Jam di dinding menunjukkan pukul 11.30 malam. Aliff masih lagi belum tidur walaupun dia sudah bersiap sedia minum susu, memberus gigi dan mengambil air sembahyang sebentar tadi. Selalunya setiap malam sebelum Isnin esoknya dia akan tidur sedikit awal daripada biasa. Ia sebagai pembakar semangat untuknya untuk bangun esok pagi supaya tidak ada perasaan Monday blues bak kata orang putih. Tapi, tidak untuk malam ini. Walaupun sudah beberapa kali dia menguap, dia masih belum mahu tidur. Ops, dia masih belum boleh tidur. Ada seseorang yang mahu bertemu dengannya lewat malam ini.
Aliff memandang lagi ke arah jam di dinding. 11.35 malam. Fuh, baru lima minit berlalu tetapi sudah rasa macam setengah jam saja. Dia mengambil telefon bimbit di atas meja kopi di hadapannya dan meneliti semula pesanan yang baru sebentar tadi diterima. Kata si pengirim, sebelum pukul dua belas tengah malam dia akan sampai di hadapan pagar rumah sewa Aliff. Ada hal penting katanya. Aliff pada mulanya malas nak layan pesanan tersebut. Tiba-tiba saja nak datang ke rumah tanpa Aliff sempat memberi apa-apa kebenaran atau alasan. Dia sudah berkira-kira dalam kepala untuk tidak mengendahkan bunyi loceng yang ditekan-tekan nanti. Tapi, tidak beberapa saat kemudian, Aliff menukar fikiran. Mungkin memang ada perkara yang amat penting yang ingin disampaikan. Kalau tidak, takkanlah mahu berjumpanya lewat-lewat malam begini.
Maka, Aliff cuba menahan kantuknya dengan menyambung bacaannya yang dibaca siang tadi. Sangeetha tulisan Allahyarham Azizi Haji Abdullah sememangnya jauh berbeza dengan karya-karya Mambang Kuning yang pernah dia baca, tetapi itulah... dia mahu tukar selera. Tak mahulah asyik terikat dengan penulis yang sama saja, fikirnya. Itu kalau ditanya kata akalnya. Namun, cuba-cubalah dia sendiri bertanya pada kata hatinya, tentu sahaja sebab yang diberi adalah berbeza. Bukan sebab mahu tukar selera sebenarnya, tetapi... sebab ia ada kena-mengena dengan Nabil. Dia rasa tidak selesa mendengar nama itu, lebih-lebih lagi kalau ia keluar daripada mulut Juita.
Dan, sepatutnya karya berat seperti Sangeetha ini tidak patut dibaca pada waktu lewat malam ketika otak sudah diprogram untuk tidur.
***
Salam, bro. Aku dah kat depan rumah kau ni. Jangan tidur dulu, bro!
Usai membaca pesanan yang dihantar, Aliff mengintai melalui cermin pintu lungsurnya sambil membetul-betulkan kain pelekatnya yang hampir terlondeh itu. Dia melihat kelibat seorang lelaki yang berdiri betul-betul di hadapan pagar rumah sewanya itu. Dengan perlahan-lahan dia berjalan keluar dan membuka kunci pagar rumahnya.
Mereka bersalaman tetapi Aliff dapat merasakan tangannya digenggam dengan kuat. Seolah-olah rakannya itu menyembunyikan sesuatu yang besar dan berat.
***
"Duduklah, Leon. Tak ada siapa pun kat rumah ni. Kawan-kawan serumah aku semua balik kampung." Aliff menghulurkan setin minuman berkarbonat kepada rakannya itu. Maaflah, Leon. Aliff terpaksa 'menghadiahkan' kandungan gula berlebihan lewat-lewat malam begini kerana dia malas mahu menyiapkan minuman. Hulur air tin begini tak menggunakan tenaga untuk membasuh cawan. Hanya tenaga untuk membuang tin kosong ke dalam tong sampah saja nanti.
"Aliff, aku nak minta maaf banyak-banyak susahkan kau malam-malam gini. Tapi aku tak tahu nak minta tolong kat siapa sekarang ni. Aku buntu." Leon memulakan bicara.
"Okey, cuba cerita kat aku apa masalah kau ni. Aku dengar," beritahu Aliff sambil menguap besar. Dia rasa bersalah menguap depan Leon tetapi mulutnya tidak dapat menahan untuk membuka luas. Nasiblah dia jenis lelaki yang reti tutup mulut apabila menguap.
Leon mengambil nafas dalam dan melepaskannya perlahan sebelum memulakan kata-kata. "Aku datang nak minta tolong kau. Aku... nak pinjam duit kau."
"Yang lima ribu ringgit hari tu?" soal Aliff.
Leon menggeleng. "Tak cukup, bro," jawabnya perlahan.
"Mak kau macam mana, Leon?" soal Aliff lagi.
Leon meraup wajahnya berkali-kali sebelum membuat sebuah pengakuan berani mati di hadapan Aliff. Dia pasti pengakuannya itu nanti membuatkan Aliff tidak jadi menguap buat kali kedua.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...