BAB 31

4 0 0
                                    

Mereka saling berpandangan. Aliff memang tidak mempercayai yang Wan Si Penunggu Cinta ini rupa-rupanya seorang gadis. Selama ini pun mereka tidak pernah berborak dalam telefon. Hanya berbalas pesanan saja. Malah, tidak pernah terlintas pun di fikiran Aliff yang Wan ini perempuan kerana lenggok bahasa Wan seperti lenggok bahasa seorang lelaki. Lagi pula Wan selalu panggil dia dengan panggilan 'bro' sama macam Leon selalu panggil dia. Jadi dia ingat yang Wan ini...

"Tak percaya ke?" soal gadis itu.

Aliff tersenyum sungging. Mahu gelakkan Wan atau dirinya sendiri yang mudah sungguh tertipu. Tapi kalau orang lain berada di tempatnya pun, pasti akan tertipu juga.

"Saya Anum," beritahu gadis itu tanpa ditanya.

"Eh, bukan Wan ke?"

"Wan Anum. Wan Si Penunggu Cinta itu nama samaran aje."

***

Mereka menjamu selera di sebuah gerai berhampiran. Banyak gerai yang tidak dibuka pada hari minggu ini rupa-rupanya. Yang ada hanyalah gerai makanan ala barat dan gerai minuman buah-buahan saja. Masing-masing menolak dalam hati mahu memesan burger tiga tingkat yang merupakan makanan trademark gerai tersebut walaupun berkali-kali dipujuk rayu oleh pramusaji Indonesia itu dengan suara yang lunak. Sebenarnya hampir-hampir saja mahu termakan dengan pujukan pramusaji itu, tetapi akal warasnya segera menghalang dia daripada melakukan kerja gila itu melainkan Aliff boleh makan burger tiga tingkat itu tanpa mencomotkan dirinya sekali gus tidak menjatuhkan maruahnya di hadapan Anum (yang manis ini).

Mujur Aliff seorang lelaki yang bijak. Lalu dia melupakan saja hasratnya itu dengan memesan chicken chop bersos lada hitam dan jus epal hijau. Manakala Anum pula memang dari awal lagi sudah menolak menu burger tiga tingkat itu tanpa kompromi. Dia memesan filet ikan salmon bersama kentang goreng dan air kosong.

"Saya ingatkan awak lelaki." Aliff memberitahu sambil-sambil menunggu pesanan sampai.

"Saya memang mahu awak fikir yang saya ni lelaki pun." Anum membalas malu-malu. Air kosong sejuknya itu dihirup perlahan-lahan dengan harapan rasa panas yang menyeluruhi seluruh wajahnya dapat disejukkan.

"Oh, saya terkedu. Saya... saya tak tahu nak cakap apa lagi." Aliff berterus-terang saja. Memang betullah dia sudah kehilangan kata-kata dan dia mahu gadis di hadapannya itu saja yang meneruskan perbualan. Atau lebih tepat lagi, dia mahu Si Anum ini menerangkan padanya sebab dia berkelakuan begitu. Sempat juga Aliff menghamburkan tawa yang dibuat-buat agar keadaan antara mereka tidak terlalu tegang.

Mendengarkan kata-kata Aliff itu, Anum membetulkan duduknya. "Saya selesa kalau awak fikir saya ni lelaki. Saya tak adalah rasa kekok nak komen kat cerpen-cerpen awak yang sedap gila tu." Anum ketawa kecil sambil menutup mulutnya. Entah apa yang lucu pun Aliff tak tahulah. Tapi dia ikut ketawa juga. Ketawa sebab dia suka dengar bunyi tawa Anum. Macam bunyi burung-burung menyanyi di tepi jendela biliknya.

"Saya suka kawan dengan awak, Aliff. Saya minta maaf kalau awak rasa tertipu dengan identiti saya ni," sambung Anum lagi.

"Saya memang tertipu dengan awak." Aliff membalas. Datar saja nada suaranya. Dia mengunyah ayam yang dipotong kecil-kecil itu dengan perlahan-lahan sambil matanya memadang tajam ke arah gadis di hadapannya itu. Memang satu pandangan yang menyeramkan. Tiba-tiba Anum rasa lain macam.

"Aliff, saya bukan sengaja nak tipu awak. Lagipun saya tak pernah pun beritahu saya lelaki atau perempuan sepanjang kita berkawan. Jadi, saya anggap awak tak kesahlah dengan identiti saya ni. Tapi, kalau betul-betul marah, saya minta maaf sungguh-sungguh. Tak apa, awak jangan risau. Semua makanan ni saya belanja." Anum sudah ketap bibirnya. Filet ikan yang tinggal separuh itu sudah tidak lalu hendak dijamah. Hilang selera. Hilang mood.

"Saya tak kata pun saya marah. Saya terkejut aje sebenarnya. Tapi, kalau awak nak saya maafkan awak, saya ada satu syarat."

"Syaratnya?"

"Syaratnya, awak kena beritahu secara umum tentang identiti awak yang sebenarnya di laman komuniti maya kita tu."

"Eh, takkanlah sampai macam tu sekali?" Anum sedikit terkejut dengan permintaan Aliff itu. Ikhlas ke tidak nak maafkan dia ni? Anum sudah tidak sedap hati.

"Kenalah macam tu kalau betul-betul nak saya maafkan awak." Aliff tersenyum kecil melihat riak wajah Anum sudah berubah menjadi seperti cuka pula. Masam dan memuncung.

"Awak sengaja, ya?" Anum tidak percaya yang Aliff benar-benar serius.

"Ya, saya serius. Tak main-main." Aliff sudah padam segala senyumnya dan mula membetulkan duduk supaya lebih selesa.

"Mana boleh macam tu, Aliff. Saya ada hak untuk tak beritahu identiti sebenar saya pada orang ramai. Lagipun, bukan semua orang guna nama sebenar macam awak."

"Saya pun ada hak juga, Anum."

"Hak apa?" Anum tak faham dan dia sekarang ini mahu kefahaman yang jelas tentang hak yang disebutkan oleh Aliff itu.

"Saya pun ada hak untuk jaga maruah saya, Anum. Saya juga tak mahu orang asyik menganggap Wan Penunggu Cinta itu seorang lelaki yang memuja lelaki lain melalui komen-komen pada cerpen-cerpen lelaki tersebut, iaitu saya. Saya sering diusik dan adakalanya beberapa orang ahli komuniti tersebut yang menghantar pesanan peribadi pada saya tentang hal saya kononnya saya disukai oleh lelaki secara senyap-senyap."

"Aliff, saya tak tahu pun..."

"Tapi, jangan risau Anum. Saya tak pernah fikir jauh sampai ke situ. Saya anggap awak peminat karya-karya saya saja. Tak lebih daripada tu. Lagipun, apabila saya dah setuju nak bertukar nombor telefon dengan awak, maknanya saya percaya pada awaklah. Tak gitu, bro?" Aliff tersengih.

Anum membalas dengan senyuman hambar. Bukan kerana dia tidak 'masuk' dengan usikan Aliff itu, tetapi dia rasa terkejut dan kasihan pula dengan Aliff. Tak dia sangka bahawa komen-komennya pada cerpen-cerpen Aliff itu mengundang usikan serius daripada rakan-rakan maya yang lain. Memanglah ada antara komen-komennya yang berbaur manja sedikit, tetapi dia rasa dia masih tidak melampaui batas. Mungkin, sifat kewanitaannya itu terserlah melalui komen-komennya, lantas nama samarannya, Wan Si Penunggu Cinta yang kononnya ala nama samaran lelaki jiwang itu telah disalah erti oleh beberapa kenalan maya mereka. Lagi pula, Anum tidak pernah mengiakan atau menidakkan apabila ramai kenalan dalam komuniti tersebut yang bertanya perihal status jantinanya sama ada lelaki atau perempuan. Itulah padahnya, Aliff pula yang terkena tempias kesan daripada sikap berdiam dirinya itu.

"Jadi?" Aliff bertanya setelah melihat Anum tidak memberi apa-apa kata balas.

"Okey." Anum mengukir segaris senyuman. Manis dan penuh ikhlas.

"Saya tunggu," balas Aliff.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now