BAB 41

3 0 0
                                    

"Fasal Anggerik tu, saya sebenarnya kalau boleh tak mahu beritahu awak fasal dia. Tapi sebab awak dah ternampak saya dan dia tempoh hari, saya terpaksa beritahu jugalah," beritahu Nabil suatu hari.

Waktu itu Nabil dan Juita baru lepas tonton wayang di pusat beli-belah Mid Valley. Baru hari ini Juita tahu yang Nabil ini sebenarnya kurang gemar menonton wayang dengan orang lain. Dia suka tonton wayang seorang diri tanpa teman. Ia tidak ada kena-mengena dengan sesiapa atau cuba menjauhi sesiapa. Menonton wayang berseorangan bagi Nabil lebih bersifat peribadi. Mudah baginya untuk menghamburkan emosi sewaktu menonton. Sama ada menangis atau ketawa berdekah-dekah.

Namun, apabila Juita menghantar pesanan bertanya khabarnya semalam selepas lebih kurang dua minggu senyap daripada radar hidup gadis itu, Nabil ingin melakukan sesuatu yang lain. Dia mahu ajak Juita tonton filem. Pilihan filemnya adalah sebuah filem cinta. Dia rasa dia mahu cuba berkongsi emosi dengan seseorang yang dia selesa. Dan Juita adalah orang yang sesuai. Dia semakin selesa dengan gadis itu. Malah, semenjak mereka berkenalan buat kali pertama di pusat sumber sekolah dulu, dia sudah merasakan yang gadis ini akan menjadi salah seorang yang melakar sejarah dalam hidupnya.

Begitu juga dengan Anggerik.

"Anggerik tu memang saya kenal dah lama. Ramai kawan-kawan sekolah tak tahu kami rapat." Nabil memulakan bicara.

Dulu, Juita pun ada dengar cerita tentang hubungan rapat Anggerik dan Nabil, tapi dia tidak percaya sebab dia tidak nampak dengan mata kepala sendiri. Jadi dia andaikan ia sebuah berita yang tidak sahih. Sehinggalah Anggerik datang ke pusat sumber semata-mata mahu mencari Nabil, hati kecil Juita mula cuba mahu mengiakan khabar angin itu. Apabila Nabil sendiri membuka cerita tentang dirinya yang rapat dengan Anggerik ketika ini, Juita hanya mampu mengetap bibir.

Masih rapatkah hubungan Anggerik dengan Nabil? Entah mengapa Juita dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh Nabil tentang Anggerik. Dia dapat mengesan nada suara yang resah gelisah walau tidak ditunjukkan dengan ketara.

"Keluarga Anggerik dan keluarga saya berkawan. Hari tu saya dan Anggerik keluar sama sebab saya terpaksa. Saya tak mahu dia..." Nabil terdiam.

"Tak mahu dia apa?" Juita terus menyoal tanpa mahu menunggu lebih lama. Kalaulah Nabil tahu betapa lamanya dia menunggu jawapan daripada pertemuan misteri Anggerik dan Nabil itu.

Nabil bersandar di kerusi. Dia menyilangkan kedua-dua belah tangannya sambil melepaskan satu keluhan berat. "Saya tak mahu Anggerik sedar yang saya sudah tahu rahsia dia. Saya tak mahu dia curiga pada saya. Sepanjang saya meminta awak tidak bertemu atau menghubungi saya, sebenarnya saya telah merancang sesuatu."

Kali ini Juita pula menyandarkan tubuhnya di kerusi. Biar betul Nabil ni, bisiknya. Sejak bila pula novelis bertukar menjadi penyiasat?

"Saya tak fahamlah. Boleh terangkan kat saya duduk perkara sebenar hubungan awak dengan Anggerik ni?" soal Juita.

"Awak ingat 12 tahun lepas. Selepas kita ambil slip keputusan SPM di sekolah?" soal Nabil pula.

Juita mengangguk laju. Mana mungkin dia lupa hari yang penuh bersejarah itu. Kali terakhir dia melihat wajah Nabil dan Anggerik sebelum mereka berdua hilang daripada hidupnya dan kawan-kawan yang lain.

"Kenapa dengan waktu tu?" soal Juita. Dia rasa berdebar-debar mahu mendengar cerita Nabil. Pasti ia sebuah cerita yang besar sehingga membuatkan Nabil baru mahu membuka mulut pada hari ini.

"Anggerik rupa-rupanya merancang sesuatu pada waktu tu. Rancangan tersebut menyebabkan hidup saya porak-peranda. Dia buat saya terpaksa menyembunyikan diri selama 12 tahun. 12 tahun saya hilang tanpa pengetahuan sesiapa melainkan hanya dia dan ibu bapa kami berdua saja yang mengetahui."

"Apa yang jadi sebenarnya?"

"Kami kemalangan atas rancangan dia."

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now