Selesai tugas penyelenggaraan alat pernafasan, aku membiarkan Lew, Azlan, Kumar dan Nufail jalan terlebih dahulu.
"Psttt... Psttt..." Aku memanggil Aira yang sudah menyiapkan tugasnya.
"Apa?" Aira memandang aku.
"Shhh, jangan kuat sangat." Aku meletakkan jari telunjuk di bibir dan memanggilnya untuk mendekati aku dengan isyarat tangan.
Tiada siapa lagi di balai yang mengetahui tentang perkembangan hubungan kami berdua. Bukan apa, sengaja nak bagi kejutan. Tiba-tiba hulur kad kahwin. Lagipun, penatlah kalau kena usik hari-hari.
"Awak, mak tanya, bila kita nak beli cincin tunang?" Aku menyampaikan soalan emak kepada Aira.
"Kena pergi beli sama-sama ke? Kalau awak je yang pergi, saya duduk diam dekat sini tak boleh?" Aira berjalan secara berundur supaya dapat melihat aku.
Dia ingat dia comel la tu? Kalau jatuh memang aku gelakkan je yang mampu. Bukan apa, nak sambutpun tak boleh, belum tukar status halal lagi.
Sekarang ni rasa macam tengah bercinta sorok-sorok pula. Depan orang lain, aku-kau. Bila berdua atau depan keluarga, kami bahasakan diri awak-saya. Tunggulah kahwin nanti, aku akan ranapkan ego seorang along yang menebal dalam jiwa Aira dengan memintanya memanggil aku abang. Bukan bererti aku nak dia jadi adik aku tapi aku tak tahulah, aku suka dengar mak dan abah aku guna gelaran abang-sayang rasa macam harmoni je rumah tangga. Aku ni nama je STORM tapi hati bertaman bunga.
"Pergi sama la, pilih sendiri nak cincin yang mana. Cuba terus biar saiz sesuai dengan jari. Bukan saya tahu ukuran jari awakpun. Lepastu nanti kalau design saya pilih tak kena dengan citarasa awak, dah susah." Aku mencari alasan untuk keluar bersama Aira.
Bukan keluar berdua, aku angkut sekali mak aku dan mak Aira kerana mereka yang banyak uruskan hal pertuangan kami. Aku nak keluar dengan Aira sebab dia pandai cari restoren makanan yang sedap dan aku tak pernah jejak. Kadang aku musykil juga. Mana dia jumpa semua restoren tu walaupun dia baru sahaja bertukar balai tak sampai setahunpun lagi. Bukan balai dekat-dekat, siap merentas negeri lagi.
"Tak susah, ukuran jari saya boleh bagi. Nak pilih tu senang je, tengok cincin yang ada berlian paling besar, ambil yang tu." Aira sempat lagi bergurau.
"Kena tangguh majlis ke 40 tahun lagi la kalau macam tu. Nak kena kumpul duit beli berlian." Aku melihat jari sambil acah menghitung tahun dan gaji aku yang tidak mencecah angka 5 lagi.
"Gurau je la, mana awak nak bagi saya terima je. Baru la ada kejutan gitu." Aira membalas kembali.
Suara Eric bergema dari bilik kawalan.
"Perhatian, perhatian, perhatian. Panggilan khidmat khas memotong cincin beralamat di Bahagian Kecemasan Hospital Siber Raya. Semua anggota bertugas diminta bersiap-sedia."
Baru sahaja cakap tentang cincin tadi, boleh pula ada kes cincin sangkut. Aku dan Aira terus pergi ke Engine Bay untuk bersiap-sedia.
Kali ini, operasi disertai oleh aku, Aira, Azlan, Kumar, Cik Ros dan Cik Zamani sebagai pemandu jentera.
Hospital itu terletak tidak jauh dari balai bomba. Lebih kurang 10 minit perjalanan sahaja. Tak sempat kerusi nak panas, kami sudah tiba di lokasi.
Aira yang bawa bersama satu peralatan khas untuk memotong cincin yang mempunyai pencungkil dan pemotong bulat yang tajam.
Masuk sahaja ke bahagian kecemasan, kami dibawa berjumpa dengan mangsa. Mangsa merupakan seorang wanita pertengahan usia yang emasnya satu badan. Aku tengokpun seram.
Rantai leher ada tiga, satu labuh melepasi dada, satu lagi di pangkal dada dan satu lagi seperti choker di leher. Gelang tangan kiri dan kanan sampai separuh lengan. Siap ada yang bersambung dengan rantai di cincin jari. Cincinnya di jari manis kanan ada dua. Satu cincin belah rotan, satu lagi berbatu permata kecil. Cincin di jari tengah sebelah kanan pula besar menutupi separuh jari. Di jemari kiri juga sama. Cincin besar di jari tengah tetapi jari manisnya berbalut dengan kain kasa.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...