BAB 21

4 0 0
                                    

"Jadi, ada apa dengan Anggerik? Aliff menyoal apabila mereka sampai di kedai buku.

"Oh, perempuan tu. Nabil kata, dia dan Anggerik tak rapat. Selalu gaduh, tetapi mereka tak boleh lari daripada berjumpa sekali-sekala. Sebabnya, keluarga dia orang pun memang berkawan juga. Tapi... Nabil kata, dia dengan Anggerik tu kawan biasa ajelah. Tak lebih daripada tu."

"Lagi?"

"Tu aje setakat ni yang Nabil cerita kat aku. Dia tak nak cerita lebih-lebih fasal Anggerik. Kata dia, dia tak suka. Buat sedih. Aku pun tak naklah tanya lebih-lebih. Lagipun sekarang ni dia tengah fokus... fokus nak siapkan manuskrip baharu. Dia kata, nanti kalau ada masa dia akan ceritakan juga kisah dia dengan Anggerik. Macam mana selepas 12 tahun ni dia muncul semula. Hmm... misteri sangat, kan?" Juita bercerita sambil tangannya membelek-belek buku-buku yang ada di rak yang disediakan.

"Misteri macam cerita dalam novel-novel dia juga. Misteri seram." Aliff ketawa kecil lalu meninggalkan Juita untuk ke rak buku Self-Help. Nampaknya, dia memerlukan sebuah buku tentang cara-cara bagaimana mahu mengawal riak wajah agar tidak terlalu ketara menonjolkan perasaannya terutama perasaan cemburu. Atau patutkah dia berdoa pada Tuhan agar hapuskan saja perasaan-perasaan kurang enak yang bertandang sejak kebelakangan ini secara perlahan-perlahan. Perlahan-lahan sehingga dia tidak perlu lagi bersusah payah termenung mengenang nasib?

Juita pula tidak menghiraukan Aliff dan terus ke rak novel-novel terlaris yang sampul kulit masing-masing dari jauh sudah menggoda jiwa dan nafsu membeli Juita.

Sedang Juita asyik membelek-belek novel-novel cinta terbaharu itu, tiba-tiba Aliff menepuk bahunya perlahan. Dia memandang ke arah Aliff tetapi Aliff dengan matanya yang sengaja dibesarkan, mengarahkan Juita memandang ke arah di mana jari telunjuknya diarahkan.

"Siapa tu?" Juita bertanya Aliff.

"Kau tak kenal? Mesti kau kenal punya. Lelaki kemeja-T biru laut kat hujung tu." Aliff memberitahu.

Juita memfokuskan pandangan betul-betul ke arah jejaka tinggi lampai dan berambut hitam dirapi kemas itu.

"Nabil?" soal Juita lebih kepada diri sendiri.

Aliff mengiakan soalan itu. Dia mahu bertanya lebih lanjut lagi tetapi soalannya sudah terjawab dengan sendirinya apabila Juita memberitahu yang bersama-sama dengan Nabil itu adalah Anggerik.

Nur Anggerik.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now