Post Mortem Kebakaran

4K 425 57
                                        

Setelah dua malam menginap di hotel bulan sabit, aku akhirnya diberi kebenaran untuk pulang. Aku diberi rehat seminggu sebelum dibenarkan melapor diri untuk bertugas.

"Adik duduk dengan kami la seminggu. Nanti ada orang boleh tengok-tengokkan adik. Adik nak makan apa cakap je, mak masak." Tawaran hebat nan lumayan macam ini tidak hadir selalu. Seronoknya dimanjakan seminggu. Habis la naik lemak aku.

Belum sempat aku berkata apa-apa, abah sudah mencelah terlebih dahulu.

"Mana mahunya dia duduk dengan kita seminggu. Nanti dia nak kena buat laporan kemalangan, nak kena exercise balik untuk kuatkan badan lepastu walaupun dapat cuti rehat bila dah sihat ni kena sedia untuk panggilan tugas. Kalau dia duduk dengan kita, habislah awak asyik bagi makan je. Tak apa, saya dah cakap dengan Encik Razak minta tolong tengokkan Akmal ni. Lagipun Alpha ada dekat sana." Abah menolak tawaran emak tanpa berunding dengan aku terlebih dahulu. Sampainya hati... Maka hancur musnahlah harapan untuk bermanja bawah ketiak emakku syurgaku.

Aku sudah boleh berjalan seperti biasa cuma badan masih terasa sengal - sengal. Ada bahagian tubuh aku yang mengalami melecur tahap pertama. Sakit memang sakit tapi tidaklah parah mana. Tahan je la.

~
Emak dan abah aku jemput masuk ke rumah. Sampai di depan rumah, aku baru tersedar sesuatu. Kunci pintu rumah aku tak ada dekat aku. Aku cuba mengingati lokasi terakhir ia berada tetapi ingatan aku kabur. Keluar hospital ni pun, aku pakai pakaian yang mak bawakan untuk aku. Telefon akupun tidak ada bersama aku sebab kali terakhir aku tinggalkan dalam jentera sebelum menyertai operasi kebakaran bangunan.

"Mak, nampak kunci rumah adik tak?" Aku bertanya kepada mak aku memandangkan para emak ini mempunyai kuasa psikik yang mampu menemui semua barang yang hilang.

"La, kunci rumah kamu boleh pula tanya mak. Manalah mak tahu," jawab mak.

Ini masanya untuk gelabah biawak. Aku tak ada kunci rumah, tak ada telefon dan tak ada dompet. Baju kalis api aku entah di mana. Rasa macam diri baru kena rompak.

Mak menelefon seseorang.

"Assalamualaikum, Aira. Mak dah sampai ni tapi Akmal ni tak ada kunci nak masuk." Mak menelefon Aira rupanya sambil menekan butang pembesar suara.

"Waalaikumussalam, dah sampai rumah jemputlah masuk." Tiba-tiba pintu rumah aku terbuka.

Aik, dia ni buat apa dalam rumah aku?

Aira membuka pintu gril. Memang sah tu aku punya kunci rumah sebab ada rantai kunci kartun bomba. Awal sangat ni nak buat macam rumah sendiri.

Aira bersalaman dengan mak.

Tatkala kaki aku melangkah masuk, kedengaran serentak suara sorakan.

"Selamat pulang." Semua anggota Alpha bersama ahli keluarga masing-masing berada dalam rumah aku. Rupanya mereka menanti kehadiran aku pulang. Terima kasih, sahabat.

Ada huruf-huruf membentuk perkataan selamat pulang pada dinding. Ada sahabat seperjuangan dan ahli keluarga sedia menyambut aku pulang. Paling penting, makanan yang pelbagai ada di atas meja. Kepulangan ini satu nikmat.

Mak, Cik Ros, Aira dan para isteri Alpha 122 membentuk satu bulatan. Entah apa yang mereka sembangkan. Rancak benar nampaknya.

Geng atas 40, Cik Razak, Cik Zamani, dan abah sembang sekali.

"Luthfi, tahun depan kau dah geng dengan geng sebelah sana." Kumar mengusik memandangkan umur Luthfi sudah 39 tahun.

"Aku forever young la Kumar." Luthfi membuat penafian. Tapi memang betulpun. Luthfi betul-betul menjaga badannya macam orang muda.

ALPHA 122Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang