PAGI semalam seharian panas terik. Rupanya hujan menyusul tidak berhenti sampai ke malam. Sejuknya sampai semua bersetuju untuk memperlahankan kelajuan kipas. Minggu ini, Alpha 122 ditugaskan pada sebelah malam pula.
"Macam dekat Kundasang bah sejuknya." Eric menggosok lengan kirinya dengan tapak tangan kanan untuk mengeluarkan haba.
Cik Ros dan Aira masuk ke bilik dengan air kopi hangat dan roti stim kaya. Sejak ada dua bunga dalam Alpha 122 ni, macam-macam hidangan kudapan kami dapat. Tapi aku syak sebenarnya Aira yang kuat makan. Dia nak cover line tak bagi orang perasan, dia bagi kami makan sekali. Mana taknya, timbunan nasi dia dengan nasi aku sama banyak dan aku memang jenis makan banyak.
"Minum-minum panaskan badan. Ni Aira ada stim roti. Sedap cicah dengan kaya. Jadi lembut rotinya." Pelawa Cik Ros.
Belum habis ayat pelawaannyapun, roti dan kopi sudah disambar. Memang betul. Roti putih kosong itu menjadi lebih gebu.
"Magik apa kau guna ni? Boleh la recommend dekat orang rumah. Kalau dekat rumah tu roti kosong budak-budak tak pandang. Nak juga diletak coklat bagai lepastu mak dia bisinglah gigi anak rongak makan manis banyak." Cik Zamani bertanya kepada Aira.
"Tak ada magik pun, roti putih tu potong empat lepastu kukus la dalam 10 ke 15 minit macam tu. Kaya ni guna je kaya beli dekat kedai campur susu cair bagi dia cair sikit. Tapi kalau lagi rajin boleh buat sendiri la guna telur, santan, air pandan dengan tepung jagung sikit." Aira memberitahu resepi yang tak berapa rahsia.
Aku baru sahaja menuang kopi hangat ke dalam cawan bila seruan membantu nusa bangsa berkumandang.
"Perhatian, perhatian! Panggilan kecemasan khidmat khas menyelamat mangsa terkandas banjir beralamat di Terowong Satria, Jalan Perkasa 1. Semua anggota bertugas diminta bersedia." Suara Eric berkumandang diikuti bunyi siren.
"Aku tak sebut apapun hari ni. Bagilah aku minum dulu dulu." Lew terus menggagau mencari air mineral. Siapa suruh sumbat tiga keping potongan roti sekali jalan? Kan dah mendapat. Sengaja cari fasal.
Kami terus turun menuju ke jentera.
"Bawa bot pelampung. Ada dua orang budak, seorang ibu mengandung dan suami dia." Arahan yang diberi oleh Cik Razak kami patuhi.
"Alex ambil selimut lebih." Laung Aira.
Kami semua terus bergegas ke lokasi kejadian.
"Assalamualaikum dan selamat malam PGO Selangor. Alpha 122 Siber Raya dipandu PBK KUP 171121 diketuai PBK II 151967 bersama anggota keluar khidmat khas menyelamat mangsa terkandas banjir beralamat di Terowong Satria, Jalan Perkasa 1. Bagaimana terima over." Cik Razak menyampaikan makluman kepada Pusat Gerakan Operasi.
"PGO Selangor terima dan standby over," balas anggota di hujung talian.
"Ni mesti kes confident boleh lepas tapi sangkut tengah jalan." Azlan mengagak.
"Terowong tu kan memang jalan dia macam mendap sikit dekat bahagian tengah. Dekat situ air tinggi lagi daripada masa masuk terowong." Aku memberi ulasan percuma.
Hujang masih turun renyai-renyai. Musim tengkujuh ini khabarnya akan berlarutan dua bulan lagi. Memang banyak kes banjir kilat yang akan berlaku di Siber Raya bila musim ini tiba.
Dari jauh sudah kelihatan beberapa kenderaan yang tersangkut di jalan berhampiran terowong sejauh 100 meter itu.
"Alex dan Aira tunggu sini. Azlan bawa dua kon letak dekat hujung terowong sebelah sana sebab kereta ni datang dari sebelah sana, yang lain tarik pelampung." arah Cik Razak.
Aku, Lew dan Kumar dan Encik Razak menarik bot pelampung terus ke kereta mangsa. Air yang asalnya paras buku lali kini naik separas pinggang. Mana mahunya kereta lepas. Sejuk betul air banjir ini.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...