BAB 18

3 0 0
                                    

"Malam minggu ni boleh kita jumpa?" soal Nabil pada Juita di talian. Ini merupakan kali ketiga Nabil mengajak Juita keluar makan malam bersama-sama dengannya. Banyak perkara yang mahu dibualkan dengan Juita, tetapi gadis itu menolak ajakannya mentah-mentah.

Untuk kali ketiga ini, apabila Nabil Fadhlan beria-ia mengajaknya keluar untuk borak-borak panjang katanya, dia rasa masanya sudah tiba. Inilah masanya dia kembali dengan wajah baharu. Dia bukan lagi Juita yang dulu.

"Okey, boleh." Jawapan ringkas yang diberikan oleh Juita itu benar-benar melegakan Nabil.

***

"Saya tak sangka awak sekarang ni novelis terkenal. Tapi saya tahu dulu awak memang suka baca novel." Juita menyambung bicara apabila masing-masing senyap.

Nabil hanya tergelak kecil. "Dunia ni memang aneh. Dulu saya tak pernah terbayang pun saya akan menjadi penulis sepenuh masa. Yang saya tahu saya sangat suka baca novel, berangan-angan untuk masuk dalam dunia novel itu. Tetapi, bercita-cita sebagai novelis hanyalah angan-angan yang disangkut di sebalik awan saja. Tidak lebih daripada itu."

"Yalah, awak pun pernah beritahu saya yang mak ayah awak tak benarkan. Tak ada masa depan katanya." Juita menyambung.

"Saya terpaksa ikut kata ayah untuk uruskan syarikat kami, tapi saya tetap menulis senyap-senyap kalau ada masa terluang. Tak boleh kalau tak menulis. Dah jadi terapi rasanya." Nabil memberitahu.

Juita tercengang seketika mendengar kata-kata Nabil itu. "Jadi, awak ni anak CEO ke?"

Nabil mengangguk.

Juita sudah tersenyum lebar dalam hati. Dia tidak menyangka anak CEO benar-benar wujud dan kini ada di hadapannya. Selama ini dia ingatkan anak CEO itu hanyalah watak yang direka-rekan oleh para penulis novel cinta Melayu, rupa-rupanya memang wujud. Tak sia-sia selama ini dia dan Rozana berangan-angan untuk bersuamikan anak CEO. Ah, terlalu awal dia mahu fikir tentang perkahwinan dia dan Nabil. Ataupun sebenarnya terlalu awal bagi Nabil memikirkan untuk menyunting dirinya sebagai isteri.

"Mesti syarikat ayah awak banyak projek juta-juta, kan?" soal Juita sengaja memasang soalan mengumpan. Mahulah juga dia tahu benarkah lagi apa yang tertulis dalam novel-novel cinta yang dia pernah baca itu.

Nabil meletakkan kedua-dua sudu dan garfunya di atas pinggan. Kemudian menyandarkan badan ke kerusi. Dia memandang ke arah wajah Juita dengan kerutan di dahi yang mula timbul. Pandangannya seperti mencerna kata-kata Juita dan sekali gus membuatkan wanita itu kelihatan sangat serba salah.

"Err... maaf. Saya tak patut tanya soalan tu. Terlebih-lebih pula saya. Bukan syarikat saya pun." Juita cuba menyembunyikan rasa kekoknya itu dengan ketawa kecil, tetapi ia kelihatan semakin kekok lagi.

Nabil yang melihat reaksi Juita itu kemudian hanya mengukir sebuah senyunan tanpa berkata apa-apa. Setelah selesai Juita menghabiskan sisa-sisa ketawa palsunya itu, barulah Nabil bersuara, "Apa yang boleh saya katakan, perniagaan syarikat keluarga kami memang berjaya. Alhamdulillah. Jangan risau, tak ada masalah pun awak tanya fasal tu."

"Boleh saya tahu perniagaan apa?" soal Juita lagi. Dia memang teruja tentang penemuan terbaharu ini kerana selama dia mengenali Nabil Fadhlan, lelaki itu tidak pernah pula beritahu apa-apa fasal syarikat keluarga dia.

"Meniaga cencaluk. Cencaluk turun-temurun moyang saya dari Melaka." Nabil kembali menyuap nasi ke mulutnya.

"Oh... " Itu saja yang mampu keluar daripada mulut Juita.

"Cencaluk ni memang laku kalau buat jual. Kat mana-mana pun orang makan cencaluk sekarang ni. Kami dah import cencaluk sampai ke Brunei dan Singapura. Saya sekeluarga memang peminat cencaluk ni. Kalau makan dengan nasi putih panas berasap memang terangkat orang kata. Tak pun hiris bawang merah dengan cili api. Perah pula dengan limau nipis, makan dengan ikan bakar. Memang seminggu terngiang-ngiang lagi."

Juita hanya tersenyum saja melihat gelagat Nabil. Sampai pejam-pejam mata cerita perihal cencaluk. Nah! Dia sudah tahu makanan kegemaran Nabil – cencaluk!

"Nanti saya kalau kita jumpa lagi, saya bagi awak sebotol cencaluk syarikat keluarga saya. Memang terbaik. Tak tidur malam teringat-ingat cencaluk tu," beritahu Nabil lagi.

Juita sudah jadi serba salah pula. Takkan dia nak beritahu Nabil yang dia tak makan cencaluk. Bukan setakat tak makan, bau cencaluk pun dia tak tahan. Tapi, Juita anggukkan saja dengan pelawaan Nabil itu. Dia tidak mahu rosakkan mood lelaki itu. Tak apalah, dia akan bagi cencaluk itu nanti pada Aliff. Aliff tu, telan apa pun dia okey aje.

"Jadi, masih lagi kerja jual cencaluk?" soal Juita cuba untuk menukar soalan tetapi masih berkisar pada cencaluk juga.

"Tak. Saya janji dengan ayah untuk kerja dalam tiga tahun sahaja, kemudian ayah kena benarkan saya buat apa yang saya mahu. Jadi novelis. Syarikat cencaluk tu sekarang abang dan abang saudara saya yang ambil alih," terang Nabil.

Mendengar bicara Nabil itu, entah mengapa Juita tiba-tiba terfikirkan tentang perebutan harta dan kuasa pula. Hmm... banyak sangat terpengaruh dengan adegan-adegan dalam novel-novel cinta ni. Namun jauh di sudut hati Juita, bimbang juga dia kalau adegan itu benar-benar berlaku dalam keluarga Nabil. Dia kan hanya novelis cerita seram thriller saja.

"Nabil, kenapa awak tiba-tiba menghilangkan diri daripada kami? Kami, kawan-kawan sekolah puas cari awak, sampai mereka putus asa. Kawan-kawan anggap awak dah tak wujud." Inilah persoalan sebenar dia pada Nabil Fadhlan selama ini. Inilah soalan yang ingin sekali ditanya pada lelaki itu dan inilah saat yang ditunggu-tunggu walau pada Rozana dulu dia pernah beritahu dia tidak kesah sama ada Nabil mahu buka cerita atau tidak.

"Juita..."

"Nabil, satu perkara yang awak kena tahu, saya tak pernah putus asa pada awak. Jauh di sudut hati saya, saya tahu awak masih ada." 

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now