"Abang Amat, kau biar betul nak tolong aku?" Aliff seakan tidak percaya yang Abang Amat mahu tolong dia selesaikan masalah kewangannya itu. Rasa mahu sembah pula kaki Abang Amat. Tapi cepat-cepat dia mewaraskan fikirannya.
Abang Amat mengangguk sungguh-sungguh. Betullah tu.
"Abang Amat, aku memang buntu nak cari duit untuk kahwin ni. Bukan tak mampu tapi kalau ikut cara aku, buat kecil-kecilan lepas tu hidup sederhana seadanya, aku memang mampu. Cuma itulah..." Aliff tidak dapat meneruskan kata-katanya.
"Aku pun pernah jadi macam kau dulu. Tak cukup duit nak buat kahwin. Lepas tu, kita kena fikir fasal nak sara bini lagi. Kalau dah ada anak, bertambah lagi tanggungjawab. Tapi kau kena terima semua ni dengan rasa penuh bangga dan terbuka, sebab kau lelaki."
"Tapi kes aku ni lain, Abang Amat. Duit aku memang cukup, tapi..."
"Leon dah cerita semua pada aku. Dia kata kau kena rompak masa keluarkan duit untuk tolong kawan kau, kan? Jadi, dia panggil aku untuk tolong kau. Aku memang nak tolong kau. Risau pula kalau kau tak jadi kahwin. Menangis tak berlagu." Abang Amat menepuk bahu Aliff perlahan-lahan, cuba memujuk.
Kata-kata Abang Amat itu mengejutkan Leon. Tak guna punya kawan. Sanggup menipu semata-mata nak selamatkan diri sendiri. Tapi, Aliff hanya tersenyum nipis mendengar kata-kata Abang Amat itu. Macamlah dia tak kenal perangai Si Leon itu.
Kalau dia tak jadi kahwin dengan Anum, apalah agaknya akn berlaku? Perang Dunia Ketiga dengan Uncle Wan?
"Anum tahu fasal ni?" soal Abang Amat tiba-tiba.
Aliff geleng kepala.
"Dia tak boleh tahu, bang. Aku tak mahulah dia susah hati." Selain daripada itu, dengan tidak memberitahu Anum, maka Uncle Wan pun tidak dapat menghidu masalah kewangannya ini. Kalaulah kedua-dua anak-beranak itu tahu keadaannya, tentu sahaja ia akan memberi impak yang besar tentang hubungannya dengan Anum. Paling dia takuti sekali, emosinya akan terganggu berat. Dia tidak tahu bagaimana dia mahu berhadapan dengan Anum dan Uncle Wan. Uncle Wan lebih-lebih lagi.
Kemudian tanpa meminta izin, Abang Amat tiba-tiba saja memegang dagu Aliff sambil menilik wajah Aliff yang sudah kehairanan. Rasa seram sejuk tidak semena-mena menerpa diri Aliff.
"Selain daripada kau memang perlukan duit untuk kahwin, aku rasa muka kau ni memang menepati ciri-ciri yang aku cari. Ada rupa dan gaya jugalah. Kalau setakat nak jadi model majalah picisan tu kira lepas la juga," kata Abang Amat.
Aliff sudah telan liur. Wajah Leon sudah terbayang-bayang di mindanya. Kalau terjadi yang bukan-bukan pada dirinya, Leon dulu yang Aliff akan cari.
"Hari tu kata nak suruh aku tolong meniaga kat pasar karat. Takkan nak kena ada tapisan wajah dulu? Aku kena buat apa-apa yang mengghairahkan ke? Kalau macam tu tak jadilah, Abang Amat. Aku ni nak kahwin. Jadi, sumber kewangan aku kenalah berkat." Aliff menepis tangan Abang Amat yang dari tadi asyik pegang dagunya. Geli-geleman dia rasa. Naik bulu romanya.
Rupa-rupanya berkali-kali Abang Amat menelefon dan pujuk rayunya itu maknanya bukanlah untuk tolong meniaga di Pasar Karat Shah Alam. Entah apalah yang dia suruh aku jual nanti, Aliff sudah fikir bukan-bukan dalam hati. Semakin serabut fikirannya ketika ini. Lain yang diharap, lain pula yang dia dapat.
Abang Amat terkejut sikit dengan tingkah Aliff itu. Dia pula tidak menyangka Aliff boleh berani-berani menepis tangan sasanya itu. Dia pandang Aliff yang sedikit-sedikit sudah menjauhi dirinya.
Namun kemudian Abang Amat gelak berdekah-dekah. Makin lama makin kuat sehingga menarik perhatian pakcik jual kerepek tepi bank berhampiran mereka berdua. Abang Amat kesat air matanya dengan belakang tangan sebelum menyambung bicara kembali.
"Aku tak tahulah nak kata kau ni lucu atau lucah, Aliff."
"Bang, mulut tu jaga sikit..." Aliff tak senang dengan tuduhan Abang Amat yang akhir itu.
"Kau ingat aku nak suruh kau buat apa? Penari tiang ke kat pasar karat tu ke? Aduhai... kau ni. Aku bukan nak suruh kau buat benda bukan-bukan. Memang aku nak suruh kau berniaga. Aku tengok muka kau ni ada potensi untuk jadi pembantu kat tapak perniagaan aku ni. Itu sebab aku nak ambil kau."
"Habis tu?" Aliff meminta penerangan lebih lanjut lagi.
"Leon ada bagi tahu aku meniaga apa?" Abang Amat memulangkan pertanyaan kepada Aliff pula.
Aliff menggeleng laju.
"Aku dah agak dah. Budak Leon ni semenjak dah ada bini, semua benda dia lupa. Aku ada buka tapak jual barang-barang kosmetik wanita. Aku tak menang tangan nak layan ramai pelanggan kat sana. Jadi, itu sebab aku panggil kau datang untuk tolong aku kat pasar karat nanti. Boleh?"
Aliff tersentak. Barangan kosmetik wanita? Dalam banyak-banyak barang yang dijual di pasar karat itu, dia tidak terfikir pun yang Abang Amat akan memilih untuk menjual barangan kosmetik wanita. Semasa dia menghubungi Abang Amat untuk bersetuju menerima pelawaan lelaki badan sasa itu, dia ingat masalahnya akan selesai. Dia dapat kumpul duit tambahan untuk kahwin Tapi sekarang ini dia berasa serba salah pula.
"Macam mana? Boleh tak?" Abang Amat minta kepastian.
"Takkan aku nak jual barang macam tu, Abang Amat? Aku lelaki kut..." Sah, memang Aliff terasa malu yang amat dan kehormatannya bagai dicarik-carik apabila Abang Amat mempelawanya untuk berniaga kosmetik wanita. Pasar karat itu bukannya sikit orang yang datang. Entah-entah, tiap-tiap minggu lebih separuh penduduk Shah Alam akan datang situ.
Mendengarkan kata-kata tidak memberangsangkan itu, terus saja Abang Amat mengajak Aliff singgah di sebuah restoran mamak berdekatan. Abang Amat belanja Aliff kopi 'o' ais. Mereka berbual-bual perkara di luar topik perniagaan Abang Amat selama beberapa minit sebelum Abang Amat kembali semula ke tujuan asalnya – memujuk Aliff berniaga bersamanya.
"Mula-mula memanglah kau rasa malu sikit. Tapi, lama-lama kau mesti rasa seronok. Duit masuk, mesti kau akan lebih bersemangat untuk berniaga nanti. Dulu aku pun macam tu juga. Orang perempuan pun macam takut-takut nak datang beli. Nasib baik ada isteri aku tolong sekali. Sekarang ni, isteri aku duduk rumah aje. Aku dah boleh tarik pelanggan sendiri. Cuma sekarang ni, aku tak menang tangan. Isteri aku pula mengandung anak kembar. Jadi aku perlukan pembantu dan kaulah orang yang aku cari-cari selama ni." Panjang lebar Abang Amat menerangkan pada Aliff. Moga-moga pintu hati Aliff terbuka untuk terima pelawaannya.
"Tapi, Abang Amat..." Aliff garu-garu kepalanya. Dia dalam dilema ni.
"Tapi... kau kan nak kahwin. Kenalah kumpul duit dari sekarang. Aku dah ada pelanggan tetap. Kau tak perlu risau sangat fasal tu. Insya-Allah ramai datang beli barang kosmetik tu. Aku akan ajar la kau sikit-sikit fasal kosmetik yang dijual tu. Tak susah mana pun. Entah-entah, masa naik pelamin nanti kau yang tolong mekapkan isteri kau. Tak payah ambil jurumekap. Muka kau ni aku rasa memang boleh jadi pelaris barangan kosmetik aku la. Aku dapat rasakan perempuan Malaysia suka muka ala-ala maco tapi tak nampak poyo, keanak-anakan tapi tak nampak terlalu muda sangat. Pendek kata muka kau ni sesuai jadi model barangan kecantikan." Abang Amat tertawa kecil membuatkan Aliff diam terkaku tidak dapat berkata apa-apa. Maklumlah pertama kali orang meneliti wajahnya sampai sebegitu rupa. Lelaki pula tu. Lelaki berbadan sasa pula tu. Abang Amat pula tu! Aliff geleng kepala.
"Bang, aku minta diri sekejap. Lagi lima minit aku datang balik."
Aliff kemudian bangun dan berjalan jauh sikit daripada pandangan Abang Amat. Dia berdiri menghadap sebuah dinding kedai dan memandang kosong dinding itu. Kemudian, dia menumbuk-numbuk dinding tersebut sehinggalah dia merasakan tangannya benar-benar sakit, barulah dia berhenti. Dia memohon kekuatan. Satu keluhan berat dilepaskan. Lalu, dia kembali bertemu Abang Amat semula.
"Macam mana?" soal Abang Amat.
"Okey, bang. Aku terima." Aliff bersalam erat dengan Abang Amat sambil mengucapkan terima kasih.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Aliff tidak henti-henti berdoa agar Juita tidak ambil pesan daripada teman-temannya untuk membeli tudung. Sekurang-kurangnya dalam masa tiga empat bulan dari sekarang.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...