Selepas solat isyak, aku terus turun. Ingat nak tempah burger awal. Rupanya sampai ke tangga, Aira juga berfikir yang sama rupanya. Elok sahaja kami terserempak di tangga.
"Awal turun?" Aku menegurnya.
"Ingat nak order burger untuk adik," balas Aira nakal lalu terus berlari menuruni tangga.
"Oi perangai!" Aku mengejarnya sengaja mengacah. Bukan aku boleh cempung dia masuk parit depan balai tu pun. Kalau boleh dah lama aku buat.
Aira sampai dahulu ke gerai burger Izzat.
"Kak, macam biasa ke?" Izzat bertanya.
"Ha macam biasa. Buat padu-padu tau."
Amboi, tak sampai dua bulan lagi Aira berkhidmat, dah boleh buat pesanan macam biasa. Nampak sangat pelanggan tetap di sini.
"Abang pun sama?" Izzat memandang aku.
"Hari ni abang diet la. Order sama tapi sos tak mahu leleh," balasku.
"Beres boss. Tunggu sekejap ya, nanti dah siap saya bagitahu." Izzat mula memotong roti.
Aku dan Aira duduk di meja batu berhampiran. Tak tahu nak mulakan macam mana. Aira meletakkan telefonnya di atas meja. Aku juga melakukan perkara yang sama.
"Nombor mak kau apa?" Aira bertanya.
Aku terus memasukkan nombor telefon mak aku ke dalam telefon Aira.
"Nak save nama apa ni? Mak Akmal?" Aku bertanya.
"Mak akupun mak Akmal juga. Mak kau nama siapa?" Aira bertanya.
"Asiah."
"Save la Mak Akmal."
Eh budak ni, memang ada yang nak kena cempung masuk parit. Apa beza dengan yang aku cadangkan tadi?
"Nombor ayah aku kau ada kan?" Aira bertanya.
"Ada tapi aku tak save la." Aira pernah menghubungi kedua-dua mak dan ayahnya menggunakan telefon aku jadi masih tersimpan dalam log panggilan.
"Simpan la nombor ayah aku. Ayah Akmal," cadang Aira.
"Ayah kau nama Zainuddin orang biasa panggil apa?" Aku bertanya.
"Cik Din la. Tipikal orang nama hujung Din," jawab Aira.
"Okay, aku simpan Ayah Akmal."
Aira memandang aku tidak puas hati. Tapi aku lantakkan sahaja.
"Nak telefon siapa dulu ni?" Aira bertanya.
"Osom, siapa kalah call parent yang menang." Aku memberi cadangan bernas.
Aira bersetuju dengan cadangan itu.
"Ooosom!"
Air lawan burung. Aira menang.
"Okay, call cepat." Aira tak tunggu lagi. Tak sempat aku memberi cadangan menang tiga kali, dia sudah menekan nombor ayahnya di telefon aku dan menyua telefon itu untuk aku angkat.
Jantung aku berdebar laju macam masuk acara larian 100 meter Olimpik kau tahu?
"Hello?" Suara ayah Aira kedengaran.
"Harap maaf nombor yang anda hubungi tidak dapat dicapai, sila cuba sebentar lagi." Aku cuba meniru suara operator telefon lalu panggilan itu aku matikan.
"Ngek la kau ni, dah la kau yang call ada ke tak dapat dicapai." Aira memukul dahinya dengan tapak tangan.
"Sabar kejap, bagi la aku ready dulu. Mana pernah aku telefon bapa orang. Bapa perempuan pula tu." Aku menarik nafas dalam dan menghembus perlahan.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...