BAB 25

4 0 0
                                    

"What???" Juita membeliakkan matanya ke arah Aliff. Aliff tahu sangat jikalau Juita bereaksi dengan penuh kejutan begitu sambil bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris, maknanya gadis itu memang benar-benar terkejut.

"Habis tu, aku nak buat apa lagi? Dia kawan aku. Dia pernah jadi kawan baik aku." Aliff menggaru-garu kepalanya yang memang sedia. gatal. Kuat sangat berkerja sampaikan rutin hariannya yang mencuci rambut tiga kali seminggu pun sudah jadi sekali seminggu saja.

"Yalah... kawan baik pun, tapi takkan dia ada hak nak sebat duit kau, kan?" Juita mendengus sambil berpeluk tubuh. Jelas dia sedang marah. Cuma hidungnya saja belum mampu keluar api menyala-nyala.

"Tak baiklah cakap macam tu. Aku memang betul-betul nak tolong dia pun. Mak dia sakit kut. Dia ada seorang mak aje kat dalam dunia ni. Mak tiri pun tak ada. Ayah dia dah lama meninggal dunia pula tu." Aliff memberitahu dengan penuh tenang dengan harapan Juita juga dapat duduk dalam keadaan bertenang ketika ini. Kawasan perpustakaan mana boleh buat bising-bising.

"Tapi... itu kan duit untuk kahwin kau, kan? Kau yang bagi tahu aku dulu." Juita memandang wajah Aliff. Dahinya berkerut-kerut meminta kepastian daripada sahabatnya itu.

Aliff mengangguk lemah. Betullah tu, Juita. Duit sebanyak sepuluh ribu ringgit Malaysia itu dia kumpul berdikit-dikit selama hampir sepuluh tahun dia bekerja sewaktu berkerja sambilan semasa diploma, ijazah muda dan kerja tetap selama lima tahun ini. Itulah dia duitnya, Juita. "Tapi aku tak kesah, Juita. Mak dia tu dah macam mak aku juga."

Juita melepaskan keluhan berat. Dia menyandarkan badannya ke kerusi dengan harapan dia dapat bertenang. Kenapa dia tidak mampu setenang Aliff, padahal bukan duitnya yang digunakan. Dia terasa kasihan pada Aliff yang bersusah payah kumpul duit untuk kahwin.

"Bila dia nak pulangkan semuaaaa... duit tu pada kau?" soal Juita.

"Err... aku rasa dalam lima, enam bulan lagi," balas Aliff teragak-agak.

"Rasa? Kau rasa??? Maknanya apa tu? Kau tak pastilah, kan?" Kali ini suara Juita melengking sedikit walau dia cuba mengawal suaranya agar tidak terlalu kuat. Pesan ibunya tentang jaga gengsi hampir-hampir saja dia lupakan. Mujur entah macam mana, wajah ibunya itu tiba-tiba terpapar pada wajah Aliff pula. Terkejut juga dia.

"Banyak benda Si Leon tu nak uruskan, Juita. Dia kumpullah duit tu sikit-sikit. Lagipun daripada dia pinjam Ahlong lepas tu kena bayar bunga sampai puluh ribu, baik aku bagi dia pinjam. Tentu-tentunya tak ada bunga dan duit tu bersih. Yang kau marah sangat ni kenapa, Juita? Aku tak pinjam duit kau pun."

"Aku bukan marah kat kau. Aku marah kat kawan kau tu... siapa? Leon? Kau tak beritahu dia ke yang duit tu semua duit untuk kau kahwin nanti? Bukan senang kau kumpul duit tu, okey." Nada suara Juita sudah dikendurkan sedikit apabila dia melihat Aliff hanya menundukkan wajahnya memandang meja kaca yang kosong itu.

Aliff yang mendengar kata-kata Juita itu mengangkat wajahnya dan memandang ke arah gadis itu. Juita yang perasan akan kelakuan Aliff itu berasa tidak selesa. Dia menggaru-garu pipi dan dagunya yang secara tiba-tiba terasa gatal itu.

"Aku boleh kumpul lagi. Duit boleh cari, Juita," balas Aliff cuba memujuk Juita sedangkan kalau ikut logik, sepatutnya dia yang harus dipujuk sebab itu duit dia. Wang sepuluh ribu ringgit yang dipinjam oleh Leon itu adalah hasil titik peluhnya.

"Okey. Kalau itu yang dah kata, nak buat macam mana lagi, kan? Jadi..."

"Jadi apa?" soal Aliff kehairanan.

"Jadi, bila kita nak melawat mak Leon tu? Aku pun bolehlah bawa buah tangan sikit. Dah lama aku tak bagi hadiah kat orang lain. Dah lama aku tak bersedekah sebenarnya."

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now