Pada hari pertama kami bertugas pada waktu 8 pagi hingga 8 malam, panggilan khidmat khas memujuk mangsa yang hendak membunuh diri diterima pada jam 8:30 pagi.
"Mangsa dekat tempat tingkat 8 hospital. Dia nak terjun daripada wad dia. Polis bantuan hospital sedang dalam usaha memujuk mangsa tapi keadaan nampak macam makin rumit." Cik Razak terus memberitahu pelan tindakan yang akan kami ambil.
Untuk operasi kali ini, 12 orang anggota Alpha 122 turun kecuali Sufi dan Eric yang berada di bilik kawalan balai.
Setibanya di hospital, kami berpecah kepada tiga pasukan kecil.
Luthfi, Cik Razak, Alex, Darwish dan Azlan berada di bawah untuk menyediakan beg udara keselamatan besar sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya mangsa jatuh tanpa sempat diselamatkan. Cik Ros, Aira, Cik Zamani dan Nufail naik ke tingkat 8 bagi membantu menenangkan mangsa. Aku, Lew dan Kumar naik ke tingkat 9 untuk membuat persediaan menyelamat mangsa menggunakan tali.
Lew mengikat tali ketat-ketat pada tiang bangunan. Kumar memeriksa tali dan pencangkuk yang aku akan gunakan untuk turun. Jaring keselamatan juga telah dipasang.
Setelah mendapat lampu hijau daripada pasukan di bawah tanda mereka sudah bersedia, aku memanjat ke luar balkoni dan mencari kedudukan terbaik untuk turun dan terus mengepit mangsa.
"Jangan kacau aku! Biar je aku mati!" Sebelah kaki mangsa sudahpun berada di bahagian luar. Dengan sedikit tolakan lagi, mangsa wanita itu akan terjatuh.
Aku risau kalau aku turun sekarang, dia akan terus terjun.
"Kak, nama saya Aira. Kita turun dulu kak. Akak boleh cerita dengan saya." Aira cuba memujuk.
"Dik, ramai orang boleh tolong adik. Jangan macam ni. Kita fikirkan sama-sama kak. Adik dah tak payah tanggung semua ni sendiri." Cik Ros menghulurkan tangan.
"Kau ingat dengan cakap je masalah aku ni boleh selesai ke? Kau tak faham penderitaan aku! Kau tak faham!" Mangsa yang meronta hilang keseimbangan dan terjatuh namun sempat ditarik tangannya oleh Aira yang berada paling hampir dengan mangsa. Tangan kanan Aira memegang tangan kiri mangsa.
Saat melihat mangsa itu hendak terjatuh, aku terus menendang dinding balkoni dan mengepit badan mangsa dengan kedua belah kaki. Serentak dengan itu, Lew dan Kumar melepaskan jaring keselamatan. Tangan kiri aku menekan brek tangan. Boleh tahan berat juga kakak ni. Dia yang ketakutan sehingga terkencing ditarik oleh Cik Zamani dan Azlan. Masuk semula ke dalam bangunan. Cik Ros terus memeluk mangsa yang menangis dan menggigil apabila sudah berada di pintu maut.
Aku juga ditarik masuk ke tingkat lapan. Mata aku terus mencari Aira kerana aku perasan sesuatu ketika Aira memaut tangan mangsa.
"Aira, bahu tak okay kan?" Aku terus bertanya Aira yang kelihatan sedang menahan sakit.
"Terseliuh sikit je ni. Saya nak tengok kakak tu." Aira cuba mengelak kerana dia mahu memeriksa keadaan mangsa.
"Orang lain boleh buat. Doktor, boleh tolong tengokkan bahu Aira? Macam terseliuh." Aku terus memanggil doktor perempuan di situ.
"Barang saya semua saya tinggal dekat dalam EMRS la. Kejap lagi saya periksa la." Aira tidak mengendahkan keadaannya padahal jelas dia sedang mengetap bibir menahan sakit.
"Cuba dengar cakap orang. Kalau awak tak sihat macam mana nak bantu orang lain? Barang nanti saya ambilkan. Pergi periksa dulu. Nanti apa-apa jadi dekat awak, saya juga yang kena menjawab dekat mak dan ayah." Aku minta dia berjumpa dengan doktor.
"Cik Ros, bahu Aira sakit." Aku terus melapor kepada Cik Ros yang sudah selesai menyerahkan mangsa kepada pakar psikologi hospital.
"Aira kenapa dengan bahunya?" Cik Ros menghampiri kami.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...