Raja Sehari

4K 385 34
                                    

Dewan Serbaguna Siber Raya dihias indah dengan tema tradisional Melayu klasik. Pelamin nan indah yang menggabungkan warna kuning keemasan dan motif kayu coklat menyerlahkan lagi seri majlis ini.

Tangan Aira aku genggam.

Berburu rusa di hujung sempadan,
Rusa dijerat di tepi telaga,
Pengantin baru kita raikan,
Semoga kekal hingga ke syurga.

Pengacara majlis memberi serangkap pantun.

"Mengumumkan ketibaan mempelai yang diraikan Akmal Harith bin Ahmad Baihaqi dengan pasangannya Akmal Aira binti Zainuddin." Pengacara majlis membuat pengumuman.

Kami melangkah masuk ke dewan diiringi dengan alunan selawat sehingga tiba meja makan beradab. Di meja itu ada aku, Aira, emak, abah dan kedua-dua mentua aku.

"Marilah kita bersama-sama menadah tangan memohon keberkatan majlis. Dipersilakan Ustaz Syamsul untuk mengetuai bacaan doa."

Lafaz basmalah, tahmid dan selawat ke atas Rasulullah SAW dan keluarga baginda membuka tirai doa.

Ya Allah ya Tuhan kami,
Sesungguhnya pada hari ini kami menadah tangan penuh kesyukuran kerana atas izin dan limpah kurniaMu dapat kami berhimpun dalam majlis perkahwinan Akmal Harith bin Ahmad Baihaqi dengan pasangannya Akmal Aira binti Zainuddin.

Hiasilah pasangan ini dengan taqwa yang tidak berpenghujung, sabar seluas tujuh lautanMu, toleransi setinggi tujuh petala langitMu dan kasih sayang sedalam tujuh petala bumiMu.

Kurniakanlah mereka sebuah keluarga yang mawaddah, sakinah wa rahmah. Semoga daripada penyatuan kedua-dua hati ini lahir anak-anak yang soleh dan keturunan yang menjulang panji agamaMu.

Ya Allah ya Tuhan kami,
Berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta jauhkanlah kami daripada azab api neraka.

Amin, amin ya Rabbal alamin.

Tangan aku tekup ke wajah kemudian mata aku dan mata Aira bertentang. Semoga rumah tangga yang kami bina ini mampu menjadi sebuah rumah tangga yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Nasi minyak sudah terhidang. Tak ada udang galah panjat nanas atau ikan paus masak tiga rasa. Lauk yang dihidang kepada kami sama sahaja seperti lauk yang dihidangkan untuk para tetamu.

Bukan tak biasa makan nasi minyak tapi mungkin sebab ini nasi minyak kenduri sendiri, rasanya sedap lain macam. Nasi minyak berlauk daging masak hitam dipadankan dengan jelatah, acar buah dan papadom. Sempurna.

"Ayang, nak suap?" Aku berbisik.

"Nak suap tunggu balik. Segan orang tengok," balas Aira.

Uih, dekat rumah bukan main manja. Dekat luar, dia kekal dengan imej Akmal Aira yang sama. Tapi elok juga macam ni, manja dia biar aku sahaja yang tahu.

"Nak tambah lagi?" Aira bertanya kepada aku bila melihat pinggan aku hampir kosong. Tadi, yang sendukkan nasi orang katering. Segan pula nak minta tambah.

"Boleh juga." Aira mahu mencapai nasi tapi cepat-cepat mak tegah.

"Nak tambah, lepas majlis. Kalau nak tunggu kamu berdua ni habis makan, silap hari bulan tak dapat tangkap gambar dengan saudara mara kita. Pelamin tu kosong je tak diguna."

Akur dengan arahan mak, aku dan Aira tak menambah nasi. Kalau ikutkan larat lagi nak masuk dua pinggan.

Kami diarak naik ke pelamin. Tiada acara menepung tawar diadakan. Cuma sesi bergambar sahaja.

Biasalah, awalannya gambar dengan keluarga. Selepas itu dengan Alpha 122 pula. Macam-macam gaya la mereka buat.

18 orang wanita datang menghampiri pelamin. Ini dah macam separuh skuad kawad dah ni.

ALPHA 122Where stories live. Discover now