Imbas kembali...
2001
Sepanjang dia melalui zaman persekolahan menengah, dia tidak pernah berasa sebegini resah dan bimbang. Kali ini dia sendiri hairan bagaimana dia boleh rasa tergugat dengan kehadiran seorang gadis yang entah datang dari mana-mana.
Sebelum ini nama Juita tidak pernah wujud pun dalam kamus hidup dia. Gadis bertudung, bermuka polos dan sering membawa beg sekolah berusia lebih lima tahun itu tidak pernah pun terlihat daripada pandangan matanya. Dia tidak pernah jumpa mana-mana pun di kawasan sekolah. Malah, mendengar nama Juita binti Jais pun tidak pernah. Sehinggalah dia terdengar khabar angin ada satu hubungan rahsia antara Juita dan Nabil. Itu pun dia masih lagi cuba menyelidik Nabil yang mana satukah itu. Ada beberapa orang Nabil juga dalam sekolah mereka itu.
Apabila nama Nabil Fadhlan bin Ridhuan disebut-sebut sebagai lelaki yang sering berhubungan secara rahsia dengan Juita, riaknya terus sahaja tidak keruan. Hubungan keluarga antara dia dan Nabil sememangnya tidak diketahui ramai. Hanya rakan-rakan rapat saja yang tahu mengenainya. Itu pun hanya sekadar dasar saja. Lebih daripada itu, mereka tidak perlu tahu dan dia pun tidak ada rasa untuk memberitahunya.
Sejak itu, dia mula belajar untuk ambil tahu siapa Juita binti Jais itu. Bermula dengan berkenalan dengan wajah tersebut, kelasnya di mana, rakan-rakan rapatnya sehinggalah hal keluarga Juita, dia selidiki. Dia tidak perlu bertanya pada empunya badan. Cukuplah dia sekadar memerhati dari jauh dan menggunakan rakan-rakan sekeliling yang ada sebagai pemberi maklumat. Bukan setakat itu sahaja. Dia juga punyai pemberi maklumat tambahan yang tiada kena-mengena dengan ahli di kawasan sekolahnya. Jikalau ia berkenaan dengan Nabil Fadhlan, dia tidak boleh ambil tidak kesah. Dia perlu lakukan dengan bersungguh-sungguh. Ini melibatkan soal yang lebih besar. Tentang hidupnya.
***
Anggerik melihat rakan-rakan yang bergegas pulang setelah loceng tamat persekolahan berbunyi. Dia mengemas perlahan-lahan buku-buku di atas meja. Para pelajar sesi petang pula belum masuk ke dalam kelas. Dia berjalan lenggang-lenggok ke arah budak-budak junior sesi petang yang beratur di tapak perhimpunan tengah-tengah panas terik itu. Nasiblah kau orang, Anggerik berlalu sambil tersenyum sinis. Zaman sesi petang persekolahan adalah zaman yang tidak digalakkan untuk terlalu menjaga kulit sangat. Tetap berminyak, berkerak dan gelap. Tunggulah apabila naik ke sesi pagi. Masa tu, perhimpunan awal pagi sekitar jam 7.30. Matahari pula baru naik dan kalau matahari memancar pun, cahayanya sihat dan segar.
"Anggerik, cepatlah. Penatlah tunggu." Mardiana yang sudah berada beberapa langkah di depannya menjerit halus. Lenggang-lenggoknya pun, kakinya melangkah cepat. Bukan seperti Anggerik yang sekejap-sekejap berhenti tengok orang itu, tengok orang ini.
"Mar, you balik dululah. I ada hal sekejap," balas Anggerik pula.
"Tak jadilah kita nak gosip-gosip ni?" Mardiana buat muka kecewa.
"Gosip apa?"
"Alah, you ni. Gosip you dengan Sufian la. Kecoh dah satu batch kita. Budak batch junior pun ada yang dah tahu."
"Isy, tak mahulah cerita fasal tu. Tak best!" Anggerik terus berlalu menukar arah jalannya dan meninggalkan Mardiana terkontang-kanting.
Langkah kaki Anggerik diayun pantas menuju ke aras empat bangunan sekolah. Sesampai sahaja di hujung tangga, dia memperlahankan langkahannya. Matanya tertancap tajam ke arah jendela kelas yang terletak di hujung dan bertentangan tangga itu. Kosong. Hanya sekali-sekala angin panas tengah hari menampar lembut langsir-langsir kusam pada jendela.
Anggerik melepaskan satu keluhan berat. Baru sekarang ini dia terasa lelah kerana berjalan laju. Malangnya dia terlambat beberapa minit saja. Dia memandang semula ke arah kelas tersebut. Sunyi dan suram. Langsir-langsir jendela masih lagi ditiup angin lembut, seolah-olah melambai-lambai ke arahnya. Menjemputnya agar datang lebih dekat ke arah kelas itu. Anggerik melihat keadaan sekelilingnya. Aras empat ini sudah kosong. Hanya dia seorang sahaja rupa-rupanya yang berada di sini. Bulu romanya tiba-tiba meremang. Cepat-cepat dia melangkah turun ke bawah. Banyak juga dia cerita yang kurang enak dia dengar tentang aras empat ini. Tapi, yang itu sekarang tidak penting. Yang menjadi persoalannya sekarang ini di mana Nabil?
Anggerik kemudiannya melangkah menuju ke pusat sumber sekolah. Nalurinya kuat mengatakan Nabil ada di situ. Dia menaggalkan kasut dan melangkah perlahan masuk di dalam pusat sumber. Matanya mencari-cari kelibat Nabil. Lehernya menjenguk-jenguk ke setiap sudut mencari wajah Nabil. Akhirnya di satu sudut yang agak terpencil, mata Anggerik menjumpai apa yang dicarinya. Nabil Fadhlan... dan Juita seperti biasa.
Dia sudah agak yang budak perempuan bernama Juita itu pasti akan ada bersama Nabil. Entah apalah yang mereka borakkan dengan penuh asyik itu? Kata Nabil tentang buku. Dia dan Nabil pun ada juga borak-borak fasal buku, tapi tidaklah nampak Nabil begitu berminat dengan perbualan mereka. Sekadar mendengar, mengiakan dan sekali-sekala menyampuk. Kemudian, setelah beberapa hari dia cuba mendapatkan maklumat daripada rakannya tentang kegemaran Juita serta mengorek sikit-sikit daripada Nabil apa yang dia dan Juita bualkan, barulah Anggerik tahu mereka rupa-rupanya berbual tentang novel.
Sayangnya, Anggerik tak baca novel. Dia memang membaca buku tetapi bukan novel. Dia baca majalah, buku-buku pelajaran dan sekali-sekala cerpen-cerpen yang pernah tersiar di surat khabar atau majalah. Novel bukan kegemarannya. Ia mengambil masa yang lama untuk dihabiskan dan melelahkan. Macam manalah dia tidak sedar yang Nabil itu penggemar novel? Dan kalaulah dia tahu yang Nabil itu membaca novel, dia tidak akan teragak-agak untuk membeli dan meminjam novel di pusat sumber. Dia akan membaca, menelaah dan memperuntukkan masa khas untuk menghadam segala jenis novel terutama yang diminati oleh Nabil. Tidak perlulah Nabil bersusah payah mencari Anggerik untuk sesi bedah novel. Dia kan ada. Dia kan lebih Nabil kenali dan selesa untuk berbual selama ini. Mereka berdua kenal sejarah hidup masing-masing. Tak perlu lagi orang lain. Pendek kata, Nabil tak perlu rapat dengan perempuan lain untuk bercerita hal novel.
Anggerik masuk ke dalam pusat sumber dan terus ke rak bacaan ringan. Pura-pura mencari buku. Dia sengaja membunyikan kunci di dalam kocek baju kurungnya supaya Nabil dan Juita sedar akan kehadirannya. Bukannya ramai orang pun dalam pusat sumber ini. Tentu saja mereka sedar kehadiran Anggerik.
Juita yang perasan kehadiran Anggerik mula rasa tidak senang duduk. Dia yang tadi berbual tak henti-henti dan bersemangat bercerita mula memperlahankan rentak perbualannya. Suaranya yang tadi asyik ditegur pustakawan sehingga hampir-hampir sahaja mereka berdua diberi amaran untuk meninggalkan pusat sumber, kini menjadi perlahan dan hampir-hampir saja kepada berbisik.
Nabil yang perasan dengan perubahan Juita itu mula menoleh ke sekeliling. Rupa-rupanya Anggerik duduk betul-betul di meja belakang mereka. Setentang dengan Juita. Dari tempat duduk Juita, Anggerik sedang khusyuk membaca sebuah buku. Secara spesifiknya sebuah novel. Atau kalau mahu lebih spesifik lagi, novel terbaharu edisi khas kulit keras Arwah Orked Ungu yang tidak sempat dilihat oleh sang penulis itu. Judulnya, Memeluk Takdir yang Terlewat.
Sebaik sahaja Juita membaca nama penulis yang tentunya dicetak dengan font yang besar serta judul tersebut, hatinya menjadi bertambah tidak keruan. Eh, tak pernah dia baca novel Orked Ungu yang ini? Mahu saja Juita bangun dan menyapa Anggerik, tetapi dia segan (atau tidak sudi sebenarnya?). Lalu dia ambil sehelai kertas, tuliskan sesuatu di atasnya dan menunjukkan kepada Nabil. Tujuannya berbuat begitu agar Anggerik tidak tahu apa yang diperkatakan.
Nabil membaca sekali imbas nota itu, lalu berpaling ke belakang. Dia melihat Anggerik sedang khusyuk membaca novel Memeluk Takdir yang Terlewat itu. Sempat juga Anggerik menjeling ke arah Nabil. Beberapa minit kemudian, Anggerik tutup novel, bangun dan beredar dari pusat sumber. Tanpa menegur Nabil seperti kejadian tempoh hari. Dia tidak perlu berbuat begitu kerana Nabil sendiri kemudiannya minta izin daripada Juita untuk beredar pulang. Walaupun Nabil tidak beritahu apa-apa, tetapi Juita sendiri sudah dapat mengagak ia pasti ada kena-mengena dengan Anggerik.
Pergilah, Nabil. Pulanglah... ke pangkuan Anggerik. Tapi jangan lupa bertemuku lagi. Ini janji kita. Juita memujuk hatinya yang penuh rasa cemburu itu.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...