BAB 27

4 0 0
                                    

Anggerik adalah seorang gadis yang Juita fikir sebagai secukup rasa. Cantik, datang dari keluarga ada-ada, pandai, popular, pandai bergaul (atau manipulasi?), antara pelajar terbaik dan cantik, cantik, serta cantik.

Nabil pula adalah seorang anak muda yang bagi pendapat Juita ia tidak memerlukan pendapat. Juita menyenangi Nabil apa adanya. Tiada tokok tambah. Tiada lebih tiada kurang. Semuanya serba sempurna.

Jadi, apabila Juita dapat tahu daripada cakap-cakap belakang yang Anggerik ada hati dengan Nabil, dia mula tidak senang duduk. Mahu saja dia bertanya terus kepada empunya badan, Si Nabil tentang khabar angin itu, tetapi dia seganlah pula.

Nabil pula tidak pernah membuka apa-apa cerita tentang Anggerik. Malah, sepanjang Juita bersekolah di situ, dia tidak pernah dengar Nabil membuka cerita tentang mana-mana gadis, baik di sekolah itu atau di sekolah lain. Sebaliknya, para gadis yang sering kali membuat kenyataan ala media dengan mengatakan si dia, si dia atau si dia itu ada hubungan istimewa dengan Nabil.

Selalunya Juita tidak akan terlalu ambil peduli sangat dengan berita-berita perasan yang penuh perasaan daripada para gadis di sekolahnya itu. Tetapi apabila Nabil dikaitkan dengan Anggerik, Juita tahu yang ini dia perlu ambil perhatian serius dengan khabar angin ini.

***

"Dah lama baca novel-novel Orked Ungu?" soal Nabil apabila Juita meletakkan tiga buah novel daripada penulis kegemarannya itu di atas meja. Cantik dan berbalut kemas dengan pembalut buku.

"Hmm... lamalah juga. Sejak novel dia yang kedua. Lepas tu, terus beli novel dia yang pertama dan ketiga sekali gus. Arwah dah tulis lima buah novel. Yang keenam masih dalam proses suntingan. Ada di tangan penerbit lagi. Sayang, Orked Ungu tak sempat nak tengok hasil karya dia yang terakhir," terang Juita sambil melepaskan keluhan kecil.

"Banyak juga yang awak tahu fasal Orked Ungu ni," balas Nabil. Dia membelek-belek novel-novel Orked Ungu yang dipinjamkan oleh Juita itu dengan penuh hati-hati. Sebabnya, dia tahu daripada keadaan novel-novel ini, Juita telah menjaganya dengan baik sekali. Malah kesan hujung muka surat terlipat pun tiada. Nabil nak selak-selak pun rasa takut-takut. Takut kena marah dengan Juita dan terus tak dapat pinjam novel-novel tersebut.

Namun, Juita hanya memandangnya dengan pandangan biasa. Siap hadiahkan senyuman nipis lagi pada Nabil.

"Bolehlah. Kalau dah minat, tangan ni gatal aje nak cari maklumat fasal Orked Ungu. Lebih-lebih lagi apabila dia dah meninggal dunia ni. Saya tahu fasal manuskrip yang terakhir arwah pun apabila seorang kolumnis surat khabar buat belangsukawa fasal Orked Ungu. Kolumnis tu pun peminat arwah rupa-rupanya."

Nabil mengangguk mendengar bicara Juita itu. Lagaknya seperti orang yang memang berminat mendengar kata-kata Juita. "Bila novel terakhir arwah terbit?" soal Nabil lagi.

"Entahlah. Dengar kata tahun depan." Juita mengangkat kedua-dua belah bahunya.

Nabil mengangguk lagi. Suasana kembali senyap sunyi. Yang terdengar hanyalah bisik-bisik daripada beberapa orang pelajar yang turut sama berada di dalam pusat sumber itu. Juita hanya mampu mengetap bibir sambil memandang meja. Dia sudah hilang akal mahu meneruskan kata-katanya. Nabil pula masih membelek-belek muka surat novel-novel Orked Ungu. Sekali-sekala dia membaca blurb novel di belakang sampul kulit. Padahal, hakikatnya dia sendiri pun buntu untuk meneruskan perbualan.

"Ermm... Juita..."

"Nabil!" Belum sempat Nabil meneruskan kata-kata, satu suara separa menjerit menjengah ke pendengaran mereka berdua.

Sejak bila Si Anggerik ni tahu jalan ke pusat sumber sekolah? Hati Juita berbisik dalam nada curiga apabila dia menoleh ke arah suara yang memanggil nama Nabil itu. Tentu dari kejauhan Anggerik sudah dapat merasai aura Nabil sehingga tahu di mana Nabil berada, bisik Juita lagi. Dia tidak mampu meluahkan segalanya di hadapan Anggerik memandangkan dia sendiri berasa kurang keyakinan diri berhadapan dengan Anggerik.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now