"Bila?" soal Aliff di talian. Kemudian dia mengangguk bersetuju dengan pemanggil di hujung talian itu. Selesai sahaja perbualan mereka, talian segera dimatikan.
Ini memang kerja gila!
Aliff melepaskan satu keluhan berat. Seolah-olah mahu membuang segala apa yang ada di fikirannya ketika ini. Dia sendiri tidak menyangka yang dia boleh berhubungan serius dengan si pemanggil. Malah dia sendiri sehingga sekarang masih tidak dapat mempercayai dirinya yang boleh bekerjasama dengan si pemanggil untuk membuat satu 'perjanjian maut'. Perjanjian yang dia jangka pasti akan membuatkan hubungannya dengan Juita bakal lenyap. Namun, dia terpaksa demi Juita.
Sekarang ini Aliff tidak mahu berfikir yang bukan-bukan ketika ini. Dia mahu mendengar dulu apa rancangan yang bakal dibincangkan oleh dia dan si pemanggil esok. Dia berharap rancangan mereka menjadi.
Sudah-sudahkanlah drama cerita mereka ini. Kadang-kadang Aliff merasakan dia berada sebagai salah seorang watak dalam novel fiksyen. Cumanya dia tidak pasti dia diletakkan sebagai watak yang mana satu. Protagonis atau antagonis? Tapi apa yang dia pasti, walau apa pun yang terjadi selepas ini, perasaannya pada Juita tak akan berubah.
***
Dari kejauhan dia sudah dapat mengagak kelibat jejaka yang duduk membelakanginya itu. Dia sudah simpan siap-siap memori susuk tubuh dan wajah lelaki itu saat mereka berdua berserta Juita bertemu tempoh hari. Manakan dia boleh lupa kejadian yang sungguh dramatik itu sehingakan hampir-hampir saja dia ditampar oleh pemuda itu. Apabila dia mengulang kembali kejadian itu dalam memori kepalanya, pasti dia akan menggeleng dan senyum sendirian. Benar, pada mulanya memang dia berasa marah yang teramat sangat dengan lelaki itu. Sanggup dia mahu menampar seorang wanita sepertinya. Namun, apabila dia melihat wajah lelaki itu seakan ragu-ragu, dia sendiri pula yang tiba-tiba mengalah. Dia berhenti daripada mengherdik dan memalukan Juita. Dia faham dan sangat mengerti pandangan marah lelaki itu. Kerana dia juga sekarang berada di tempat lelaki itu. Terdesak mempertahankan sesuatu yang sangat disayangi.
Dan kerana terdesak jugalah, dia sanggup mencari semula lelaki itu. Dia tahu lelaki itu akan membantu menyelesaikan masalah ini.
"Lama sampai?" Dia menegur lelaki itu dari belakang. Cermin mata hitamnya dibetul-betulkan sedikit. Rambut ikalnya yang terjuntai di wajah diselitkan ke telinga.
Aliff melihat jam di tangan. "Adalah dalam setengah jam. Tak apa. Aku memang datang awal sikit."
Anggerik tersenyum lalu menarik kerusi di hadapan Aliff dan duduk. Permulaan untuk satu pertemuan yang baik. Datang tepat pada masanya. Dia mula menyukai lelaki ini.
Aliff yang memandang wajah Anggerik akan terpempan seketika melihat senyuman Anggerik. Ini pertama kali dia melihat wanita itu mengukir satu senyuman mesra. Kalaulah dia tidak mendengar cerita-cerita daripada Juita dan melihat dengan mata sendiri bagaimana wanita di hadapannya ini mengherdik Juita, pasti dia akan menyangka Anggerik wanita Melayu terakhir pada abad ini.
Jangan risau, dia tidak mudah tertipu dengan senyuman wanita seperti Anggerik. Terpukau seketika itu dia mengakui. Anggerik pula bukan calang-calang wanita. Dia seorang wanita yang cantik di mata dia.
"I suka orang yang tepati masa macam you ni. Buat hati I tenang," beritahu Anggerik sambil menanggalkan cermin mata hitamnya. Mata galaknya bagai turut tersenyum apabila Anggerik mengukir senyum. Aliff hanya membalas senyumannya dengan senyum balas nipis.
"Apa dan kenapa?" soal Aliff tanpa berbasa-basi. Kedua-dua belah tangannya memeluk tubuh sambil menyandarkan badan ke kerusi.
"Nanti dulu. I tahu you tak sabar nak tahu sebab apa yang I mengamuk sakan hari tu." Anggerik tertawa kecil. Sangkanya ia satu perkara yang lucu, tetapi tidak buat Aliff. Lelaki itu masih merenungnya tajam.
***
"Juita mesti ada cerita kat you fasal I, kan? Dia mesti buruk-burukkan I kat you, kan?" soal Anggerik sambil menghirup jus tembikai susunya. Dia tak mahu makan sebab dia datang berjumpa dengan Aliff pun bukan untuk makan-makan. Tapi dia dah janji dengan Aliff nak belanja lelaki itu makan walau pada mulanya Aliff menolak. Akhirnya, Aliff 'terpaksa' juga pesan mi goreng dan teh 'o' panas setelah didesak Anggerik. Harap-harap ia bukan satu cubaan merasuah Aliff. Dia tak rela, lebih-lebih lagi kalau melibatkan Juita.
"Dia tak ada cerita banyak fasal kau. Malah, kalau boleh dia tak mahu kaitkan apa-apa pun dengan kau sebab itu akan buat dia rasa sedih. Juita cuma beritahu yang dia teringin sangat nak tahu apa sebenarnya yang terjadi antara kau dengan Nabil 12 tahun dulu. Spesifiknya, sewaktu kau orang berdua tak dengar khabar berita lepas ambil keputusan SPM dulu," terang Aliff.
"I tak boleh buat apa-apa kalau Juita rasa sedih tentang hubungan I dengan Nabil. Tapi I ada hak ke atas Nabil... dulu lagi. Sejak dulu lagi keluarga setuju kalau kami dijodohkan. Kalau pun mereka tak bercadang nak jodohkan kami, I memang dari dulu sukakan Nabil. Kali pertama kami berkenalan memang I tak berapa suka dengan dia, tapi lama-kelamaan I tahu dia akan jadi orang paling penting dalam hidup I. I sanggup buat apa saja untuk hubungan I dengan Nabil jadi kenyataan. Kami memang berkawan seperti biasa, cuma di sekolah kami tak terlalu ketara menunjukkan hubungan persahabatan kami. Itu memang kehendak kami. Lagipun, I tak mahu jadi perempuan yang terlalu mengongkong hidup mana-mana lelaki. Itu bukan cara I." Anggerik membetul-betulkan rambutnya yang terbang ditiup angin panas Bandar Anggerik ini.
Aliff yang mendengar kata-kata Anggerik itu hanya mampu tertawa sinis. "Tak mengongkong? Habis tu takkan Juita nak bohong pula apabila dia beritahu aku yang Nabil..."
"Nabil beritahu apa pada Juita? Beritahu yang aku cuba hantar orang untuk menyiasat gerak-geri dia?" Anggerik menjengkitkan kening kanannya.
Aliff mengangguk. Dia malas mahu menjawab soalan Anggerik itu. Yang dia mahu dengar sekarang ini adalah penjelasan daripada wanita di hadapannya itu.
"Ya. Betullah apa yang Nabil beritahu Juita tu. Memang I ada hantar orang untuk siasat gerak-geri Nabil. Bukan gerak-geri Nabil saja. Orang-orang yang rapat dengan dia pun I hantar orang untuk siasat gerak-geri mereka. Termasuklah Juita."
"Tadi kau kata kau jenis yang tak mengongkong lelaki. Tapi yang ini..."
"You nak beritahu I yang I ni cakap tak serupa bikinlah? Macam tu? I ada sebab buat macam tu. I tak boleh Nabil jatuh ke tangan orang lain. Dia tu milik I."
"Kau ingat Nabil tu barang mainan ke?" Aliff sudah rasa tidak selesa dengan perbualan ini. Bagai tiada arah tujuan yang jelas.
"Bukan. Dia bukan barang mainan. Nabil tu macam dah separuh daripada nyawa I. I bertanggungjawab ke atas dia." Anggerik menghirup lama jus tembikai susunya itu. Dia cuba meredakan perasaan galau yang bermain-main di benaknya ketika ini.
"Kenapa kau nak jumpa aku sangat ni? Kau kata ada kena-mengena dengan Juita." Aliff sudah tidak sabar.
"I rasa you orang paling sesuai untuk kerja ni sebab you rapat dengan Juita." Bibir Anggerik yang dioles lipstik merah menyala itu mengukir satu senyuman lebar.
"Kerja? Kerja apa? Hei, apa sebenarnya ni?" Aliff mengerutkan dahinya. Dia sudah mula rasa rimas dengan pertemuan ini.
"Sabar dulu. I akan beritahu you. You kena dengar cerita I baik-baik. Mungkin akan mengejutkan tapi I tak bohong. Juita mungkin boleh diselamatkan kalau kita bertindak cepat." Anggerik mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya. Senaskhah buku yang difotostat dan dikemas rapi di tepinya diletakkan di atas meja. Anggerik menolak salinan fotostat itu ke arah Aliff.
"Apa ni?" Aliff teragak-agak untuk mengambil salinan itu. Namun, dia tetap menyelak muka surat depan salinan tersebut. Ada nama yang dia kenali terpampang jelas pada muka surat depan salinan itu. Ia bertulis tangan dengan kemas.
"Ini Nabil punya," beritahu Anggerik.
Aliff tahu itu Nabil punya berdasarkan nama yang tertulis di atas salinan itu. Tetapi salinan ini?
"Ini buku nota Nabil yang I fotostat semula. Untuk you baca. Untuk you faham siapa Nabil Fadhlan sebenarya dan bagaimana hubungan I dengan dia. Kalau ada apa-apa yang you musykil, jangan ragu-ragu untuk telefon I," sambung Anggerik seperti sudah tahu apa yang terluah dalam fikiran Aliff.
YOU ARE READING
Juita, Satu dalam Sejuta
General FictionMakna 'juita' ada dua makna. Pertama ialah 'nyawa', 'buah hati', atau 'kekasih'. Makna kedua pula, 'cantik', 'elok' atau 'ratna'. Aku memilih makna pertama untuk menyerumu, kekasih! - Aliff Perkara yang paling ditakuti Juita akhirnya terjadi jua - m...