Imbas kembali...
Tahun 2000
Ada dua perkara saja yang boleh menggembirakan Anggerik sepanjang hidupnya. Pertama, Arman. Kedua, Nabil.
Semua orang tahu sewaktu dia di sekolah menengah dulu, Anggerik merupakan antara pelajar yang paling mendapat perhatian di sekolah. Sebut saja nama Nur Anggerik binti Amirul, rata-ratanya memang mengenali sangat dengan wajah seorang gadis remaja yang cantik, berkulit putih mulus dan berambut ikal mayang yang diikat tocang ekor kuda itu. Anggerik bukan saja dikenali oleh para pelajar yang satu batch dengannya. Malah, guru-guru dan pelajar junior pun mengenali susuk bernama Anggerik itu. Tapi sebelum Anggerik mencapai populariti pada tahap tertinggi itu, pada awalnya dia hanyalah seorang budak baharu yang cuba berjinak-jinak untuk membiasakan diri dengan tempat baharu.
Anggerik terkenal dalam kalangan guru kerana dia memang sering menjadi antara pelajar cemerlang pelajaran. Malah, kalau ada mana-mana pertandingan seperti kuiz, besyair, pidato yang memerlukan wakil sekolah, Anggerik tanpa ragu-ragu akan datang ke arah guru untuk mewakilkan dirinya secara sukarela untuk menyertainya. Sedangkan yang lain pada masa itu sibuk mengangkat tangan untu mewakilkan orang lain.
Pada mulanya, ada juga beberapa pelajar yang kurang senang dengan sikap Anggerik yang pandai memandai-mandai 'calonkan' diri sendiri itu. Siapakah Si Anggerik itu? Dia kan budak baharu yang tiba-tiba masuk ke sekolah ini, apa yang dia boleh sumbang selain menjadi sebutan tentang kecantikannya?
Tapi, Anggerik tetaplah Anggerik. Apa dia kesah. Dia tak ganggu orang dan dengan itu dia tidak perlu meminta untuk diganggu. Dia mahu buat halnya sendiri. Memang waktu mula-mula dia masuk ke sekolah itu, dia tidak ramai kawan. Kawan-kawan perempuan sekelas hanya hai-hai dan bye-bye begitu saja. Tak ada rasa nak jemput pun datang rehat sama-sama. Jadi, Anggerik hanya makan bekal sekeping roti yang disediakan oleh pembantu rumahnya dan kemudian dia ambil keputusan untuk duduk melepak saja di pusat sumber sekolah. Ya, siapa sangka Anggerik yang kononnya Juita fikir seorang yang tidak tahu jalan ke pusat sumber sekolah sebenarnya pernah menjadikan pusat sumber itu tempat wajibnya waktu rehat. Atau dengan kata lain, pusat sumber sekolah itu merupakan tempat eskapisme Anggerik. Tempat dia membaca sebanyak-banyaknya buku yang ada di situ. Dia mengulang kaji pelajaran di sana.
Anggerik ke sekolah bukan semata-mata mahu belajar. Dia mahu lebih daripada itu. Dia mahukan perhatian, tetapi dia hairan mengapa susah sangat rakan-rakan mahu mendekatinya. Dia cuba untuk tidak menjadi sombong. Malahan, dia bukanlah seorang yang sombong. Dia hanya tidak reti bergaul dengan suasana yang baharu. Anggerik masih mencari-cari keselesaan di sekolah baharu itu selepas dia dengan penuh seksa dan terpaksa merayu dengan ibu bapanya (terutama pada papanya untuk keluar dari sekolah berasrama penuh dulu). Dia tidak mahu. Dia terpaksa mengaku yang dia bukanlah seperti Arman. Arman dan dia adalah berbeza.
***
Selain daripada kecantikan semula jadi dan pandai menonjolkan diri, ada satu perkara lagi yang membuatkan populariti Anggerik tiba-tiba naik mencanak dan ia merupakan titik mula kepada Anggerik lebih dikenali. Ia tidak ada kena-mengena dengan keputusan pelajarannya yang memberangsangkan atau pertandingan-pertandingan yang mencalonkan diri sendiri. Itu semua jarang dipandang sebagai sesuatu yang boleh menarik minat para pelajar itu.
Sepanjang tiga bulan sudah berada di sekolah baharu, Anggerik masih lagi menjadi pengunjung wajib pusat sumber sekolah pada waktu rehat. Sehinggakan pustakawan-pustakawan juga mengenalinya, cuma tak rasa pula mahu menegur Anggerik. Lagipun, Anggerik tidak pernah meminjam mana-mana buku di pusat sumber itu. Dia hanya mengambil tempat di mana-mana sudut terpencil dan membaca buku selepas makan bekalnya. Maksudnya, dia hanya mencubit sedikit sahaja makanan yang dibekalkan oleh pembantu rumahnya. Dan selepas waktu rehat, Anggerik akan pulangkan buku dan balik semula ke kelas. Begitulah rutin hariannya sehingga tiga bulan kemudian, satu kejadian yang akan mengubah kehidupan Anggerik selama-lamanya berlaku.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...