BAB 7

8 0 0
                                    

"Sejak bila ni?" tanya Aliff selepas duduk melepaskan lelah. Penat bawa buku-buku dalam beg sandangnya tak hilang lagi.

"Duduk dulu. Pesanlah apa-apa. Aku belanja ni," beritahu Juita tanpa menjawab soalan Aliff.

Aliff memandang sinis Juita. Susah benar dia mahu percaya yang Juita ada hati nak belanja dia. Dahlah mereka berada restoran yang agak mewah juga harga makanannya.

"Jangan tak percaya. Tengok ni, memang aku belanja." Juita keluarkan beg duit dia sambil menggoyang-goyangkan beg duit macam bunjut sup itu.

Ka-ching... ka-ching!

Bunyi-bunyian duit syiling berlaga mesra sesama sendiri di dalam beg duitnya. Kemudian, Juita mempelawa pula Aliff melambung-lambung beg duitnya itu. Dan ternyata ia agak berat. Tapi, betul ke Juita mahu belanja Aliff dengan wang sebanyak itu. Guna duit syiling pula tu. Tak mungkinlah Juita mahu menunjuk-nunjuk wang kertasnya pula. Bahaya!

Ah, orang mahu belanja... sepatutnya dibiarkan saja! Tak perlulah berfikir panjang-panjang, kan.

"Hmm... aku nak pesan..." Aliff sudah mula membelek-belek buku menu di atas meja. Perutnya secara automatik seperti ada getaran. Itu tandanya dia kelaparan sebaik melihat gambar makanan pada menu yang disediakan itu.

"Sekejap... sekejap. Buka yang bahagian ini." Juita segera menyelak senarai menu di bahagian belakang sekali. Bahagian minuman.

"Ini sahaja. Kau boleh pilih yang mana-mana kau suka. Daripada yang harga seringgit sampailah yang harga lima belas ringgit. Jangan risau. Akan aku tanggung semuanya," jelas Juita.

"Makan?"

"Makan, sendiri-sendirilah. Kau ingat aku ni cop duit ke?" Juita memandang Aliff dengan riak wajah terkejut yang sengaja dibuat-buat. Aliff ini, macam tak tahu pula...

Aliff sudah agak. Ayat klise turun-temurun daripada Juita itu dia ingatkan dia tidak akan dengar hari ini. Dia memang silap besar. Kalau dia tahu, awal-awal lagi dia sudah makan di rumah. Masak sendiri. Jimat!

Namun, memandangkan Juita sudah memesan pasta oglio olio, Aliff sudah tidak dapat menahan diri daripada memesan err... dia cuba cari makanan yang paling murah dan mengenyangkan... tapi...

"Dik, bagi oglio olio ni. Lepas tu, yang ini satu ya, dik. Air nanti kita orang pesan kemudian."

"Kau pesan lasagna tadi buat apa?" Aliff menyoal.

"Kau kan suka lasagna. Lasagna daging kat sini sedap, okey! Aku sengaja bawa kau datang sini supaya dapat rasa lasagna yang sedap ni." Juita menjelaskan.

"Itu dulu. Sekarang aku cuba untuk tidak suka lasagna buat tempoh waktu tertentu."

"Eh, kenapa pula?" soal Juita lagi. Dia pandang Aliff atas bawah. Tak ada nampak pun tanda-tanda kawannya yang seorang ini dalam proses diet. Sama saja bentuk badannya.

"Itu hal peribadi aku. RM 17 kut harga lasagna tu. Dengan RM 17, aku boleh buat belanja makan dua kali, kau tahu tak."

Mendengar saja kata-kata Aliff itu, Juita mengerutkan dahinya. Tidak dia menyangka yang Aliff boleh berkira pula bab-bab makanan ni. Inikah Aliff yang pernah memberitahunya bahawa makanan adalah antara terapi terbaik yang pernah Tuhan berikan kepada manusia, dan dia antara manusia yang tidak berkira dengan harga makanan sangat. Sudah bertukar prinsipkah lelaki di hadapannya itu?

"Tapi, aku dah pesan. Kau kena makan juga," balas Juita selamba.

Aliff memandang tajam ke arah Juita, begitu juga sebaliknya. Dia mahu meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap gadis berkulit sawo matang di hadapannya itu. Tapi dia tidak mampu. Bagaimana dia mampu memarahi gadis ini, sedangkan dengan Leon pun hatinya senang benar sejuk. Juita adalah satu nama yang tidak pernah terlintas lagi di hatinya untuk dimarahi, apatah dikasari hanya semata-mata kerana sepinggan lasagna daging yang berharga RM 17.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now