BAB 12

3 0 0
                                    

"Eee... tak mahulah!!" Hampir-hampir saja Rozana tercekik nasi goreng istimewanya itu. Keropok ikan di tangannya itu juga diletakkan kembali di atas pinggan. Air sirap selasih saiz besar dihirup dengan cepat. Biar semua sisa-sisa makanannya dibawa masuk ke dalam kerongkong. Dia mahu habiskan kunyahannya itu segera supaya senang dia mahu meneruskan bicaranya dengan Juita.

"Alah... kau tak payah buat apa-apa. Teman aku aje." Juita memujuk. Dia tidak menjamah apa-apa tengah hari itu. Hanya segelas teh 'o' ais limau saja yang dipesan tadi. Saja buat syarat supaya Rozana tidak syak yang dia sedang jimat cermat untuk makan esok tengah hari. Kalau tak pun dia sudah berfikir-fikir untuk minta tolong Laila saja masakkan 'cekodok jujur' untuk dia.

"Tak mahu. Aku dah serik. Lagipun... Mambang Kuning? Sejak bila ni?" soal Rozana hairan.

"Adalah... lebih kurang sebulan lepas." Juita membalas perlahan. Dia mengetap bibir dengan harapan Rozana tidak cuba-cuba korek semula kata-katanya dulu. Biarlah apa yang dia pernah katakan dulu itu hilang lenyap terus daripada ingatan Rozana.

"Hah!"

Nada suara itu Juita kenal sangat. Nada suara keji yang mahu menyindir dia habis-habisan oleh Rozana selepas ini. Nah, mana mungkin temannya itu lupa kata-katanya dulu! Dengan lantang sekali dia bersuara ketika itu. Macam orang tak ingat dunia.

"Mambang Kuning tu novelis paling tak sedar diuntung yang kau tak pernah jumpa. Kau pernah bagi tahu pada aku dulu, kan? Kau kata lagi, nama pena yang serupa hantu tu tak layak digemari oleh pembaca-pembaca novel Malaysia. Sebab apa? Sebab kau kata novel-novel dia bukannya sedap pun. Baca daripada blurb belakang sampul kulit buku pun kau tak faham satu apa. Kau ingat tak tu? Kau yang beritahu aku semua tu." Rozana mengangkat-angkat kening kanannya. Dia tak berniat nak menyindir rakan yang belanja dia makan setahun sekali ini. Dia cuba mengingatkan saja.

"Mambang Kuning tu bukan nama hantulah. Maksud aku ada makna lain disebaliknya." Juita membalas tanpa menjawab pertanyaan Rozana.

"Habis tu, kalau bukan hantu, apa pula? Jelas terpampang nama mambang dekat novel-novel dia. Dah tulis cerita seram, thriller, mestilah kena guna nama yang sepadan dengan genre novel dia. Tak gitu, Cik Juita?"

"Memang begitulah, Cik Rozana. Betullah kata kau tu. Tapi baru aku tahu mambang kuning tu maksudnya bukan hantu atau syaitan berwarna kuning." Juita memberitahu. Kenapalah dari dulu lagi dia tidak tersedar akan perkara ini. Kalaulah dia tahu hal sebenar, mungkin Juita antara manusia terawal yang menjadi peminat tegar Mambang Kuning.

"Habis tu, apa maksud Mambang Kuning tu?" Rozana juga ingin tahu.

Mambang Kuning dengan Nabil Fadhlan memang satu kombinasi yang memang tidak dapat dipisahkan. Juita memandang tepat pada wajah temannya itu.

"Kalau kau berjalan di tepi-tepi pantai waktu senja nak merembang kau akan nampak mambang kuning. Di mana-mana. Tidak terhad pada orang yang ada keupayaan melihat makhluk halus. Orang-orang biasa macam kita yang tak ada keistimewaan tu pun boleh nampak... dengan jelas dan terang lagi," terang Juita dengan penuh penghayatan. Pejam-pejam mata sikit dan sekali-sekala menghirup Nampaknya gaya percakapannya bagai sudah terikut-ikut dengan gaya penulisan Mambang Kuning. Misteri dan menyeramkan.

"Eeee... Juita, are you okay?" Rozana memetik-metik jarinya di hadapan mata Juita yang seakan-akan terkena hipnosis itu. Tetapi Juita bukan dihipnosis atau dipukau oleh mana-mana mambang. Dia masih waras dan sedar diri.

"Mambang kuning tu maksudnya warna kuning kemerah-merahan pada waktu nak senja. Waktu matahari nak terbenam. Itulah maksudnya. Semua orang yang ada deria melihat boleh nampak mambang kuning tu. Termasuk kau dan aku. Dan ya, aku okey. Sihat afiat," balas Juita.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now