Nabil membaca kembali tulisan-tulisan yang dicatatnya pada buku nota kecilnya siang tadi. Dahinya berkerut-kerut seolah-olah dia sedang cuba memecahkan kod-kod rahsia yang direkanya sendiri. Sehinggalah...
Telefon bimbitnya berdering. Nyaring, sekali gus mengejutkan Nabil. Dia bangun dari kerusi dan menuju ke arah katil di mana telefon bimbitnya berada. Nama Juita terpampang jelas di skrin telefonnya. Nabil mengira-ngira sesuatu dengan kedua-dua jarinya sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk memutuskan talian. Sengaja dia matikan talian daripada membiarkan telefon bimbitnya itu berdering sehingga tamat kerana dia mahu Juita tahu ini bukan waktu yang sesuai untuk menelefonnya. Belum masanya lagi. Melalui kiraan jarinya, dia berjanji dengan Juita, selepas tujuh hari dari waktu yang ditetapkan barulah mereka berdua boleh berhubung seperti biasa. Sekarang masih ada baki lagi dua hari sebelum tamat tempoh hari ketujuh. Dia tidak suka orang lain melanggar janji seperti mana dia sendiri tidak gemar melanggar janji sendiri. Melanggar janji ibarat merosakkan nilai diri.
Nabil mengukir sengih sendirian. Banyak rupa-rupanya yang dia belajar daripada Anggerik. Tentang masa terutamanya.
Kemudian, satu pesanan masuk ke dalam aplikasi WhatsApp telefon bimbitnya. Dia sudah tahu siapa penghantarnya, cuma sekarang ini dia tidak mahu membacanya. Dia tidak mahu diganggu. Mungkin malam nanti, apabila hatinya lebih tenang dan otaknya tidak berselirat dengan hal-hal catatannya, barulah Nabil akan membacanya.
Sabar ya, Juita. Dunia ini bukan hanya ada kita berdua. Dunia ini penuh dengan tipu daya dan misteri yang masih belum terungkai. Perlahan-lahan aku akan cuba membongkar segala rahsia walau ramai yang menafikan. Monolog dalaman Nabil tidak berhenti-henti memujuk dirinya.
***
Sementara itu, Juita pula berasa malu pula apabila pesanan dan penggilannya tidak berjawab. Adakah dia terlalu mendesak? Atau mungkinkah dia yang terlebih perasan? Dia cuma menghantar pesanan yang berbunyi, 'Lapang tak esok? Boleh kita jumpa?'
Sebelum dia menghantar pesanan tersebut, dia pasti yang dia sudah menyemak kesopanan ayat tersebut, membuat suntingan pada mana-mana perkataan yang dia rasa tak perlu. Takutlah pula disalah anggap nanti sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Dan yang paling tak tahan sekali, Juita juga sudah mereka-reka di dalam kepalanya apa yang bakal dibalas oleh Nabil. Namun, setelah lebih sejam menunggu dengan penuh debar berserta jari-jemari yang sejuk kerana resah gelisah, Juita akhirnya akur. Dia rasa Nabil tidak akan membalas pesanannya. Dia berasa malu dengan dirinya sendiri.
Lebih malang lagi, Juita seperti rasa ia satu keputusan yang salah apabila terlalu cuba-cuba ingin mengetahui hal Nabil dan Anggerik. Bukankah lelaki itu sudah berjanji yang saatnya akan tiba nanti?
Kini, pada malam yang sepi sambil ditemani bunyi katak sahut-menyahut setelah hujan lebat, Juita hanya mampu berbaring menelentang di atas katil bujangnya sambil memandang siling dan menggelengkan kepala tanda rasa malunya itu masih belum habis sepenuhnya.
Tiba-tiba satu pesanan masuk.
Boleh. Kita jumpa jam sebelas pagi esok.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
Narrativa generaleMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...