BAB 32

3 0 0
                                    

Malam itu juga, selepas selesai menunaikan solat isyak, Anum masuk ke laman maya komuniti seni yang mempertemukannya dengan Aliff sejak dua tahun yang lalu. Komuniti itu mempunyai pelbagai ruangan. Ada ruangan cerpen, sajak, novel bersiri, lukisan, fotografi, ruang sembang dan blog.

Setiap malam, selepas isyak memang itulah rutin kebiasaannya. Pada malam-malam minggu saja dia tiada dalam radar komuniti tersebut. Sama ada Anum akan keluar bersama rakan-rakan untuk menonton wayang lewat malam atau membantu di kafe ayahnya. Walaupun ayahnya kurang gemar Anum keluar lewat malam untuk menonton wayang, mujur rakan-rakan Anum itu memang ayahnya kenal baik. Rakan sebaya satu sekolah dulu. Berjiran pula. Jadi, secara tidak langsung Encik Wan Ariffin iaitu ayah Anum sendiri turut mengenali ayah rakan-rakan Anum. Bolehlah kalau Anum nak keluar menonton dua kali sebulan. Selebihnya, Anum lebih suka membantu di kafe ayahnya walaupun ayahnya memang sudah ada pekerja yang cukup. Kalau tidak, dia akan menghabiskan membaca buku-buku yang erm... adalah lebih daripada 100 buah yang masih berbaki belum dibaca lagi. Ada juga yang pembalutnya belum dibuka pun.

Dia log masuk akaun Wan Si Penunggu Cinta. Nama samaran itu adalah nama paling panjang yang pernah komuniti seni itu ada sejak diwujudkan. Dan sebab nama yang unik dan jiwang itulah, Wan Si Penunggu Cinta antara pengunjung yang popular walau tidak pernah hantar-hantar apa-apa karya. Dia hanya rajin jadi tukang komen untuk karya-karya yang tersiar lebih-lebih lagi kalau si penghantar itu adalah Aliff a.k.a. Aliff CEO, nama samaran Aliff.

Rasa berdebar-debar dalam hatinya memang tidak dapat dinafikan lagi. Selama dua tahun dia hanya menjadi pembaca, kali ini Anum akan mencipta sejarah apabila dia akan post sesuatu di komuniti seni itu. Bukan cerpen, sajak atau novel bersiri. Tetapi dia akan post entri pertamanya di blog komuniti itu. Setiap ahli yang telah mendaftar memang ada disediakan satu ruang untuk menulis selain daripada karya-karya mereka. Dan ruangan itu kiranya seperti blog jugalah. Ramai ahli baharu yang menggunakan ruangan itu untuk memperkenalkan diri. Ada yang tulis ala karangan siap dengan kenangan terindah dan terpahit yang pernah mereka alami. Ada juga yang tulis seringkas mungkin. Guna poin-poin saja. Dalam banyak-banyak kata pengenalan yang Anum pernah baca, tentulah pengenalan pertama daripada Aliff yang paling dia ingat sekali. Itulah kali pertama dia berkenalan dengan nama samaran Aliff CEO.

Pengenalan diri Aliff lucu tetapi masih mengekalkan beberapa kerahsiaan diri. Tidak seperti sesetengah ahli yang sangat berterus terang sehinggakan nombor telefon bimbit pun diletakkan di ruangan umum itu. Sah-sah mahu cari calon isteri atau suami!

Aliff beritahu yang inilah kali pertama dia tulis sesuatu untuk dibaca oleh orang lain dan rasanya seperti membogelkan diri sendiri dengan rela hati. Erk! Pada awalnya Anum tidak faham apa yang cuba disampiakna oleh Aliff itu, tetapi setelah selalu mengikuti cerpe-cerpen Aliff, dia mula menyedari sesuatu.

Aliff sebenarnya sedang membuka satu per satu rahsia dalam hatinya sama ada secara dia sedar ataupun tidak. Tapi yang pasti, Anum perasan sungguh tentang itu. Kenapa ya cerpen-cerpen Aliff sering berkisar tentang sesuatu atau seseorang yang hanya layak untuk dipuja dari jauh? Aliff seolah-olah ingin memberitahu bahawa dia ditakdirkan hanya utuk jadi pengagum sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Cerpen-cerpen Aliff itu membuatkan Anum menjadi terlalu ingin untuk mengenali susuk sebenar sang penulisnya. Maka, Anum mula memberanikan diri untuk menghantar pesanan peribadi di akaun Aliff CEO. Mula-mula sekadar bertanya khabar, lama-kelamaan mereka perbualan mereka lebih terarah kepada hal-hal lain seperti buku kesukaan dan filem kegemaran walau pada masa yang Anum rajin juga menjadi tukang komen yang setia pada cerpen-cerpen Aliff. Ya, itu sahajalah yang mereka selalu borakkan. Kalau nak bercerita fasal bola sepak, Aliff tidak minat menonton perwalanan bola sepak, begitu juga dengan Anum.

Anum tidak berlebih-lebihan dalam perbualannya dengan Aliff melalui pesanan peribadi. Cukuplah hal-hal dasar saja. Tidak pernah dia bertanya tentang keluarga Aliff, apatah lagi menjangkau tentang hal-hal peribadi lain misalnya sama ada Aliff sudah punyai hubungan istimewa dengan mana-mana gadis, atau sudah bertunang, atau adakah sudah membuat persiapan untuk majlis kenduri perkahwinan. Biarlah ia menjadi rahsia walaupun Anum teringin benar mahu tahu status Aliff.

Selama ini Anum tidak tahu pula yang seseorang itu boleh jatuh hati hanya dengan membaca karya-karya si penulis sahaja. Namun, apabila cerpen-cerpen Aliff yang pengakhirannya selalu sahaja berakhir dengan kesedihan dan tergantung, dia jadi ingin tahu siapa penulis yang menukang cerpen-cerpen tersebut. Lebih haru, ada juga cerpen-cerpen Aliff bersifat self-deprecation atau mengecil-ngecilkan diri sendiri seperti membuat lucu tentang diri sendiri, Anum dapat rasakan yang si penulisnya sedang cuba berlelucon untuk menutup rasa sedihnya. Mungkinkah?

Ah, sudah-sudahlah! Dia perlu selesaikan perkara yang lebih mustahak ketika ini.

***

Tajuk pada entri blog pertamanya ditaip: Entri Permohonan Maaf Secara Terbuka.

Assalammualaikum dan selamat malam. Ini merupakan kali pertama saya menulis apa-apa di komuniti ini. Tentu ramai yang tertanya-tanya entah apalah yang merasuk saya sehingga tiba-tiba saja mahu meminta maaf. Tapi, percayalah sesungguhnya memang ada yang merasuk saya ketika ini. Malah, ia merasuk saya sejak siang tadi.

Jadi apa yang menyebabkan saya tiba-tiba mahu membuat permohonan maaf?

Ia ada kaitan dengan Saudara Aliff atau lebih dikenali dengan nama pena Aliff CEO di laman ini.

Saya, Wan Penunggu Cinta dengan ini memohon maaf kepada seluruh ahli komuniti ini terutama pada Saudara Aliff kerana telah memperdayakan anda semua dengan tidak memberitahu jantina sebenar saya di alam realiti.

Saya sebenarnya adalah seorang wanita dengan nama asal, Anum. Jadi, segala teka-teki dan kepercayaan rakan-rakan semua tentang jantina saya seorang lelaki adalah karut semata-mata.

Saya membuat permohonan maaf secara terbuka ini kerana saya tidak mahu Saudara Aliff CEO terpalit dengan fitnah yang bukan-bukan yang mengatakan saya dan Aliff adalah pasangan hubungan sejenis dalam komuniti ini. Mintalah dijauhkan!

Kami hanyalah kenalan biasa sama seperti anda semua. Tidak lebih dan tidak kurang. Maafkan saya kerana selama ini telah mengelirukan anda semua. Saya juga memohon rakan-rakan yang lain supaya tidak ambil kesempatan untuk mempolitikkan, viral atau cuba-cuba untuk mengaut keuntungan dengan insiden ini.

Sekali lagi saya memohon sejuta kemaafan buat anda semua dan Saudara Aliff CEO. Mohon salah faham ini ditamatkan segera mulai sekarang.

Terima kasih.

Anum membaca sekali lagi entri permohonan maafnya itu sebelum menekan butang 'publish.' Dia tidak pandai mengarang kata, tetapi cukuplah isinya itu difahami oleh semua.

Buat Aliff, dia benar-benar minta maaf. Rasa bersalahnya masih lagi bersisa sehingga kini. 

Juita, Satu dalam SejutaWhere stories live. Discover now