Aik? Jumpa lagi.
Tak jauh daripada tempat kami berdiri kelihatan Adam Iskandar sedang bercekak pinggang sambil mengangkat kening memandang ke arah kami berdua.
"Sebelum Angah lapor dekat ayah baik Along buat penjarakan fizikal 1 meter." Adam mengugut.
Bukan aku berkepit dengan kakak dia. Antara aku dan Aira memang sudah ada jarak. Tetapi kerana menghormati wali Aira di hadapan aku, aku bergerak dua tapak ke sisi. Kalau adiknya sudah garang macam ni, ayahnya entah macam mana. Tapi mungkin adiknya ini garang kerana disiplin ketenteraan. Jadi ada harapanlah ayah Aira ni lebih berlembut.
Eh, kejap. Apa kaitan ayah dia garang ke tak dengan aku? Kenapa pula aku nak kisah dengan semua ni?
Aku dapat merasakan Adam sedang membuat analisis fizikal pada badan aku. Dipandangnya atas bawah dua kali kemudian dia memberi isyarat bahawa dia akan sentiasa memerhatikan aku.
Rupanya, pasukan Adam juga akan membantu kerja-kerja pemulihan di sini dan kami ditugaskan untuk membetulkan rumah yang sama.
Rumah kecil ini didiami oleh seorang ibu tunggal bersama tiga orang anaknya. Dia mengutip tin dan menoreh getah untuk menyara kehidupan. Suaminya meninggal akibat dipatuk ular ketika menoreh enam tahun lepas.
Bahagian dinding luar dan atap bilik tidur musnah dihempap pokok ketika ribut. Jadi kerja-kerja pembaikan akan difokuskan pada kawasan tersebut.
Aira berjumpa dengan tuan rumah dan anak-anaknya. Dia ditugaskan untuk memantau perkembangan emosi mereka di pasca bencana dan membantu mengemas apa yang patut.
Setelah bahan binaan tiba, kami terus masuk ke dalam rumah untuk mengeluarkan perabot dan barangan dalam bilik yang terjejas. Memang teruk keadaan dalam bilik itu. Kalau ada sesiapa yang tidur di sini, mungkin dia tidak akan dapat diselamatkan.
Deraian kaca tingkap bersepai merata. Dinding pecah separuh, syiling berbumbungkan langit dan almari pakaian roboh.
Aira datang menghampiri aku.
"Weh, minta tolong boleh? Carikan suami mak cik ni." Permintaan Aira menyebabkan dahi aku berkerut.
"Kau nak suruh aku bongkar kubur orang ke?" Aku bertanya semula.
"Tak," Aira menjingkit sedikit untuk berbisik.
Aku mengangguk faham.
"Ehem." Muka ketat Adam menyapa kami berdua.
Aira terus berlalu sambil mengepal penumbuknya ke arah Adam. Uish, garang!
Aku meminta bantuan Adam untuk menegakkan kembali almari yang tumbang. Baju-baju yang kotor kami kutip dan masukkan ke dalam plastik hitam. Nanti baju ini boleh dicuci semula.
Mata aku memerhatikan setiap sudut. Aku cuba mencari benda yang dibisikkan Aira tadi. Tiada di lantai. Pintu kecil pada bahagian atas almari aku buka. Bingo!
Aku terus membawa benda itu kepada Aira yang berada di ruang tamu bersama keluarga rumah ini.
Album gambar berwarna kuning itu aku serahkan kepada Aira kemudian aku kembali ke bilik tidur.
"Terima kasih cik, ni je la kenangan yang ada dengan arwah suami saya. Cincin kahwinpun dah tak ada dengan saya. Terima kasih." Album gambar itu dipeluk erat oleh Mak Cik Salbiah.
Gambar-gambar di dalamnya masih lagi elok. Satu per satu gambar ditunjukkan kepada Aira.
Pembersihan bahagian dalam bilik sudah selesai. Satu bahagian dinding yang runtuh separuh diruntuhkan sepenuhnya untuk membina dinding bertingkap baharu. Menurut anggota yang memeriksa bahagian bumbung, kerangka bumbung masih lagi kukuh walaupun ada yang sedikit bengkok jadi tidak perlu melakukan pertukaran kerangka bumbung.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...