"Kenapa tiba-tiba kau ajak aku keluar hari ni?" soal Aliff apabila mereka bertemu di Perpustakaan Raja Tun Uda di seksyen 13, Shah Alam. Perpustakaan awam kegemaran mereka berdua. Boleh membaca, berehat, dan piknik sekali gus. Nak tidur berdengkur pun boleh macam Aliff pernah buat dulu, tetapi pastikan tiada orang berdekatan.
"Aliff, kau pinjam buku apa tu?" Juita pula tiba-tiba mengubah bicara dengan bertanya soalan yang tak ada kena-mengena.
"Kenapa tak ajak Mambang Kuning tu? Kau kan rajin keluar dengan dia." soal Aliff lagi. Tak nak mengalah.
"Teett...!! Salah. Nabil Fadhlan, ya. Mambang Kuning tu entiti lain. Aku tak nak gunalah nama tu. Tak selesalah."
Aliff hanya tersengih sinis menampakkan kedut-kedut di matanya terutama bawah mata.
"Kau tak cukup tidur ke, Aliff? Kulit kat mata kedut-kedut ni bukan kau ni. Kau kan rajin jaga muka. Krim malam kau dah habis ke?" Mata Juita asyik membelek-belek wajah Aliff yang jelas kelihatan kurang bermaya. Sudah hampir setengah jam dia duduk minum dengan Aliff di kafe perpustakaan, baru kini dia perasan perubahan pada wajah Aliff.
"Aku tak perlu krim-krim malam ni. Cukuplah air sembahyang aku ni." Aliff ketawa kecil melihat Juita mencebikkan bibirnya mendengar kata-kata Aliff. "Aku... sibuk sikit," sambung Aliff terus mengalihkan pandangannya ke arah tasik buatan yang terbentang di hadapannya itu.
"Kau ajak aku keluar ni kenapa?" Aliff menukar topik.
"Dah lama tak keluar dengan kau. Jom pergi kedai buku." Juita mengajak.
"Kat sini tak cukup buku ke? Nabil tak reti pergi kedai buku? Kata, penulis... kenalah tahu masuk kedai buku."
"Hah... itulah yang aku nak beritahu kau ni. Dia memang tak pergi kedai buku. Bukan tak pernah pergi. Dia tak mahu pergi ke kedai buku buat masa ni. Bukan setakat kedai buku, perpustakaan, pusat beli-belah, restoran semua buat masa ini dia tak nak jejakkan kaki kat situ. Dia perlukan masa untuk menyendiri buat masa ni," terang Juita panjang lebar.
"Oh... itu sebab kau ajak aku keluar ni? Sebab tak ada teman?" Suara Aliff memang tidak dapat sorok daripada bernada kecil hati. Padahal dia sepatutnya sedar memang itulah yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Dia diperlukan Juita pada masa-masa tertentu saja. Contohnya, seperti waktu inilah.
Juita yang mendengar kata-kata Aliff itu membeliakkan matanya. Sempat dia menghirup air oren tawar yang terlebih ais batu itu sebelum membetulkan kata-kata Aliff itu. "Eh, kau silap tu, Aliff. Aku bukan macam orang lain yang suka buat perangai macam kacang lupakan kulit. Aku tak pernah lupakan kau. Aku dalam proses nak kenal semula Nabil. Dia bukan budak sekolah menengah yang aku kenal 12 tahun dulu. Kita orang sama-sama dah dewasa. Banyak perkara yang kita orang kena ambil tahu semula. Contohnya... hmmm..." Juita menelan liur. Payah dirasakan mahu menghabiskan kata-katanya itu.
Aliff menggerakkan kedua-dua belah keningnya. Dia mahu Juita teruskan kata-katanya itu. Contohnya apa, Juita?
"Contohnya... fasal Anggerik. Kau ingat lagi aku pernah cerita fasal dia dulu?" soal Juita.
Aliff mengangguk. Dulu-dulu waktu Juita masih dalam proses belajar cuba jaya rendang daging hitam warisan turun-temurun keluarganya itu, dia akan bercerita serba sedikit tentang hal zaman sekolahnya. Pada mulanya Juita hanya buka cerita tentang cikgu-cikgu, kawan-kawan rapat, subjek kegemaran dan kurang gemar. Secara amnya ceritanya itu memang tidak layak dikumpul untuk dijadikan sebuah novellah sebab tak ada nilai-nilai komersial dan mendatar saja. Itu juga yang diberitahu Juita pada Aliff bahawa zaman persekolahannya dilalui dengan kehidupan yang mendatar, monotone saja. Sehinggalah kehadiran Nabil Fadhlan yang sering singgah ke pusat sumber selepas waktu sekolah itu menjadikan hari-hari persekolahan Juita lebih berwarna-warni. Itulah yang diberitahu oleh Juita padanya. Kata Juita lagi, dia dan Nabil pada mulanya tak bertegur sapa pun sesama sendiri. Dua-dua buat hal masing-masing. Ambil buku dan baca senyap-senyap. Tapi, Juita sering memerhatikan tingkah laku Nabil dalam diam. Nabil tak macam pelajar lain yang selalunya datang ke pusat sumber untuk ulang kaji pelajaran. Kalau ada yang pinjam buku fiksyen pun, sangat sedikit bilangannya. Tetapi tidak bagi Nabil. Sepanjang dia memerhatikan gelagat jejaka rebutan ramai, tampan, dan kesayangan cikgu-cikgu (tentunya sebab pandai dalam akademik) itu, Juita hanya melihat Nabil akan khusyuk dengan novel-novel, bukan buku-buku pelajaran.
Juita juga pernah beritahu Aliff yang Nabil itu selain daripada rajin baca novel-novel di pusat sumber, dia juga akan bawa novel sendiri. Juita tahu pun sebab Juita tanya sendiri pada Nabil. Dia yang juga pengunjung setia pusat sumber sekolah memang arif benar dengan senarai buku fiksyen di situ. Memang tidak banyak. Pada mulanya memang Nabil terkejut dengan teguran Juita itu. Dia segera menutup bahagian yang dibacanya itu dan menutup juga bahagian depan sampul kulit buku itu dengan harapan Juita tidak dapat tahu judulnya. Namun, sebagai peminat novel tegar, Nabil tidak boleh menyembunyikan segala-galanya daripada Juita. Melihatkan sampul kulit buku itu saja sudah boleh buat Juita meneka dengan mudah judul buku yang dibaca oleh Nabil itu.
"Cinta di Balik Awan ke?" soal Juita pada Nabil.
Nabil tidak memandang ke arah Juita. Sebaliknya dia sibuk mengemas (atau pura-pura mengemas) peralatannya.
"Saya ada juga novel tu kat rumah." Juita memberitahu tanpa disuruh-suruh. Kalau hal tentang novel ni, selalunya Juita memang senang ringan mulut. Lebih-lebih lagi kalau yang disapanya itu punya cita rasa yang sama.
Nabil memandang sekilas pada Juita dan mengangguk perlahan sebagai tanda, 'Okey, kau dah ada buku ni. Jadi?'
"Jadi, awak tahu tak penulis ni dah meninggal dunia?" Juita bertanya lagi. Dia tak akan mengalah selagi Nabil tidak memberi apa-apa respons. Rugilah kalau tak berkongsi hal-hal dunia novel Melayu dengan orang yang sama minat dengannya.
"Ya ke???" Nabil memberi respons secara spontan. Tangannya berhenti daripada mengemas barang. Dia kembali mengeluarkan novel Cinta di Sebalik Awan itu dan menatap pada nama sang penulis, Orked Ungu.
"Sakit apa?" soal Nabil lagi.
Juita menjengkitkan kedua-dua bahunya. "Orang kata sakit misteri. Kena buat orang. Entah betul entah tidak."
"Saya baru baca sebuah novel dia. Ni yang kedualah. Sedap," beritahu Nabil tanpa disuruh-suruh. Kini dia lebih tenang. Tiada riak wajah gelabah macam mula-mula dia ditegur oleh Juita tadi.
Dan, selebihnya adalah sejarah antara mereka.
***
"Kau nak tahu tak fasal Anggerik?" Juita memetik-metik jarinya di hadapan wajah Aliff. Aliff segera tersedar daripada lamunan. Dia benar-benar terbawa oleh cerita Juita tentang Nabil dulu. Memang dia tidak berada di tempat kejadian sewaktu perkenalan antara Juita dan Nabil, tetapi dia boleh bayangkan keadaan mereka ketika itu. Tentu mesra.
"Apa cerita Anggerik?" Aliff bertanya.
"Hah, teman aku pergi kedai buku dulu. Kedai buku besar yang baru buka dekat seksyen 9 tu. Aku nak feeling-feeling jadi tuan punya kedai tu."
"Hai, dah ada pakwe tauke cencaluk pun nak berangan-angan lagi?"
"Eh, dia bukan pakwe aku lagi. Maksud aku... belum lagilah kut."
Aliff menggeleng. Jauh di sudut hati, Aliff berharap yang Juita tidak akan jadi makwe tauke cencaluk itu sampai bila-bila.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...