Kenapalah dalam banyak-banyak nama pena, nama Mambang Kuning juga yang Nabil pilih, fikir Juita.
Kalaulah dari dulu Nabil dan Juita masih berkawan, tentulah dia akan pasti Nabil memilih nama pena yang lebih elok dan komersial. Bukan sejenis nama makhluk halus. Mujur, novel-novelnya laku keras dan ramai pembaca.
Dengan rasa segan, Juita terpaksa mengaku yang dia membaca novel-novel Mambang Kuning sekali lalu sahaja. Benarlah kata Aliff, ini bukan genre kegemarannya. Namun, ada sesuatu yang memaksanya untuk tetap membaca karya-karya Mambang Kuning. Barangkali kerana ia dikarang oleh seseorang yang sangat penting dalam kehidupan masa lalunya.
Malam ini Juita mahu menghabiskan novel Mambang Kuning yang kelima, Seruan Roh Rumah Hujung Padang. Tiada kisah cinta antara anak CEO tampan dengan gadis naif, baik hati dan cantik jelita. Tapi Juita tetap cuba untuk menikmati novel ini. Membaca novel-novel Mambang Kuning ini memerlukan gaya penghayatan yang lain daripada lain. Maksudnya, ia tidak sama seperti Juita membaca novel-novel cinta yang selama ini menjadi makanan rujinya. Pada pendapatnya, membaca cerita-cerita seram tidak membolehkannya duduk senang lenang sambil meminum coklat pekat. (Dia tak minum kopi waktu malam, bimbang tak boleh lelap mata). Dia tidak boleh seronok berbaring atau meniarap di atas katil dan sekali-sekala memandang hujan lebat dengan angin dingin di balik jendela yang terbuka sedikit. Itu adalah keadaan yang tidak patut ada sewaktu membaca novel seram.
Maka, untuk mendapatkan mood bacaannya, Juita akan siap-siap menggosok gigi, membasuh kaki dan berselimut tebal sambil duduk di atas katil. Selimut tebal ditarik sehingga ke dada. Hanya lampu meja yang menerangi bilik kecil itu. Jendela biliknya juga tidak dibuka malam ini walaupun hujan dan angin malam memanggil-manggil dari luar. Seram juga Juita mahu buka jendela sambil membaca cerita seram. Takut entah apa-apa yang tegur nanti.
Dua orang rakan serumah Juita, Laila dan Rosemary sebenarnya perasan perubahan Juita sejak akhir-akhir ini. Kata Laila, keadaan Juita yang tiba-tiba jadi rajin tidur awal setiap malam itu adalah petanda orang yang buang tabiat. Itu menurut bacaannya. Orang yang buang tabiat ini selalunya membawa kepada tanda-tanda mahu mati. Dan, memandangkan keadaan Juita yang sihat afiat saja, mungkin ada masalah lain yang mengganggu rakan serumahnya itu. Bukan ada penyakit kronik.
Juita pula takkan mahu beritahu yang dia dalam mood membaca novel- novel Mambang Kuning. Nanti macam-macam persoalan yang timbul daripada mereka berdua. Buat masa sekarang biarlah Juita hanya menutup mulut saja daripada berterus terang.
"Kau ada masalah dengan lelaki ke?" Suatu malam Laila memberanikan diri untuk bertanya pada Juita apabila dia nampak rakan serumahnya itu sudah bersiap sedia untuk masuk tidur. Siap menguap besar lagi. Mujur Juita menutup mulutnya.
"Eh, tiba-tiba aje ni?" soal Juita kehairanan. Nampak ketara sangatkah dia sedang berada mood jiwang dalam seram? Jiwang kerana dia sekarang tengah membaca karya Mambang Kuning, tetapi yang dibayangkan adalah Nabil Fadhlan. Seram pula kerana genre yang dibacanya itu genre seram.
"Asyik tidur awal aje. Kau nak menangis tekup bantal, eh? Tengok sikit." Laila membelek-belek wajah Juita. Kedua-dua belah mata Juita pun diperiksa betul-betul. Dia mahu lihat jika ada air mata yang bergenang tunggu masa nak jatuh saja. Tapi, hampa. Tiada tanda-tanda pun yang Juita mahu menangis.
"Aku ada sebablah nak tidur awal," balas Juita acuh tak acuh. Dia mahu tamatkan adegan ini segera. Dia sudah rasa tidak selesa.
"Sebab apa?" Soalan jangkaan daripada Laila muncul. Juita sudah agak soalan itu tetapi dia tidak ada idea lain untuk memikirkan soalan lain. Jadi sekarang ini bagaimana Juita mahu menjawab soalan maha susah itu sekali gus menamatkan pertanyaan Laila dan sambung baca novel yang tergendala. Otak Juita harus bekerja dengan pantas.
"Kenapa? Kalau ada masalah ceritalah kat kita orang. Malam ni ada drama sedap pun kau tak nak layan sekali. Dah berapa episod kau tak ikut." Laila sudah berkerut-kerut dahinya.
"Laila..." Juita menepuk-nepuk perlahan bahu rakannya itu sebelum menyambung kata, "Aku tidur awal sebab esok pagi nak bangun solat tahajud."
"Oh..." Balasan maha ringkas daripada Laila itu sekali gus menamatkan adegan mereka berdua. Lalu kedua-duanya melakukan aktiviti yang tergendala tadi. Laila dengan drama bersirinya, sementara Juita kembali semula masuk ke dalam bilik menyambung bacaannya dengan perasaan bersalah. Rasa bersalah kerana sudah tipu Laila yang dia nak bangun untuk solat tahajud. Padahal nak sembunyi-sembunyi baca novel seram. Isy, Juita pun tak pernah-pernah dalam hidupnya buat solat tahajud.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...