Imbas kembali...
Tahun 2000
Selama seminggu kelibat Anggerik tidak kelihatan di sekolah, selama seminggu itulah dia jadi gelisah dan tidak keruan. Sejak kejadian tempoh hari, hatinya seakan-akan tidak mahu berhenti daripada mengingati wajah itu. Nama Anggerik sudah sebati di bibirnya setiap kali dia teringatkan gadis itu. Nama Anggerik ibarat mantera yang mampu memberi semangat padanya.
Mengingat kembali kejadian seminggu lepas, dia sendiri tidak menyangka ia akan berakhir dengan satu tragedi berdarah. Anggerik terus saja rebah apabila lelaki yang dipanggilnya Abang Arman itu dilanggar lari oleh sebuah kereta yang dipandu laju dari arah belakang lelaki itu.
Dia dan seorang lelaki yang berada di situ membantu Anggerik untuk dihantar pulang ke rumahnya. Sementara beberapa orang lelaki yang dalam perjalanan ke masjid membantu menelefon ambulans dan menemani Arman.
Bagaimana Arman boleh mengenali Anggerik? Apa hubungan lelaki itu dengan Anggerik? Persoalan-persoalan itu kerap kali menghantui dirinya. Masih jelas di ingatannya bagaimana riak wajah Anggerik saat Arman melambai-lambai ke arahnya. Penuh senyuman dan kelegaan besar.
Dia menghantar Anggerik ke rumahnya berdasarkan alamat pada kad pengenalan Anggerik. Rupa-rupanya rumah mereka tidak jauh antara satu sama lain. Mereka tinggal di seksyen yang sama, cuma berlainan lorong saja. Kalau dari rumah Anggerik, dia hanya perlu berjalan kaki kira-kira sepuluh minit saja untuk pulang ke rumahnya. Begini rupanya takdir berkerja. Anggerik, gadis yang sering diperhatikannya di sekolah semenjak gadis itu berpindah ke sekolahnya rupa-rupanya adalah jirannya.
Yang ada di rumah Anggerik pada ketika itu hanyalah pembantu rumahnya yang terus saja meluru pada tempat duduk belakang kereta apabila melihat Anggerik terbaring di situ. Kemudian, tanpa ditangguh-tangguh lagi, pembantu rumah yang bernama Kak Zaleha itu merenjis-renjis wajah Anggerik dengan air dari pili laman rumah.
Sebaik sahaja tersedar daripada pengsan, Anggerik duduk beberapa saat. Dia menangis teresak-esak sebelum esakan kecilnya itu akhirnya menjadi raungan penuh sayu dan tak tertahankan.
Itulah pertama kali dia memandang lama dan dalam wajah Anggerik. Pada ketika itu dia mulai menyedari lelaki yang dipanggil Abang Arman itu bukan calang-calang orang dalam hidup Anggerik.
Sebelum itu dia sudah awal-awal lagi meminjam telefon rumah Anggerik untuk memberitahu ibu bapanya bahawa dia selamat dan akan pulang sebentar nanti. Dia mahu ada dengan Anggerik ketika itu. Dia mahu menenangkan hati gadis itu. Sayangnya, dia sendiri pun tidak tahu bagaimana. Melihatkan wajah Anggerik yang sugul dan termenung panjang itu, dia akhirnya meminta izin daripada Kak Zaleha untuk pulang ke rumah. Sebelum pulang, dia menulis sesuatu pada sehelai kertas yang dikoyak daripada buku latihan sekolahnya. Lalu diselitkan pada jari-jemari kanan Anggerik. Dia meninggalkan rumah itu dan Anggerik yang tidak mampu memberi tindak balas apa-apa pun ketika itu. Kaku seperti batu.
Jangan takut untuk kongsi cerita. Kita ni manusia. Manusia perlukan teman untuk bicara dan untuk teruskan hidup.
~ Nabil Fadhlan, 3 Amanah.
***
Pada pagi itu heboh satu sekolah sesi pagi apabila mereka melihat kelibat Anggerik datang ke sekolah setelah seminggu dia tidak hadir. Sejak kejadian langgar lari itu, memang ada ura-ura yang didengari bahawa Anggerik sudah berpindah ke sekolah lain. Tapi apabila Anggerik selamba saja ikut beratur di perhimpunan pagi sebelum masuk ke kelas, segala khabar angin itu terpadam terus.
Dia yang terpandang kelibat Anggerik terkejut besar. Mana taknya, tiap-tiap hari dia mengintai kelas Anggerik, tetapi dia seringkali pulang dengan hampa. Apabila terpandangkan saja wajah Anggerik di dewan perhimpunan, mahu saja dia melaung memanggil nama Anggerik dan melambai-lambai ke arah gadis itu. Tetapi ditahan sekuat hati. Dia mahu tunggu masa bersua itu pada waktu rehat nanti. Dia tahu Anggerik tidak pernah berada di kantin pada waktu rehat. Dia hanya sekali-sekala pernah ternampak Anggerik makan di bawah sebuah pohon besar tepi padang sekolah. Seorang diri. Kali ini dia nekad mahu bersemuka dengan Anggerik. Untuk hari ini dia tidak mahu termakan hasutan kawan-kawannya yang beria-ia mengajaknya makan nasi goreng seringgit atau mi sup seringgit setengah itu. Aduh, mengingatkan menu-menu tersebut, serta-merta saja dia terliur.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
Fiction généraleMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...