BAB 11

3 0 0
                                    

Lusa merupakan hari yang dinantikan, tapi ada pelbagai perasaan yang berlegar-legar mengelilingi hatinya. Sejak minggu lepas dia sudah mula-mula turut serta dalam grup Peminat Tegar Mambang Kuning di laman Facebook. Juita masih belum lagi menjadi peminat tegar Mambang Kuning. Dia masih lagi cuba mencari rentak, bak kata orang. Rentak dalam genre yang baru diterokainya. Sekurang-kurangnya dia sudah baca beberapa buah novel terlaris Mambang Kuning dan itu harus dibanggakan. Jujur, dia memang bangga dengan dirinya sendiri!

Namun, walaupun Juita agak ketinggalan mengenali novel-novel Mambang Kuning, dia tidak pernah rasa terpinggir dengan pembaca yang lain. Walaupun adalah juga seorang dua pembaca yang cuba menghalaunya secara halus daripada grup tersebut dengan memperlekehkan keupayaannya mengingat dialog-dialog popular daripada karya-karya Mambang Kuning, Juita hanya tersenyum sinis di sebalik skrin komputer ribanya.

Kerana antara mereka semua, Juita pasti tiada siapa pun yang benar-benar kenal dengan pemilik nama Mambang Kuning yang sebenarnya. Juita pasti yang seorang dua memperlekehkannya itu tiada seorang pun yang pernah tahu dia dan Mambang Kuning ada sejarah besar berdua. Lebih tepat lagi Juita dan Nabil Fadhlan pernah simpan janji... janji yang tak tertunai.

Keluhan berat dilepaskan.

Asyik mengeluh saja dia hari ini. Hal dia dengan Rozana pun macam selesai tak selesai aje. Dia pun keliru. Sekali-sekala dia bangun dari tempat duduk dan menjenguk kubikel bertentangannya iaitu kubikel Rozana. Sibuk benar rakannya itu menaip entah apa-apa. Sebijik sama macam watak gadis-gadis setiausaha dalam drama-drama televisyen tempatan.

Dia mengetap bibir dan kembali duduk di tempatnya. Selepas kejadian yang mengerikan di kedai Gila Novel tempoh hari, rasa serba salahnya pada Rozana tidak dapat dipadamkan.

Suatu pagi Rozana datang ke pejabat lebih awal dan meletakkan sehelai surat bertulis tangan di atas meja Juita. Dia memberitahu bahawa hampir-hampir saja tudungnya yang berharga RM 200 untuk rosak teruk gara-gara terpaksa berebut tandatangan Ikhwan Oh La La dengan peminat-peminat gila yang lain. Mujur... mujur sangat Ikhwan Oh La La perasan akan diri Rozana yang hampir-hampir mahu menangis. Terus saja dia minta seorang pengawal perempuan membawa Rozana ke arahnya dan menunaikan impian Rozana untuk mendapatkan tandatangan Ikhwan Oh La La. Bukan setakat sebuah, tetapi dua buah novel sekali gus, termasuk yang Juita punya. Sebab itu surat yang bertulis tangan ini didatangkan sekali bersama-sama dengan senaskhah novel bersampul kulit ronyok yang siap ditandatangan oleh Ikhwan Oh La La, novelis yang mungkin bakal jadi legenda Malaysia seratus tahun akan datang. Who knows...

Dalam suratnya itu, Rozana memberitahu yang Ikhwan Oh La La sangat terharu apabila melihat riak wajah Rozana yang penuh harapan hingga hampir menitikkan air mata. Pertama kali dia melihat seorang peminat yang benar-benar menghargainya. Sedangkan hakikatnya berbeza sekali. Rozana kecewa kerana dia tahu apabila pulang ke rumah nanti, pasti separuh daripada labuci dan manik pada tudung dua ratus ringgitnya itu akan hilang, lenyap dibawa sekali bersama keganasan para peminat Ikhwan Oh La La.

Adakah selepas ini Rozana akan meminati Ikhwan Oh La La lagi? Jawapannya tidak! Ia jelas tertera pada surat Rozana. Antara Ikhwan Oh La La dengan tudungnya yang penuh labuci dan manik itu, dia lebih rela memilih tudung. Mahal kut!

Tapi Juita yakin masa akan mengubati segala-galanya. Seperti sekarang ini. Ia memerlukan masa untuk melembutkan hati Rozana yang dingin itu. Selain daripada dia rasa kekok dengan keadaan tak mesra dia dengan Rozana ini, dia memerlukan temannya untuk sesuatu.

"Rozana, jom keluar makan tengah hari dengan aku hari ni." Juita bersuara selepas ambil masa beberapa ketika menyusun ayat. Dia tidak berani bertentang mata dengan Rozana jadi dia hanya bersuara di sebalik kubikelnya itu.

Mendengarkan pelawaan Juita itu, Rozana berdeham beberapa kali. Tiada jawapan muktamad yang keluar daripada mulutnya. Malah semakin laju pula kedengaran jari-jemarinya menaip. Laju dan kuat. Sengajalah tu bagi isyarat pada Juita yang dia tidak sudi. Merajuk!!

Manik-manik dengan labuci kat tudung aku tu siapa nak ganti? Jerit Rozana dalam hati.

"Aku belanja," sambung Juita lagi. "Okey?" tanya Juita meminta kepastian.

Hmm... bolehlah. Dekat Kafe Buluh Hijau tu." Amboi, siap ada permintaan khas. Juita setuju ajelah. Dia terpaksa... demi persahabatan, Juita terpaksa jugalah korbankan duit makan tengah harinya yang disimpan untuk esok. Selain meminta maaf, dia memang ada perkara penting hendak diberitahu pada Rozana.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now