BAB 43

3 0 0
                                    

Memang dia tahu keputusan untuk berkahwin dengan Anum itu satu keputusan yang agak drastik. Malah, Anum sendiri pun terperanjat dengan keputusannya itu. Selepas hampir tiga bulan berjumpa dengan Anum yang sebenar, Aliff nekad untuk menjadikan Anum sebagai suri hatinya. Seperti mana dia tidak berfikir panjang sewaktu Abang Amat bertanyakan fasal nama bakal isterinya tempoh hari. Ya, semoga Anum benar-benar menjadi suri dalam hatinya.

Anum datang dalam hidupnya tanpa diundang dan secara tiba-tiba. Bermula pertemuan yang tidak disangka di sebuah acara seni, ia merebak pula ke restoran ayah Anum, kemudian ke restoran-restoran dan kafe-kafe lain pula. Hampir setiap minggu, dua kali seminggu Anum dan Aliff akan berjumpa. Mereka berbincang tentang pelbagai perkara. Daripada hal-hal ringa seperti buku kegemaran hinggalah kepada perkara serius dan sukar seperti apa tujuan hidup dan kenapa Aliff lebih suka teh bunga kamomil yang dibelikan oleh Juita daripada kopi 'o' istimewa dari kafe ayahnya.

Anum yang dia kenali sewaktu dalam talian sebagai Wan Penunggu Cinta tidak sama seperti Anum di hadapan matanya itu. Anum yang ini lebih banyak bergurau, suka tersenyum dan sekali-sekala mencuri pandang matanya. Aliff boleh perasan dengan jelas tentang itu, namun dia berpura-pura tidak sedar dan hanya senyum saja dalam hati. Dia tak mahulah buat Anum tersipu-sipu malu sebab apabila segan Anum sudah tak dapat dibendung, gadis itu akan lebih mengunci mulutnya rapat-rapat dan akan dibuka apabila ditanya saja. Pada masa itu Aliff akan berasa serba salah dan tidak tahu untuk buat apa-apa. Dia tidak pandai memujuk perempuan melainkan Juita. Itu pun, Juita bukanlah jenis yang kuat merajuk dan Aliff tahu Juita bukan kesah pun Aliff pujuk atau tidak.

"Aliff, ayah saya ajak jumpa minggu depan." Anum yang dari tadi asyik membelek-belek buku kepunyaan Aliff yang baru dibeli di Borders The Gardens tiba-tiba bersuara.

"Bukan tiap-tipa minggu ke ayah awak ajak jumpa saya? Lelaki yang selalu saya jumpa kat One Love Cafe tu bukan ayah awak yang sebenar ke?" Aliff memandang tepat ke mata Anum. Masuk kali ini, adalah dalam empat kali dia memandang tepat ke arah mata gadis itu sepanjang mereka berjumpa. Aliff tidak menyangka pula yang dia sudah seberani itu untuk saja-saja memandang pada anak mata anak dara orang. Anak dara Uncle Wan pula tu.

"Aliff, janganlah main-main!"

Aliff tersentak apabila tak disangka-sangka suara Anum meninggi. Inilah kali pertama dia melihat wajah Anum yang beriak serius seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadanya.

"Kenapa Uncle Wan nak jumpa saya minggu depan?" Aliff bertanya, cuba mengendurkan suasana yang dirasakan tegang itu.

"Fasal hal awak."

"Ada apa-apa yang saya dah buat ke?" Aliff membetulkan duduknya.

"Fasal hal awak dengan saya." Anum menambah lagi.

Mendengarkan kata-kata Anum itu, Aliff seakan-akan sudah dapat mengagak apa isi bicara antara dia dengan Uncle Wan minggu depan.

"Boleh ke awak datang minggu depan?" Anum bertanya lagi.

Aliff menyandarkan badannya pada kerusi. Dia diam sebentar dan cuba untuk mencerna pertanyaan Anum itu.

Bolehkah dia datang minggu depan?

Aliff sudah berjanji dengan Juita untuk bertemu minggu depan, hari Sabtu jam 11 pagi di Kafe Teapot Deli, SACC Shah Alam. Itu tempat lepak kegemaran Juita setiap kali gaji masuk sebab Juita kata pai daging dan lasagna dagingnya sedap.

"Bila?"

"Sabtu ni, boleh? Tapi ayah nak jumpa pagi, tak mahu malam-malam," jawab Anum penuh pengharapan.

"Sabtu... tak boleh." Aliff membalas tegas.

"Kalau Ahad, ayah ada hal." Anum tidak mahu mengalah.

"Sabtu pagi saya ada hal pula. Dah janji dengan kawan," Aliff juga tak mahu mengalah. Dia boleh saja batalkan temu janji dengan Juita dan tukar pada hari berikutnya, tetapi dia tidak mahu. Dia rasa dia tidak patut hampakan harapan Juita yang beria-ia mahu berjumpa dengannya. Siap telefon dia lagi, bukan sekadar hantar pesanan di aplikasi WhatsApp seperti selalu.

"Tapi ayah saya?" Suara Anum sudah berubah, seperti merajuk saja nadanya.

Ya, bagaimana pula dengan Uncle Wan? Takkan dia mahu hampakan harapan ayah Anum yang tiba-tiba pula ada temu janji khas dengannya itu.

"Saya minta maaf, Anum. Saya dah janji dengan kawan saya. Saya tak dapat jumpa ayah awak Sabtu pagi nanti." Aliff bertegas.

"Siapa ya, kawan awak? Oh, yang selalu bagi berkotak-kotak teh kamomil kat awak tu ke?"

Aliff diam. Tidak membalas apa-apa.

Melihatkan Aliff yang tidak memberi apa-apa respons, melainkan hanya menjamah sedikit demi sedikit donut bersalut coklat pekat dengan taburan kacang badam yang dipesan tadi. Anum membetulkan duduknya dan melepaskan satu nafas kecil tapi cukup kuat untuk didengari oleh Aliff.

"Aliff, nanti saya beritahu ayah saya semula. Dia lapang rasanya hari Ahad."

Aliff mengangguk tanda setuju dengan cadangan Anum itu. Anum mengukir senyum lebar sambil memandang ke arah Aliff yang tangannya sudah mula mahu mencapai donut Anum pula. Anum sempat mengetuk jari Aliff dengan garpu kecil sebelum kedua-duanya tergelak kecil.

Ah, indahnya rasa melihat tawa dan senyum Aliff. Seandainya lelaki itu tahu betapa berat perasaan yang ditanggung oleh Anum selama ini, tentu sahaja Aliff tidak akan teragak-agak untuk membatalkan saja temu janjinya dengan rakannya itu. Anum tahu Aliff ingin bertemu dengan Juita. Daripada riak wajah Aliff pun dia sudah dapat meneka nama siapa yang bermain-main di sebalik anak mata lelaki itu. Tentulah bukan namanya. Apatah lagi nama bapanya.

Tapi, jauh di sudut hatinya, Anum tahu tiada siapa yang dapat menggantikan tempat Aliff dalam hatinya ini. Titik!

***

Bagi Aliff pula, dia tahu perjumpaan dengan ayah Anum kali ini bukan satu perjumpaan biasa. Sejak pertemuan pertama dengan ayah Anum lagi dia sudah mula bersiap sedia dari segi mental dan emosi. Uncle Wan itu bukan sembarangan lelaki lebih separuh abad yang lemah lembut, bermulut manis dan menjaga hati. Uncle Wan itu berbeza dengan Anum. Setiap kali berbual dengan Uncle Wan, setiap kali itu jugalah kata hatinya kuat mengatakan yang Uncle Wan itu barangkali tidak kesampaian untuk menjadi penyampai radio slot Luahan Hati Tengah Malam.

Manakan tidak, setiap kali bertemu dengan Aliff, Uncle Wan akan mengulang cerita kehebatan zaman mudanya yang menjadi pelajar contoh, lelaki idaman ramai gadis, anak yang mendengar kata sambil sekali-sekala menyindir budak-budak sekarang yang katanya tiada masa depan (atau secara halus menyindir Aliff), lalu Uncle Wan akan tertawa geli hati (atau sebenarnya tertawa puas hati?).

Namun, walau pedih dan geram juga disindir, Aliff tidak pernah serik pun bertemu dengan ayah Si Anum itu, dan Uncle Wan juga tidak jemu-jemu mengajak Aliff berbual lagi dengannya. Mungkin itu saja cara Uncle Wan meluah rasa... dengan menjadikan telinga Aliff terbakar dek kata-kata Uncle Wan yang kadangkala berat sebelah itu. Atau juga Aliff hadir hanya kerana Anum.

Anum yang manis. 

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now