BAB 14

3 0 0
                                    


"Aliff, tak ramai orang pun." Juita melihat-lihat di sekitar kedai buku Gila Novel itu. Agak lengang berbanding acara tandatangan Ikhwan Oh La La tempoh hari.

"Yalah. Dia bukannya popular sangat," balas Aliff acuh tak acuh.

"Jom masuk." Juita mengajaknya.

Sepanjang Aliff menjadi pembaca setia Mambang Kuning, inilah kali pertama dia hadir ke acara tandatangan penulis tersebut yang sebenarnya memang kali pertama pun penulis tersebut buat acara begitu. Selama ini Mambang Kuning hanya bersembunyi di sebalik namanya yang acah-acah seram itu. Mambang Kuning adalah novelis misteri yang kini akan membuka hijab misterinya itu. Inilah masanya. Dia juga teringin untuk melihat gerangan penggerak cerita di sebalik novel-novel seram yang dia gemarinya itu. Walaupun berkali-kali juga Aliff ingatkan dirinya yang penting isi cerita, apa yang ingin dikisahkan oleh si penulis, bukan siapa empunya nama Mambang Kuning itu. Mujurlah dia memang yakin yang pemilik nama pena Mambang Kuning itu adalah seorang lelaki. Kalaulah penulis itu seorang gadis, tentulah dia sudah angau dalam ketidakpastian. Dan kini, memang terbuktilah benar telahannya itu. Mambang Kuning memang seorang jejaka.

Lebih tepat lagi, Mambang Kuning itu ialah Nabil Fadhlan.

Kecilnya dunia!

"Aku tunggu luar aje. Kau yang nak jumpa dia, kau pergilah masuk." Aliff berdiri sambil bersandar di dinding kedai. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar jeannya. Juita faham bahasa tubuh itu. Itu tandanya Aliff tidak berminat dengan apa yang sedang berlangsung sekarang ini. Namun dia buat-buat tak faham saja. Juita terus mengajak. Aliff ni, kadang-kadang ni sejenis manusia yang boleh dipujuk-pujuk juga.

"Kau gila ke? Kau kena pergi. Inilah masanya kau rasa pengalaman beratur dan ambil tandatangan penulis kegemaran kau tu. Mungkin sekali dalam seumur hidup." Juita memberi kata-kata yang diharapkan dapat membuatkan Aliff rasa teruja. Tetapi dia gagal. Aliff kelihatannya bagai tidak terkesan pun dengan pujukannya itu.

"Aku tunggu kau kat luar ajelah. Kau pergilah masuk," balas Aliff. Kali ini dia hanya memandang ke arah beberapa orang yang keluar masuk dari kedai buku itu. Tiada langsung pandangan ke arah mata Juita.

Ya, itulah yang berkali-kali Aliff beritahu pada Juita sebelum Aliff berjanji mahu menemaninya hari ini. Dia mahu tunggu di luar kedai saja. Dia tidak mahu masuk. Tidak mahu dapatkan Cinta Semu, novel terbaharu Mambang Kuning yang dilancarkan pada hari yang sama. Aliff tidak berminat sama sekali untuk melakukan semua itu.

Aneh. Itu sahaja jawapan hati Juita saat Aliff memberitahunya. Dan, pada waktu dan ketika ini Juita rasa cukup-cukuplah memikirkan keanehan sikap Aliff itu. Debaran dan resah bercampur baur antara satu sama lain ketika ini. Hari ini bakal tercipta satu sejarah lain antara Juita dan Nabil Fadhlan.

***

Masih lagi pekerja-pekerja yang sama mengendalikan acara tandatangan Mambang Kuning ini. Kali ini nampak jelas mereka lebih bertenang dan relaks. Tidak tergopoh-gopoh seperti acara Ikhwan Oh La La tempoh hari. Mungkin sudah belajar daripada kesilapan atau memang mereka tak perlu susahkan emosi dan fizikal mereka di kala ini kerana memang tidak ramai pun yang datang ke acara itu. Ikut perkiraan Juita adalah lebih kurang dalam 20 orang yang datang termasuknya. Tambah Aliff di luar, jadi 21 orang. Namun, yang ada di sini Juita yakin adalah peminat tegar Mambang Kuning yang membaca naskhahnya tanpa kesah siapakah di sebalik pengarang misteri itu. Dia tahu semua itu sejak dapat ramai kenalan daripada grup Peminat Tegar Mambang Kuning.

Kalau Aliff mahu, boleh saja dia masuk dan ikut serta bersama Juita duduk di bahagian belakang ini. Banyak lagi tempat kosong. Nak mendepa tangan kedua-dua belah di kerusi sebelah-menyebelah pun tak ada siapa yang halang. Penghawa dingin yang dipasang juga berpuput lembut di wajah Juita. Mekapnya yang dioles nipis itu kini tidak lagi cair bak coklat panas seperti di acara Ikhwan yang lepas. Biar wajahnya nampak semula jadi supaya senang Nabil mahu mengecamnya lagi, fikir Juita sewaktu bersiap-siap di bilik tadi. Entahkan Nabil ingat atau tidak padanya.

***

"Assalammualaikum dan salam sejahtera para peminat semua. Sekarang tanpa membuang masa dipersilakan... Mambang Kuning!!" jerit pengacara majlis yang lagaknya seperti memperkenalkan persembahan teater seram pula.

"Err... Mambang Kuning ni ada sampai jam berapa, ya?" tanya Juita kepada petugas yang berdiri di sebelahnya.

"Hmm... sekejap aje ni. Tak ramai orang pun yang datang hari ni. Kalau selesai sesi tandatangan, selesailah acara," jawab si petugas wanita itu sambil memandang-mandang sekeliling. Santai saja.

Juita memang sengaja ambil tempat duduk paling belakang sekali. Dia tidak mahu duduk depan-depan seperti yang lain sebab akan ia jelas akan memperlihatkan perasaannya yang tidak keruan itu. Dia tidak mahu acara ini diingati disebabkan insiden dia pitam atau muntah akibat terlalu gementar nanti. Biarlah acara tersebut bermula dan berakhir dengan hal yang indah-indah saja.

Di kejauhan Juita sudah dapat merasakan aura Mambang Kuning a.k.a. Nabil Fadhlan menuju dari belakang pentas kecil ke arah depan pentas tersebut. Tepukan yang tak berapa nak gemuruh bergema di dalam kedai buku Gila Novel itu. Dengan penuh karisma, Si Mambang Kuning itu hadir dengan berkot dan berseluar jean hitam, dipadankan pula dengan baju-T kuning di dalamnya. Kasutnya yang hitam berkilat itu jelas lebih terang-benderang daripada lampu kedai buku ini. Rambut Mambang Kuning yang pendek itu dirapi kemas dengan gel rambut, menambahkan lagi aura keseramannya. Huh!

Sebelum mengambil tempat untuk duduk, sempat lagi Mambang Kuning melambai dan senyum sekilas ke arah para peminatnya yang lebih kurang 20 orang itu. Berdebar-debar juga hati Juita apabila Mambang Kuning seakan-akan melambai ke arahnya. Sudah lama benar dia tidak melihat senyuman sekilas itu. Seingat Juita, Mambang Kuning... err Nabil memang jarang tersenyum. Tapi kalau sekali dia mengukir senyum, seluruh hari Juita akan terus jadi okey, tiada masalah dan indah saja.

Selepas pengacara majlis berbasa-basi tentang diri Mambang Kuning yang memang sengaja tidak dibongkar banyak itu (katanya menjaga privasi si penulis), Mambang Kuning mula berbicara tentang novel baharunya, Cinta Semu – judul novel paling tidak seram yang pernah ditulis oleh Mambang Kuning. Itulah yang Juita asyik terdengar-dengar daripada para peminat Mambang Kuning sejak dia sampai ke acara ini.

Mambang Kuning ketawa kecil sebelum menjawab apabila soalan tersebut ditanyakan padanya. "Ia berdasarkan sebuah kisah benar yang telah saya fiksyenkan sana sini. Jadi bolehlah dikatakan sebuah kisah yang separuh benar, separuh lagi ditokok tambah seadanya."

"Kalau tak keberatan, boleh saudara ceritakan ia diinspirasi daripada cerita apa?" soal seorang wanita yang duduk paling hadapan sekali. Siap dengan buku nota dan pen di tangannya. Lagaknya seperti di dalam kuliah penulisan kreatif saja.

"Ia tentang seseorang yang pernah hadir dalam hidup saya. Seorang gadis, kenangan dan cinta yang semu." Keluhan kecil terdengar di akhir kata Mambang Kuning.

"Jadi, tiada cerita seram?" soal wanita itu lagi. Kecewa benar nadanya.

"Oh, ada! Jangan risau. Pendek kata, ia sebuah kisah cinta seram. Kalau mahu tahu lebih lanjut, kenalah dapatkan naskhah ini." Mambang Kuning membalas sambil ketawa berdekah-dekah. Hmm... memang seram.

Setelah sesi soal jawab selama lebih kurang 30 minit, pengacara majlis mengajak peminat yang hadir untuk sesi tandatangan dengan Mambang Kuning. Seperti biasa, harus dapatkan nakshah terbaharunya, Cinta Semu. Hanya Cinta Semu saja boleh ditandatangani. Novel-novel lain tidak dibenarkan. Katanya mahu menjaga keeksklusifannya.

Novel Cinta Semu itu sudah siap-siap ada di tangan Juita. Kini dia sudah bersedia bertentang mata sekali lagi dengan lelaki itu. Juita turut beratur bersama-sama pembaca lain. Namun debaran dadanya tidak berhenti-henti sejak tadi. Oh, Tuhan janganlah dia termuntah di hadapan Mambang Kuning nanti, doanya sungguh-sungguh. Sementara menunggu debarannya reda (pastinya ia mustahil), Juita biarkan saja pembaca lain beratur di hadapannya. Dia berganjak dari satu orang ke orang lain sehinggalah dia sendiri orang terakhir untuk minta tandatangan.

Saat gilirannya tiba, Juita berjalan perlahan-lahan dan penuh sopan dengan harapan debarannya itu hilang pada setiap langkahannya. Naskhah Cinta Semu dihulur dan Mambang Kuning mula menandatanganinya sambil bertanya, "Atas nama siapa, ya?"

Belum sempat Juita mahu menjawab, kata-katanya segera dipintas...

"Juita? Juita binti Jais." Suara Nabil Fadhlan menyebut sepatah-sepatah namanya apabila lelaki itu memandang tepat ke arahnya.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now