BAB 5

7 0 0
                                    


"Cuti!" Pendek saja jawapan balas daripada Jazali apabila Juita bertanyakan tentang Rozana. Semalam, Juita bukan sahaja tidak tolong beratur di barisan tandatangan. Malah, dia juga telah mungkir janji untuk tunggu di luar kedai. Memang pada mulanya dia benar-benar tunggu di luar kedai walaupun dalam keadaan serba salah. Mahu saja dia masuk kembali dan tolong beratur bersama-sama dengan Rozana, tapi dia tidak sanggup. Dia masih nampak lagi kelibat lelaki itu di dalam kedai tersebut. Peminat Ikhwan Oh La La jugakah? Dia menyoal hatinya. Tapi si lelaki itu tidak kelihatan seperti beria-ia mahu membeli dan mendapatkan tandatangan daripada Ikhwan Oh La La. Dia kelihatan santai sambil membelek-belek beberapa buah novel lain di satu sudut yang lebih sunyi, jauh daripada orang ramai. Wajah lelaki itu kelihatan tenang... seperti biasa, seperti dulu-dulu. Itulah wajah yang penuh kenangan buat Juita.

Sambil-sambil menunggu di luar, Juita sempat melirik pada jam di tangan. Lagi lima belas minit, sudah jam 12 tengah hari. Maknanya lagi lima belas minit jugalah masa tandatangan dan bertemu peminat akan berakhir. Juita mengintai di dalam kedai. Dia nampak muka Rozana sudah ketat. Masam mencuka. Entah dapat atau tidak tandatangan Ikhwan Oh La La pun dia tidak tahu. Dia mencari-cari pula kelibat si lelaki tadi. Matanya meliar ke sana ke sini. Ikhwan Oh La La pun dia sudah tidak pedulikan lagi. Biarlah Rozana yang uruskan hal penulis tersohor itu, fikirnya.

Namun, entah bagaimana Juita terus berdiri kejung macam patung apabila tiba-tiba saja, tiada angin tiada ribut, lelaki yang mengejutkannya itu keluar dari pintu kedai dan melepasinya. Betul-betul di hadapannya. Selepas beberapa langkah, lelaki itu berpaling ke belakang. Lebih tepat lagi berpaling ke belakang memandang betul-betul wajah Juita yang masih kejung itu. Yang bergerak hanyalah air liurnya sahaja yang perlahan-lahan menurun ke dalam kerongkong.

Lelaki itu melangkah perlahan-lahan ke arah Juita dan memandangnya tajam dengan kerutan penuh di dahi. Dia seolah-olah sedang mengingat sesuatu. Juita sempat senyum-senyum dengan perasaan tidak pasti dalam dirinya. Patutkah dia menegur lelaki itu atau buat-buat tak kenal saja? Dia harus buat keputusan pantas dan selang beberapa saat, Juita ambil keputusan untuk memanggil nama lelaki tersebut. Bukankah ini peluangnya selama bertahun-tahun menunggu?

Namun belum sempat Juita membuka mulut, tangan lelaki itu terus mencari-cari sesuatu di dalam begnya. Kemudian si lelaki mengeluarkan sesuatu dari dalam beg. Mata Juita ikut sekali menghala ke arah beg kulit lelaki itu. Nampak mahal, bisik Juita. Tak hairanlah, sambung kata hati Juita lagi.

"Maaf ganggu. Kalau sudi, jemput datang." Si lelaki itu menghulurkan sehelai kertas bercetak warna kepada Juita. Juita mengambil kertas itu dengan teragak-agak sambil memandang ke arah lelaki itu.

"Ambillah. Jangan lupa datang. Sokonglah saya!" Lelaki itu tertawa kecil dengan kata-katanya. Jelas dia mahu menutup rasa segan kerana tiba-tiba saja datang melulu meminta sokongan daripada seorang gadis.

Kemudian, lelaki itu menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat sebelum beredar hilang daripada pandangan Juita. Mata Juita cuba mencari-cari kelibat lelaki itu dengan harapan dia akan berpatah balik pada Juita. Tapi hampa. Tiada. Juita mengetap bibir sambil melepaskan keluhan kecil.

Tidak ingatkan dia pada aku? Bisik hatinya.

Juita hanya tersedar daripada lamunan apabila kedengaran riuh rendah dari dalam kedai. Ikhwan Oh La La sudah mahu beredar, tetapi masih ramai lagi yang menunggu untuk minta tandatangan. Rozana entah dapat atau tidak, dia tidak tahu. Yang dia tahu pada masa itu, dia mahu pulang ke rumah. Dia sudah kehilangan mood!

***

Rozana pasti merajuk padanya. Malam itu dia cuba menelefon rakannya itu, tetapi gagal. Tidak berjawab. Hantar mesej meminta maaf pun tiada balasan. Dia mahu ceritakan hal yang berlaku tetapi secara bersemuka, tetapi Rozana tidak beri dia peluang pun. Apabila Juita dapat tahu yang Rozana ambil cuti hari ini, dia bertambah kecewa dan tertekan. Pada siapa mahu dia luahkan apa yang dia alami kelmarin? Juita mengeluh berat.

Juita tahu dia tak akan fokus bekerja sepanjang hari ini kerana sepanjang semalam dia asyik teringatkan Rozana yang dia kasihani dan lelaki itu. Nabil namanya. Dan ingatan itu akan terus berlangsung sehingga ke hari ini. Jika tentang Rozana, dia rasa dia mampu selesaikan. Tapi kalau tentang Nabil...

Ah, Juita segera menyelongkar beg tangannya. Beg kulit cap tiruan. Dia mencari-cari sesuatu lalu mengeluarkan kertas yang sudah dilipat-lipat kecil itu. Punyalah dia ralit memandang Nabil semalam, sehingga terlupa dia akan kertas pemberian lelaki itu. Tanpa membuang masa dia membaca apa yang tertera di atas kertas itu.

Kalaulah boleh bebola mata Juita itu terpelanting, sudah lama agaknya kedua-dua bebola matanya itu jatuh bergolek bawah meja. Matanya terbeliak apabila membaca isi kandungan kertas itu. Atau lebih tepat lagi jemputan itu. Tak semena-mena nama Aliff terpapar di ingatannya. Segera Juita menghantar mesej pada Aliff. 

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now