BAB 40

5 0 0
                                    


Restoran Uncle K, SACC Shah Alam.

"You dah baca semua yang dia tulis dalam salinan buku nota tu?"

Aliff mengangguk.

"Apa yang you dapat daripada nota-nota tu?" soal Anggerik lagi.

"Itu kan rangka-rangka kasar untuk novel-novel dia."

"Betullah tu." Barulah Anggerik menanggalkan cermin mata hitamnya. Helaian rambut yang terjuntai di dahi, diselitkan ke telinga kanannya. Cantik. Anggerik memang cantik. Aliff tidak habis-habis memuji dalam hati. Namun begitu, dia tetap berasa kurang menyenangi wanita di hadapannya itu.

"Jadi, apa sebenarnya tujuan kau bagi aku salinan tu? Nak beritahu apa?"

"Nak beritahu yang Nabil tu bukanlah betul sangat. Semua cerita yang dia karang dan jadikan novel tu kononnya inspirasi daripada kisah benar," balas Anggerik sambil melepaskan satu keluhan berat. Dia terus mengalih pandang pada para pejalan kaki yang lalu-lalang di sebalik cermin kaca restoran tempat mereka berada sekarang ini. Keadaan panas terik di luar ibarat hatinya yang panas dan gundah-gulana.

"Maksud kau, apa? Ceritalah sampai habis. Jangan cerita separuh-separuh. Rimas aku."

"Okeylah. Janganlah marah. I saja nak uji you. Manalah tahu you dapat tangkap maksud tersirat daripada isi-isi dalam salinan nota tu. Maksud I, kalau you betul-betul perhati watak-watak utama dalam semua novel Nabil atau orang ramai lebih kenal dia sebagai Mambang Kuning tu, ada satu persamaan pada watak-watak tu. Watak-watak wanita, ya. Fokus pada yang wanita."

Aliff mula mengerutkan dahinya. Dia memang baca semua karya Mambang Kuning, kecuali yang terbaharu ini sebab masa itu dia baru tahu yang Mambang Kuning itu rupa-rupanya adalah Nabil Fadhlan, lelaki yang dicemburuinya kerana nama itu sering disebut-sebut oleh Juita.

Aliff mengeluarkan salinan fotostat buku nota Mambang Kuning dari beg sandangnya. Dia menyelak-nyelak seketika. Anggerik hanya memandang tingkah Aliff itu tanpa bersuara sepatah pun. Dia memberi ruang pada Aliff untuk mencari jawapannya. Jawapan yang nanti pasti akan mengeluarkan bertalu-talu persoalan lagi. Anggerik sudah bersedia dengan segala kemungkinan itu.

Mata Alif fokus pada watak-watak utama wanita dalam nota itu. Rangka-rangka kasar untuk setiap novel Mambang Kuning memang sudah ada nama-nama watak-wataknya. Baik watak utama atau watak sampingan. Bagaimana Aliff tahu mana satu yang utama dan sampingan? Aliff kan peminat karya-karya Mambang Kuning, tentulah dia sudah hafal watak dan perwatakan mereka.

"Semuanya cantik-cantik belaka?" Aliff meminta kepastian. Dia sempat menjeling ke arah Anggerik. Seingat Aliff, memang semua watak wanita utama dalam novel Mambang Kuning memang digambarkan sebagai seorang wanita cantik dengan rambut mayang mengurai hingga melepasi paras bahu. Kulitnya pula haruslah putih mulus dengan mata yang bundar dan menyerlah. Aliff ingat sangat gambaran tersebut kerana bukan sahaja dia meminati karya-karya Mambang Kuning tetapi itulah yang sering digambarkan oleh sang pengarangnya tentang watak-watak wanita utama dalam setiap karyanya. Seakan sudah menjadi trademark pula.

Anggerik yang berada hadapannya itu tersengih spontan. "Itu pun persamaan juga. Tapi ada yang lain."

Aliff menutup salinan fotostat nota Mambang Kuning itu. Diletakkan salinan itu ke tepi meja.

"Kalau ikut ingatan akulah tanpa rujuk nota-nota dia ni, semua watak wanita utama memang digambarkan sebagai seorang yang cantik. Bukan saja cantik, tapi ada sesuatu yang lain." Aliff mula bercerita pada Anggerik. Dia layankan sajalah Anggerik ni.

"You baca novel-novel dia?" soal Anggerik dengan wajah yang teruja. Ini sesuatu yang dia baru tahu dan menarik, bisik hatinya.

Aliff mengangguk. "Semua... kecuali yang terbaharu."

Anggerik mula memasang telinga dengan lebih teliti. Dia mahu dengar sendiri pandangan daripada orang lain. Lebih-lebih lagi padangan daripada seorang pembaca tegar.

"Kau suruh aku fokus pada watak-watak wanita utamanya saja, kan? Baiklah... berdasarkan pembacaan aku, mereka tu semua licik. Menggoda dan suka mempermainkan perasaan lelaki."

Anggerik sedikit tersentak dengan kata-kata Aliff itu. Dia melepaskan satu keluhan kecil, kemudian menghirup jus durian belanda yang dipesannya tadi. Namun, rasa gugupnya masih ada, tidak hilang. Nampaknya, Aliff memang perasan tentang persamaan yang ada pada watak-watak wanita itu.

Bagi Aliff, watak-watak wanita dalam novel-novel Mambang Kuning seperti watak femme-fatale dalam filem-filem noir. Wanita cantik tetapi penuh muslihat dan tipu daya. Watak lelaki boleh terjatuh dalam tipu daya watak-watak wanita tersebut jika tidak berhati-hati.

"Okey?" soal Aliff, bukan bertanyakan riak wajah Anggerik yang kelihatan seperti kurang selesa, tetapi dia bertanyakan hasil pembacaannya tentang watak-watak wanita itu. Inilah kali pertama Aliff melihat Anggerik berwajah gelisah. Selama ini wanita itu sering kelihatan yakin, tidak takut apa-apa dan kadangkala sengaja menunjukkan sikap tak makan samannya, termasuklah sewaktu dia hampir-hampir saja mahu menampar Anggerik.

Anggerik berdeham, melegakan tekak sebelum menjawab soalan Aliff.

"Okey. Memang okey."

"Apa yang okey?" Aliff pula tidak faham. Itulah, tanya soalan kurang jelas.

"Okeylah jawapan you tu. You memang pemerhati yang bagus. Mambang Kuning mesti gembira dapat pembaca peka macam you ni." Anggerik cuba ketawa, tetapi hambar.

"Jadi, apa seterusnya? Apa yang you... err kau nak beritahu aku ni sebenarnya?" Aliff sudah garu-garu kepala. Penatlah melayan Anggerik ni, sampai tersasul kata ganti diri.

"Tapi maklumat yang you bagi tu belum cukup." Anggerik menjawab datar. Riak wajahnya kembali seperti biasa. Seperti orang tiada perasaan.

"Apa lagi? Sudahlah... Anggerik! Aku malas nak layan kau ni. Buang masa saja." Aliff sudah mula bangun mahu meninggalkan meja mereka. Salinan fotostat buku nota Mambang Kuning itu tidak dibawanya sekali. Tidak penting!

"Kalaulah you bersabar sikit lagi, I boleh bagi tahu you yang kerja sama kita nanti ada kena-mengena dengan Juita. You boleh selamatkan nyawa Juita. Dan you pun boleh tanam semula impian untuk kahwin dengan... Anum."

Kata-kata Anggerik itu mematikan pergerakan Aliff. Kedua-dua nama yang disebut oleh wanita itu benar-benar menyentakkan Aliff.

Juita dan Anum.

Dia memandang tajam Anggerik yang sedang duduk bersandar sambil berpeluk tubuh. Sempat lagi Anggerik mengukir satu senyuman sinis ke arahnya, tanda Anggerik berjaya menundukkan ego Aliff dan lelaki itu terpaksa mengalah. Memanglah orang selalu kata, cinta boleh buat dunia mati kata-kata dan membekukan masa. Penuh kuasa.

Anggerik tertanya-tanya juga antara dua orang nama wanita yang keluar daripada mulutnya tadi, entah nama siapalah yang benar-benar berada tempat paling atas dalam carta hati Aliff. Senyumannya terukir lagi. Sinis dan penuh makna.

Aliff duduk kembali di tempatnya lalu menghabiskan saki-baki teh 'o' panasnya yang sudah pun sejuk itu.

"Apa pula kali ni?" soal Aliff, lalu terus mematikan senyum Anggerik. Bukan kerana dia tersentak dengan suara Alif yang sedikit kasar itu. Tetapi dia tahu sudah sampai masanya dia membuka segala rahsia. Membuka pekung di dada. Kini Aliff akan tahu sisi hidup gelapnya yang tidak pernah diberitahu pada siapa-siapa pun. Kecuali Nabil Fadhlan. 

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now