BAB 47

3 0 0
                                    


Imbas semula...

Restoran Uncle K, SACC Shah Alam.

"You tahu kenapa novel-novel Mambang Kuning tetap laku di pasaran?"

"Cerita yang dia tulis lain daripada lain. Tak ramai penulis yang boleh tulis cerita seram, misteri, tapi pada masa yang sama masih ada elemen cinta macam dia. Memang ada, tapi aku rasa penulisan Mambang Kuning yang paling terkesan kat jiwa aku. Cara dia sampaikan ceritanya macam kisah benar. Macam betul-betul berlaku. Mambang Kuning memang rajin buat penyelidikan."

"You betul dan salah." Anggerik tersenyum sinis. Pandangan matanya yang galak itu memandang Aliff dengan satu pandangan tajam. Namun, ia tidak mampu menakutkan Alif langsung. Lebih membuatkan lelaki itu simpan meluat, adalah.

Ah, Anggerik ni suka benar bermain dengan kata-kata! Bermain dengan masanya. Dia bukanlah ada perkara mustahak sangat mahu dikejarkan, tetapi Aliff sudah tidak betah duduk berlama-lama dengan Anggerik. Rimas!

Inikah yang Juita selalu bilang padanya dulu, apabila dia sering mengusik Juita bahawa gadis yang cantik memang sentiasa sedap mata memandang.

Apa gunanya kalau cantik tetapi hati orang yang berada dekat dengan mereka tak tenang. Serabut. Rimas. Suara Juita yang seakan-akan bernada cemburu itu terngiang-ngiang di telinganya kini. Juita... oh Juita... sering membuat dia tergelak dengan gelagatnya.

"Apa yang betul, apa yang salahnya?" Aliff layankan ajelah Si Anggerik ini. Kata hatinya, ini kan semua demi Juita.

"Kalau you kata cerita yang dia tulis tu semua macam kisah benar, you memang seorang pembaca tegar karya-karya Mambang Kuning. Menghayati dengan penuh hebat. Memang betullah kalau you kata dia tulis macam daripada kisah benar. Sebab sumbernya memang ada depan mata dia."

"Wow! Maknanya cerita dalam Misi Rahsia untuk Erin tu betullah memang wujud watak wanita penggoda yang sebenarnya perisik untuk satu organisasi mengawal populasi penduduk dunia?"

Anggerik hanya diam membisu. Dia tidak mengiakan atau menafikan. Aliff pula sepertinya sedang memikir-mikir sesuatu, yang kemudiannya terus bersuara lagi.

"Hmmm... kalau Surat Berantai Rita pula cerita tentang sepucuk surat yang telah ditulis oleh Rita, seorang wanita cantik yang membawa kematian pada siapa yang membacanya. Biar betul surat macam tu wujud. Aku teringat pula filem Jepun yang lebih kurang macam cerita tu... apa nama filem tu... alah..."

"Ringu." Anggerik menjawab pantas lalu diikuti dengan petikan jari kiri Aliff menandakan itulah nama yang ingin dicari-cari tadi. "Itu filem kegemaran Nabil. Dia boleh tonton filem tu setiap tahun. Tanpa jemu." Anggerik menyambung kata lagi.

"Oh, Surat Berantai Rita tu memang ada pengaruh kuat dengan filem Ringu la? Cuma, watak Rita tu akhirnya terbunuh dengan suratnya sendiri. Sumpahan daripada surat dia. Huh! Itu pun dari kisah benar ke? Kau biar betul, Anggerik? Aku susahlah nak percaya..."

"You susah nak percaya kalau yang beritahu tu keluar daripada mulut I ke, Aliff? Sebab apa, ek?" soal Anggerik yang sengaja mahu mengetahui apa dalam fikiran Aliff.

"Kalau orang tengok penampilan luaran kau ni, orang mesti ingat yang kau jenis perempuan urban, berfikiran moden. Bukanlah yang jenis percaya pada hal-hal konspirasi, misteri, mistik ni semua. Anggerik, takkanlah kau sanggup reka cerita-cerita mengarut ni semata-mata nak halang hubungan Juita dengan Nabil." Ada nada sinis dalam suara Aliff membuatkan hati Anggerik sedikit tergores.

Tapi, seperti biasa dia tidak akan menunjukkan apa-apa riak pun di hadapan Aliff. Kalau selama bertahun-tahun dia boleh bertahan daripada macam-macam tekanan, takkan kata-kata sinis Aliff itu apalah sangat.

"Lagi satu... lagi satu yang ni paling kelakar. Novel Kehilangan: Sebuah Kes Tersembunyi. Nia tu memang betul-betul wujud ke? Daripada kisah benar? Takkanlah makhluk asing cantik macam watak Nia tu. Kalau dalam novel tu memanglah nak baca pun seronok dan suspens. Tapi kalau betul-betul berlaku, sekelip mata Malaysia akan jadi terkenal dan Nia memang akan jadi bahan pameran besar-besaran ke seluruh dunia. Pergh... memang masyuk!" Aliff ketawa lagi. Dia tidak menyangka perbualan sesi kedua ini lebih menarik daripada yang dia sangkakan. Namun, tidak pula bagi Anggerik. Gadis itu tidak berminat dengan gelak tawa Aliff. Menjengkelkan.

"Dah selesai?" soal Anggerik.

"Ugh... oh!" Aliff tersentak mendengar soalan Anggerik. Tawanya tadi terus lenyap serta-merta.

"Lepas I beitahu semua ni, kalau you nak gelak sampai pecah perut pun I dah tak kesah. Tapi you kena dengar dulu apa yang I nak ceritakan."

"Okey..."

"Tadi I dah beritahu you fokus pada watak-watak wanita utama. I rasa, kalau I tak suruh pun, memang you akan fokus pada watak-watak wanita, kan? Memang lelaki semua macam tu, ek? Cerita ke laut pun kalau ada fasal perempuan cantik, semua on." Anggerik pula pulang paku buah keras pada Aliff.

"Hei... hei... cakap baik-baik sikit, ya. Kau jangan nak stereotaipkan semua lelaki macam tu, ya. Aku memang minat novel-novel Mambang Kuning, sebab cerita yang dia tulis lain daripada lain. Watak-watak dia walaupun ada watak wanita cantik dan menggoda, tetapi bijak dan misteri." Aliff memang rasa kurang senang dengan tuduhan serkap jarang Anggerik itu.

"Janganlah melenting. I saja nak tengok reaksi you. Tak sangka you ni nampak comel juga kalau marah." Anggerik bermain-main dengan hujung rambutnya itu.

"Sudah-sudahlah, Anggerik. Cepat beritahu aku apa yang kau nak cakap sangat." Aliff rasa kembang juga apabila dipuji sebegitu tetapi cepat-cepat dia kawal hatinya. Anggerik ini wanita yang sukar diramal. Puji pasti ada makna.

"Watak-watak utama yang you sebut dan ada dalam novel-novel Mambang Kuning a.k.a. Nabil Fadhlan tu adalah daripada watak dan perwatakan I. Watak Erin, Rita, Nia tu semua adalah I."

"Huh, takkanlah kau ni sebenarnya makhluk asing?" Aliff memandang tepat ke bebola mata Anggerik. Manalah tahu tanpa dia sedar bebola mata Anggerik itu tiba-tiba boleh bertukar warna setiap sepuluh minit sama seperti watak Nia.

"Kelakarlah you ni, Aliff. I bukan makhluk asing, tapi Nabil yang fikir I makhluk asing. Bukan setakat dalam novel Kehilangan: Sebuah Kes Tersembunyi, tapi secara realiti pun dia anggap I adalah makhluk asing yang bila-bila masa boleh membunuh dia. Apa macam? You mesti tak percaya, kan? Tak apa, I akan terangkan lagi. You nak ambil masa berjam-jam lagi pun boleh."

Aliff senyap. Wajah Anggerik yang serius itu memang tidak menggambarkan yang wanita di hadapannya itu main-main. Jadi, Aliff mengangguk setuju dengan pelawaan Anggerik.

"Teruskan."

"You tahu I dengan Nabil pernah kemalangan jalan raya lepas kita orang ambil slip keputusan SPM dulu. Lama dah... dalam 12 tahun lepas. Masa tu..."

"Aku tahu." Aliff sudah dengar cerita itu berkali-kali dan dia sudah hafal jalan ceritanya.

"Juita?" soal Anggerik.

Aliff mengangguk. Itu antara cerita kegemaran Juita kalau mereka bertemu. Bosan? Aliff mengakui dia kadang-kadang bosan dengan cerita itu, tetapi dia suka tengok wajah Juita yang sungguh-sungguh bercerita.

"Hmm... baguslah. Jimat air liur I. Cuma I kena beritahu you juga fasal kemalangan tu. Sebab ramai yang tak tahu apa yang jadi lepas tu, kan?"

"Teruskan. Aku dengar."

"Lepas kemalangan tu, I dengan Nabil terus dikejarkan ke hospital. Memang I yang bawa kereta tu, tapi I dah ada lesen ya masa tu. I tak dapat kawal kereta tu masa turun bukit. Kita orang langgar kereta lain yang nak lalu simpang. Orang lain termasuk Juita hanya tahu cerita fasal kemalangan tu sampai situ saja. Sebab lepas tu kita orang terus hilang daripada hidup semua orang, termasuk kawan-kawan sekolah."

"Sebab apa?"

"Itulah yang I nak beritahu. Awal-awal lagi, apabila tahu saja hal kemalangan tu, keluarga kita orang terutama papa I cepat-cepat arahkan pihak berkuasa supaya halang orang ramai jangan sebarkan kemalangan tu. Nasib baik sebab waktu tu pun Facebook dan segala macam media sosial tak glamor lagi kat Malaysia. Istilah 'viral' agaknya pun orang tak berapa nak tahu lagi maknanya. Jadi, I dan Nabil dibawa ke hospital dan dirawat secara rahsia di sebuah hospital swasta.

"Apa yang jadi lepas kemalangan tu?" Aliff benar-benar ingin tahu.

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now