, set. Terima kasih, Aliff kerana dah selamatkan waktu tidur aku. Selamat tidur."

Klik! Talian dimatikan.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now