BAB 45

7 0 0
                                    

"Ayah kata dia nak jumpa malam ni. Kat tempat biasa. Boleh?"

"Boleh. Saya datang lepas isyak, jam 9.30 malam saya ada sana."

"Okey. Kalau awak nak makan malam kat sana, boleh juga. Ayah saya belanja hari ni."

"Tak apalah. Saya makan dulu sebelum gerak sana."

"Okey. Tapi saya tak janji awak boleh tolak pelawaan dia." Ada tawa kecil di hujung talian sebelum talian tersebut mati.

Aliff memandang skrin telefonnya yang masih ada wajah Anum sebelum wajah itu hilang dan skrin itu akhirnya gelap. Anumlah yang mengambil gambarnya sendiri melalui telefon bimbit Aliff dan set supaya apabila dia menelefon Aliff nanti, wajahnya itulah yang akan muncul. Bukan itu sahaja, nada dering untuk panggilan daripada Anum juga, Anum setkan berbeza daripada panggilan-panggilan lain. Bukankah Anum itu tempatnya di hati Aliff memang berbeza daripada yang lain-lain?

Mengenangkan telatah Anum yang manja dan comel itu, membuatkan Aliff boleh senyum sampai ke telinga. Anum itu kadang-kadang memang keanak-anakkan sedikit. Dia tidak reti mahu tiba-tiba marah, tapi gadis itu memang juara kalau merajuk. Aliff yang tidak reti pujuk orang merajuk pun sudah ada kemahiran sikit-sikit dalam bab pujuk-memujuk. Misalnya, jikalau Anum merajuk kerana Aliff tidak menjawab panggilan telefon sehingga dua tiga kali terlepas panggilan, Aliff akan pujuk dengan pesanan minta maaf pada waktu pagi, sebelum makan tengah hari, sebelum pulang dari tempat kerja dan sebelum tidur malam. Esoknya, kalau diizinkan, Anum akan membalas dengan emotikon senyum besar diikuti dengan ayat; 'Awak tak salah apa-apa pun. Saya yang emosi terlebih. Terima kasih buat saya selalu rasa rindu...'

Tapi itulah, setelah beberapa lama Aliff mengenali Anum, ayat tersebut dia anggap sebagai ayat template yang tak memberi apa-apa makna pun. Sebabnya, Anum akan tetap merajuk dan dia masih harus menghantar pesanan empat kali sehari sebelum ayat itu dilontarkan semula. Ia akan terus berulang-ulang seperti putaran roda. Namun Aliff masih bertahan. Entah kenapa dia masih boleh bertahan dengan segala kerenah Anum itu. Mungkin ayat terakhir Anum pada mesej tersebut buat Aliff rasa dia tidak boleh putus asa dengan Anum.

Terima kasih buat saya selalu rasa rindu...

Pada malam-malam beginilah tiba-tiba saja rasa rindu mengetuk kuat dinding hatinya. Ini bukan sekali dia mengalami perasaan sebegini. Sejak akhir-akhir ini, jiwanya jadi tidak tenteram. Aliff beristighfar beberapa kali untuk membuang perasaan yang melelahkan itu.

Wahai rindu yang bertandang tanpa diundang... pergilah kau jauh-jauh.

Dan malam itu, sekali lagi lenanya disulami mimpi dengan wajah seorang gadis yang tidak pernah jemu dipandang itu.

Wajah Juita.

***

"Apa khabar, Uncle Wan?" Aliff berbasa-basi apabila ayah Anum terus meluru ke arahnya apabila dia melihat kelibat Aliff yang sudah mengambil tempat di hujung kafe. Itulah tempat yang telah disimpan oleh Anum khas untuk Aliff dan ayahnya berbual nanti. Anum yang menyambut Aliff sehingga ke meja makan terus berlalu meninggalkan mereka berdua.

"Sihat. Alhamdulillah. Lama tak nampak kau sejak akhir-akhir ni." Persoalan yang ditimbulkan oleh Uncle Wan itu bukan sekadar berbasa-basi, tapi betullah dia mahu tahu kenapa Aliff lama tak singgah ke kafenya. Sudah dua minggu berturut-turut dia tidak nampak batang hidung Aliff.

"Saya sibuk sikit, uncle." Aliff menjawab lembut, penuh sopan dengan ukiran senyuman nipis.

"Betul ke sibuk? Aku tengok anak-anak muda macam kau ni ramai yang berpeleseran sampai tengah-tengah malam."

"Betul, saya sibuk sikit sekarang ni. Kerja lebih masa." Aliff tidak tipu. Sejak akhir-akhir ini dia memang sedang berjinak-jinak untuk kerja lebih masa. Kalau dulu, dia sering memperlekehkan usaha teman sepejabatnya, Hafizi yang tiga kali seminggu pasti akan kerja lebih masa untuk tampung majlis perkahwinannya, kini dia sendiri turut terjebak.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now