BAB 44

4 0 0
                                    

Jam 10.50 pagi, Kafe Teapot Deli masih lagi lengang. Memang sengaja Juita pilih waktu-waktu sebegitu sebab fiilnya yang tidak gemar makan di tempat-tempat sesak. Boleh terbantut selera katanya.

Naik sahaja eskelator dan kemudian berjalan beberapa langkah, dari jauh lagi Juita sudah dapat melihat kelibat Aliff yang sedang khusyuk membelek skrin telefon pintarnya. Kebiasaannya Aliff akan menunggu Juita sambil membelek buku. Tak kiralah buku apa pun, janji muat kat kocek belakang seluarnya atau tak berat untuk dipegang di tangan. Membelek-belek telefon bimbit itu maknanya Aliff sedang dalam mood tidak selesa. Adakah panggilan Juita tempoh hari masih lagi merisaukannya? Adakah ia ada kena-mengena dengan Anggerik? Kalaulah Juita tahu Aliff dan Anggerik pernah bertemu tempoh hari, pastilah...

Huh!

Aliff pula seakan-akan ada kuasa telepati dengan Juita apabila elok-elok saja Juita melepasi eskelator, terus saja dia mengangkat muka dari skrin telefon. Macam tahu-tahu saja Juita sudah tiba. Dari kejauhan, Aliff melambai-lambai ke arah gadis itu.

"10.53 pagi. Tak seperti yang kita janjikan. Terawal tujuh minit pula." Juita ketawa kecil lalu mengambil duduk di hadapan Aliff. Satu keluhan kecil dilepaskan. Wajahnya yang tadi mengukir senyum tiba-tiba pula menjadi serius.

"Nak minum? Makan?" soal Aliff.

"Jus tembikai susulah."

Aliff terus memanggil pramusaji membuat pesanan untuk dua gelas jus tembikai susu. Sengaja Aliff membuat pesanan minuman yang sama dengan Juita supaya gadis itu tidak akan sibuk-sibuk untuk 'memanjangkan' penyedut minumannya masuk ke dalam gelas Aliff. Juita selalu akan mengomel jikalau Aliff pilih minuman yang serupa. Tak dapatlah 'curi' minuman Aliff. Tetapi hari ini dia tidak berkata apa-apa. Juita hanya diam tanpa membantah. Aliff seperti berjanji temu dengan Juita yang lain.

"Jadi...?" soal Aliff.

"Kita tunggu air dululah," balas Juita dengan satu senyuman hambar.

***

"Aku rasa, dalam ramai-ramai orang yang aku kenal, aku boleh cerita hal ni kat kau aje." Juita memulakan bicaranya setelah menghirup jus tembikai susu, minuman kegemarannya.

"Okey... silakan."

"Fasal Nabil."

Aliff teruskan menghirup jus tembikai susunya. Dia sudah mengagak arah tuju perbualan Juita, jadi dia tidak akan pura-pura tersedak air macam watak-watak dalam drama televisyen selalu buat tu. Selalunya Aliff jarang pesan air jus, kerana dia kurang gemar minuman buah-buahan. Tapi, hari ini dia terasa nak cuba pula minuman kegemaran Juita itu.

"Fasal Anggerik juga." Juita menambah.

Kali ini Aliff benar-benar terkejut. Mujur saja dia selesai menghirup jus tembikai susunya. Kalau tidak, dia memang akan menjadi seperti watak-watak dalam drama televisyen yang suka menyembur air di hadapan orang. Malah, mungkin lebih teruk sampai terbatuk-batuk hingga merah muka.

"Kenapa dengan Anggerik pula?" soal Aliff.

"Aku rasa Anggerik tu dah gila la. Tak betul!" Tiba-tiba saja Juita meninggikan suaranya, tapi dia masih ingat pesan emaknya. Jaga gengsi terutamanya apabila berhadapan dengan lelaki. Lalu, dia meminta maaf pada Aliff dan meneruskan bicara.

"Sebab apa pula?"

"Nabil dah ceritakan semuanya kat aku. Hari tu aku jumpa dia sebab dia beria-ia telefon aku. Kata dia, dia dah tak tahu nak cerita pada siapa lagi, selain aku. Selama 12 tahun dia dengan Anggerik hilang, kita orang, kawan-kawan semua tak dapat jejak dia orang, rupa-rupanya itu semua kerja Anggerik. Selepas ambil slip keputsan SPM dulu, aku memang nampak Anggerik dan Nabil keluar dari dewan sama-sama. Siap jalan berselisih dengan aku lagi."

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now