Aliff, lelaki berusia 30 tahun ini masih lagi bujang sama seperti kebanyakan lelaki Malaysia 30-an yang lain. Perutnya bolehlah dikatakan masih lagi fit walau sekali-sekala apabila tiba waktu puncak misalnya hari raya, dia tidak dapat menyembunyikan perutnya yang sedikit buncit itu. Namun, apa guna kaki dan tangan yang sempurna jika tidak digunakan untuk bersenam.
Selain itu, Aliff hanyalah lelaki biasa yang tidak popular di media-media sosial kerana tiada satu pun video yang memalukan dirinya yang tersebar rancak di media-media sosial. Lagipun, buat apa bikin video? Dia tak biasalah. Dia kan lelaki pemalu, hek!
Beberapa hari sejak kebelakangan ini, keadaan Aliff lain macam sikit. Dia cuba untuk tidak mengendahkan perasaannya itu, tetapi gagal. Nampaknya, ini bukan hal-hal biasa. Ini sudah masuk kes luar biasa. Sebenarnya, setiap malam selama tiga bulan kebelakangan ini, Aliff telah memulakan sesuatu yang di luar kebiasaannya. Malah, tidak keterlaluan unutk diberitahu bahawa apa yang sedang dia usahakan ketika ini merupakan satu kerja gila. Gila untuk orang seperti dia. Tak pernah-pernah terfikir olehnya pun sebelum ini.
Jadi, apabila beberapa hari sebelum berlangsungnya tarikh akhir 'kerjanya' itu, tidak mustahillah Alif berasa gementar dan resah gelisah. Malah, dia sempat juga mengalami demam ringan. Terkejut agaknya.
Malam terakhir. 'Kerjanya' selesai. Alhamdulillah. Esok pagi, kalau tiada aral melintang, selamatlah 'kerjanya' itu ke tangan seseorang.
Alif melihat jam di meja tulisnya. Lagi setengah jam! Lagi setengah jam! Bersedialah, Aliff.
Tepat jam 12.00 tengah malam.
Tut... tuuut...
"Hoi, tidur dah ke? Awalnya? Tak buat pesta hari jadi ke? Dah tiga puluh tahun dah ni. Tak ada makan-makan, minum-minum ke?" Bertalu-talu soalan daripada Aliff. Inilah yang dia lakukan pada Juita saban tahun semenjak mereka mula mengenali antara satu sama lain. Tepatnya, sejak mereka berumur 23 tahun lagi.
Aliff akan sentiasa telefon Juita tepat pukul 12 tengah malam untuk beri ucapan hari lahir. Tepatnya lagi, menganjing minah tu. Sajalah nak mengingatkan temannya itu yang dia dah tua. Tua bangka!
Yang Si Juita ni pula, kenapalah dia boleh terlupa sangat-sangat yang Aliff akan telefon dia malam-malam buta. Nampak sangat demam gementar dia tu boleh buat dia hilang ingatan seketika. Ahhh...! Buat rosak mood betul!
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...