BAB 52

5 0 0
                                    


Imbas kembali...

Restoran Uncle K, SACC Shah Alam.

Matanya menyeluruhi di setiap restoran tersebut. Ramai pelanggan yang datang dan pergi selepas menjamu selera, tetapi mereka berdua masih lagi berada di sini, di meja yang sama. Apabila Anggerik mempelawa untuk memesan makanan, Aliff menolak. Dia tiada selera untuk menyuap apa-apa ke dalam mulutnya ketika ini. Begitu juga dengan Anggerik. Dia datang berjumpa dengan Aliff hari ini bukan untuk makan-makan dan berborak gembira dengan lelaki yang tidak menyukainya itu. Dia mahu Aliff tahu kisah sebenar Nabil dan dirinya yang akhirnya akan membawa kaitan pada Juita juga.

Anggerik mahu Aliff tahu yang apa saja yang Juita atau mulut-mulut lain bercerita tentang dirinya tak semestinya benar seratus peratus.

"Selain mama, Abang Arman adalah satu-satunya lelaki yang paling I sayang. Mula-mula dia pun tak faham kenapa papa benci pada I, padahal I anak kandung dia. Tapi, apabila dia dengar cerita fasal papa dengan Tok Isa termakan kata-kata orang yang mengubat papa tu, dan dengan sejarah hidup papa yang mama cerita, dia faham. Tapi, dia masih tak boleh terima apa yang papa buat pada dia. Abang Arman pernah gaduh besar dengan papa. Dia lari dari rumah tapi tak sampai dua hari Abang Arman balik semula. I tahu dia memang tak boleh hidup tanpa mama dan papa terutamanya. Abang Arman anak emas papa. Papa sanggup buat apa saja untuk Abang Arman. Tapi I tahu sebab apa Abang Arman tak jadi lari rumah terus. Sebab I."

"Anggerik, kalau aku tanya ni kau jangan marah, ya?"

"Tanyalah walaupun I rasa I dah tahu apa soalan you."

"Err... fasal Arman tu. Kau orang berdua..." Aliff tak sampai hati menyambung bicara.

"Kalau you tanya I, I akan beritahu yang kita orang tak ada apa-apa hubungan melebihi hubungan adik dan abang. Kami tak bercinta. Tapi kalau you tanya Abang Arman, yang memang you takkan dapat tanya dah... dia akan bagi jawapan sebaliknya."

"Wow!" Ini satu pengakuan yang di luar jangka. Cerita tentang hubungan lain macam antara Anggerik dan Arman ni dia dengar daripada sumber kedua saja, iaitu Juita. Tapi sekarang ini Aliff dengar dari mulut Anggerik sendiri.

"Apa yang orang kata fasal hubungan I dengan Abang Arman tu... hmmm... ramai yang salah faham. Hal tu terlepas dengar daripada orang lain, jadi benda besar dan akhirnya ditokok tambah. Realitinya, I anggap Abang Arman tu macam abang kandung I aje. Tak lebih, tak kurang." Anggerik memaling pandang ke arah seorang pramusaji yang terkebil-kebil dimarahi oleh seorang pelanggan wanita dengan suara nyaring. Memang mengganggu kelancaran perjalanan ceritanya.

"Eh, jadi kau dengan Arwah Arman tu bukan... adik-beradik kandung...?"

"I tetap anggap dia macam abang I sendiri walaupun dia bukan abang kandung I. Arman adalah anak angkat keluarga kami selepas lebih lima tahun mama dengan papa tak dapat zuriat. Abang Arman pernah buat pengakuan yang dia sayang pada I lebih daripada sebagai adik sendiri. Dia pernah janji dengan I yang dia nak kahwin dengan I. Tapi I rasa dia terlalu ikutkan perasaan sebab dia tak sanggup tengok papa buat tak endah pada I dan mama pula tak mampu nak selesaikan masalah kami sekeluarga."

Aliff menyandarkan badannya ke kerusi. Cuba menghadam kata-kata Anggerik itu. Rumit! Macam cerita dalam drama bersiri Korea pula.

"Itu baru cerita tentang keluarga I, Aliff. I belum lagi masuk cerita tentang Nabil, tentang kemalangan kami dan kehilangan kami selama 12 tahun."

"Opp... opp...!" Aliff menunjukkan kedua-dua tapak tangannya ke arah Anggerik, meminta wanita di hadapannya itu untuk berhenti. "Aku bukan tak nak dengar. Kita sambung sekejap nanti, boleh? Bagi aku solat dulu." Aliff mengerling jam di tangan. Dah nak masuk asar, tapi dia belum solat zuhur lagi.

"Oh, okey."

Aliff segera bangun dan bergerak keluar dari restoran tersebut, tetapi tiba-tiba pula Anggerik datang berjalan bersebelahan dengannya.

"Nak ikut sekali."

"Surau perempuan asing-asing dengan surau lelaki, tau." Aliff dah mengerutkan dahinya. Dia menjauhkan jaraknya daripada Anggerik yang tiba-tiba datang rapat ke arahnya.

"Tahu!"

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now