BAB 55

18 0 0
                                    


Imbas kembali...

Tahun 1999

Untuk yang tercantik, tercinta dan tersayang. Umur tidaklah apa-apa melainkan kematangan itu yang paling berharga.

Abang Arman.

Nota ringkas bertulis tangan itu diletakkan sekali bersama dengan satu bungkusan yang dibalut dengan pembalut hadiah berwarna ungu, warna kegemaran Anggerik. Dia mengambil bungkusan itu dan membukanya.

Tertera nama Orked Ungu pada buku yang dihadiahkan oleh Arman. Anggerik hanya tersenyum nipis. Arman patut tahu yang Anggerik tidak gemar membaca. Itu bukan hobinya. Itu hobi Arman.

Anggerik meletakkan novel Cinta di Balik Awan itu di dalam sebuah kotak terpakai dulu. Dia tiada rak buku, tetapi Arman sudah berjanji untuk buatkannya sebuah nanti. Sebenarnya sudah macam-macam yang Arman janjikan padanya. Bohonglah kalau Anggerik kata yang dia tak gembira dengan janji-janji Arman itu.

Arman tak pernah lokek nak belanja Anggerik apa-apa. Anggerik selalu beritahu yang Arman kaya sebab dia akan dapat duit belanja lebih sekali ganda daripada Anggerik daripada ayah. Jadi, setiap bulan Arman akan belanja dia makan di restoran mewah sikit daripada yang budak sekolah mampu.

Anggerik suka sebab dia rasa dihargai dan istimewa sikit daripada orang lain. Siapa yang tak mahu ada abang yang baik dan bukan kaki buli? Bagi Anggerik, kehadiran Arman dalam hidupnya umpama satu hadiah yang ternilai. Cukup-cukuplah dia tidak diendahkan oleh papa dan mama tidak mampu membantu apa-apa selain memujuknya supaya sabar.

***

Suatu hari Arman bawa dia makan di sebuah makanan segera berdekatan dengan rumah mereka. Walaupun papa selalu memberi amaran pada Arman untuk tidak terlalu rapat sangat dengan Anggerik, takut-takut terkena badi sial katanya, Arman apa kesah. Dia sudah berumur 17 tahun. Sudah boleh fikir mana satu benar, mana satu khurafat.

"Anggerik, buku tu dah baca?"

"Cinta di Balik Awan tu ke? Eee... baca tajuk pun dah tak selera nak baca. Jiwang!"

"Baca dulu, baru tahu buku tu jiwang ke tak." Arman tersengih.

"Siapa Orked Ungu tu? Penulis terkenal ke?"

"Tak terkenal pun. Cinta di Balik Awan tu novel kedua dia."

"Kenapa tak hadiahkan novel yang pertama dia dulu?"

"Tak sedap sangat. Tu tulisan pertama dia. Tapi kalau Anggerik nak, abang boleh belikan. Entah laku entah tidak."

"Tak payah. Kalau Anggerik nak, Anggerik pinjam abang punya." Anggerik tergelak kecil.

"Kenapa? Apa yang kelakar?" Arman hairan.

"Memang kelakar sebab ada juga orang lelaki yang minat baca novel cinta, novel jiwang macam abang ni."

"Abang tak baca novel lain selain daripada Orked Ungu tau. Orked Ungu ni penulis yang lain daripada lain sikit. Anggerik baca dulu, lepas tu barulah bagi komen. Jangan terus baca tajuk aje. Silap hari bulan, boleh buat nangis baca novel-novel dia."

Anggerik mencebikkan bibirnya. "Tengoklah nanti."

"Aduh, rugilah kalau tak baca cepat-cepat. Abang rasa kalau dah keluar novel ketiga atau keempat dia ke, mesti masa tu dia dah glamor macam selebriti."

"Huh, siapa Orked Ungu tu sebenarnya. Girlfriend ke? Lain macam aje cerita fasal dia."

Huih... bukan girlfriend. Tapi... kenalah baca cerita yang dia tulis. Sedap!" Arman menunjukkan ibu jarinya.

***

Orked Ungu, penulis kegemaran Arman itu selama hidupnya hanya menghasilkan lima buah novel cinta yang nipis-nipis itu memang satu-satunya penulis karya cinta yang dibaca oleh Arman. Arman yang Anggerik kenali selalunya membaca buku-buku fiksyen kepunyaan papa saja.

Anggerik tidak pernah tergerak hati pun untuk membaca karya-karya fiksyen kerana baginya buku-buku pelajaran lebih penting. Dia tidak mahu buang masa untuk membaca segala buku yang tidak berkaitan dengan pelajaran dan sekolah. Dia perlu buktikan pada keluarganya, terutama papa dan Tok Isa yang dia bukan pembawa nasib malang pada keluarga seperti yang diberitahu oleh lelaki entah siapa-siapa yang mengubat papa itu.

Anggerik mahu nanti papanya sendiri mengakui kehebatan anaknya yang satu ini dengan mulutnya. Dia mahu papanya lihat dengan mata sendiri yang tanpa ayah yang menyokong pun dia boleh berdiri dengan kaki sendiri.

Dia akan buktikan semua itu. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 20, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now