Menarik. Sangat mendebarkan! Aku rasa ini novel terbaik yang pernah aku baca sepanjang hidup. Aku memang tak sangka Nabil ada bakat menulis.
Segera Juita menghantar pesanan kepada Aliff. Setiap kali ada adegan yang dia suka dalam novel-novel Mambang Kuning, setiap kali itulah dia akan mengkhabarkan perasaannya itu kepada Aliff. Lagaknya seperti anak kecil yang minta diberi perhatian tidak kira pada jam berapa pun. Pukul satu pagi pun, Juita tidak akan berfikir panjang atau segan-segan menghantar pesanan kepada Aliff.
Pada sisi Aliff pula, dia tidak dapat menghalang Juita yang seolah-olah dirasuk mambang bernama Nabil Fadhlan itu. Apa yang dia perlu lakukan hanyalah melayan saja kerenah Juita. Tak... tak perlu buat apa-apa. Cuma pastikan di pesanan WhatsApps Juita ada tanda biru menandakan Aliff membaca semua pesanan tersebut. Itu namanya pesanan minta perhatian. Hanya perlukan sedikit perhatian. Lain-lain hal, dia tahu Juita tidak berapa nak ambil peduli.
Hal-hal sebegini sering kali membawa Aliff teringat semula waktu-waktu perkenalan dia dengan Juita. Juita dan keluarganya dulu berjiran dengan ibu bapa Aliff. Aliff kenal Juita pun apabila emak Alif, Makcik Saleha rajin benar pesan rendang daging hitam daripada emak Juita, Mak Wanda. Tidak kira waktu apa sama ada waktu raya atau waktu-waktu biasa, rendang daging hitam Mak Wanda memang jadi pilihan Makcik Saleha. Makcik Saleha bukan tidak reti buat rendang. Malah, rendang ayamnya diakui oleh Aliff sebagai rendang ayam paling sedap di dunia. Tapi, kalau rendang daging hitam, Makcik Saleha kata dia terpaksa mengaku kalah dan akur dengan kehebatan rasa dan aroma rendang daging hitam turun-temurun Mak Wanda ini.
Walaupun Makcik Saleha pernah cuba-cuba buat rendang daging hitam itu seperti resipi yang diberi, namun tidak pernah sekali pun ia menjadi sesedap air tangan Mak Wanda. Pasti ada yang terkurang atau terlebih sana sini. Pendek kata, air tangan Mak Wanda untuk rendang daging hitam hanyalah dimiliki oleh Mak Wanda seorang saja. Apabila diberitahu, Mak Wanda sering saja senyum-senyum simpul. Katanya, walaupun ia resipi turun-temurun daripada keluarganya, tidak semestinya ia hanya dapat diwarisi oleh keluarganya semata-mata. Ini semua perihal pengalaman dan kesabaran.
Namun, Mak Wanda tetap Mak Wanda. Dia juga manusia biasa yang punyai rasa penat dan hal itu sering juga disuarakan oleh Mak Wanda kepada Makcik Saleha. Sebagai seorang wanita Melayu yang faham bahasa kiasan, Makcik Saleha sedar itu merupakan petanda yang Mak Wanda akan bersara daripada dunia rendang-merendang daging masak hitam. Bukan bersara terus, tetapi secara perlahan-lahan katanya apabila Makcik Saleha menyoal (dan tentunya dengan penuh bahasa kiasan supaya tak rasa tersinggung).
"Anak dara saya kan ada. Saya tengah ajar dialah ni," beritahu Mak Wanda apabila Makcik Saleha beritahu padanya bahawa adalah satu kerugian yang cukup besar apabila rendang daging hitam itu tiada siapa yang dapat mewarisinya nanti. Nak harapkan Makcik Saleha, Aliff rajin pula komen itu ini apabila dia cuba memasak rendang itu.
"Anak dara awak yang mana satu?" soal Makcik Saleha.
"Alah... yang jarang keluar rumah tulah. Kalau balik sini pun seminggu sekali. Kadang-kadang dua minggu sekali," jawab Mak Wanda.
"Kalau jarang keluar rumah, tak adalah saya kenal Wanda, oi." Makcik Saleha ketawa kecil sambil menutup mulutnya. Adalah seutas dua gelang emas ternampak di tangannya. Bukan sengaja, tak sengaja tunjuk. Tindakan refleks orang kata. Gelang itu pun hadiah hari lahir daripada Aliff. Kiranya gelang percumalah. Bukan guna duit sendiri pun.
"Kamu kenal, Aliff?" soal Makcik Saleha pada anaknya yang sedang berdiri di sebelahnya. Aliff hanya menggeleng laju. Tak kenal dan tak pernah perasan pun. Bukan setakat anak Mak Wanda saja, dia pun jarang-jarang keluar rumah dan jarang-jarang balik sini.
"Yalah... memang orang tak perasan pun anak dara saya tu. Orang selalu ingat saya ada dua orang anak perempuan aje. Padahal ada tiga orang. Yang tengah tu memang suka duduk dalam rumah. Syurga katanya. Kesian pula kat dia, tak ada siapa yang pandang." Ayat terakhir itu diucap oleh Mak Wanda dengan suara yang perlahan. Takut dikatakan cuba menjual anak pula. Tapi, Aliff dengar sikit-sikit ayat itu. Dia paling dengar sekali ayat, ...tak ada siapa yang pandang itu.
Ayat terakhir Mak Wanda itu sebenarnya sangat terkesan di hati Aliff. Semakin lama dia fikir, dia semakin ingin tahu siapa anak Mak Wanda yang tiada siapa yang pandang itu. Makanya, mulai dari situlah perkenalan antara Aliff dan Juita, anak Mak Wanda yang satu itu. Bermula dengan Aliff selalu datang ke rumah Mak Wanda untuk ambil pesanan rendang daging hitam sehinggalah dia sendiri berani tegur dan berkenalan dengan Juita.
Sekadar kawan. Kawan sahaja, tak lebih daripada itu. Itu yang selalu Aliff ingatkan hatinya. Jangan sampai terbabas.
***
Begitulah fiil anak dara tengah Mak Wanda atau lebih senang dikenali dengan nama Juita. Kadang-kadang Mak Wanda jadi runsing dengan sikap anak daranya yang satu itu. Memanglah kalau ikut cara orang dulu-dulu, anak dara tempatnya di rumah. Anak dara pingitan kononnya. Tetapi apabila ramai yang tidak sedar akan kewujudan Juita, Mak Wanda rasa sedih campur geram. Dia sedih kerana zaman sekarang di bandar ini, setahunya tiada keluarga yang tiba-tiba datang merisik anak orang tanpa usul periksa. Kalau ada pun, tentu Mak Wanda dan suaminya akan letak curiga dulu pada mereka. Zaman sekarang zaman penuh hati-hati dan curiga. Melelahkan!
Bukan setakat itu saja, Juita jugalah satu-satunya anak yang masih tak reti-reti lagi masak rendang daging hitam turun-temurun itu. Risau sungguh dia dengan perkembangan tidak sihat itu. Nak ajar masakan turun-temurun keluarga mereka pun kena dipaksa. Dua orang adik-beradiknya sudah selamat khatam resepi tersebut. Dia seorang sahaja yang tidak khatam-khatam lagi. Bukan setakat tidak khatam. Dulu-dulu masa zaman sekolah dulu, dia pernah juga nampak Juita cuba tolong-tolong bantu kakaknya sediakan bahan, tapi ia tak bertahan lama. Tiba-tiba saja Juita jadi tak berminat dengan semua itu.
Kalaulah Juita ada anak nanti, dia tidak tahulah bagaimana nasib cucu-cucunya kelak apabila tidak ada ilmu tentang masakan rendang daging hitam ini. Akan memalukan seisi keluarga.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...