Peluang Kedua

3.7K 416 99
                                    

Lubang hidung aku sejuk.

Heh, jangan ketawa. Aku serius ni. Lubang hidung aku rasa macam diletak ais. Kebas. Bukan ke kalau meninggal dunia orang letak kapas? Siapa yang nak prank aku pergi letak minyak angin dekat lubang hidung ni?

Badan aku langsung tak boleh bergerak. Macam dihempap gajah. Walaupun aku tak tahu rasanya dihempap gajah. Tapi agaknya lebih kurang macam ni la. Berat. Terlalu berat hatta untuk mengangkat satu jari sekalipun.

Aku dapat rasakan anak mata aku bergerak. Perlahan-lahan aku cuba membuka mata tetapi beratnya ya ampun, seperti digayut setan.

Mata aku menangkap sorotan cahaya yang berpusu masuk ke dalam mata. Usaha untuk membuka mata tadi terus ranap. Mata yang baru terbuka 0.2 cm terkatup rapat semula.

Usaha membuka mata aku mulakan semula. Teringin juga nak tahu aku berada dekat alam mana satu sekarang. Perlahan-lahan mata aku buka semula tetapi sekadar cukup untuk melihat apa yang berada berhampiran aku.

Di alam ini, ada bidadari. Cantik. Raut wajahnya lembut sahaja. Dia tunduk merenung sesuatu. Pandangannya redup. Dia mengangkat sesuatu dan memandangnya dengan penuh syahdu. Aku tak pasti benda putih apa yang dipegang. Nampak macam pau. Sah, memang pau kerana ia masuk ke dalam mulut bidadari yang berpakaian merah jambu pastel itu.

Bukan bidadari pakai baju putih ke? Haih, dekat bumi ada bidadari kuat makan. Dalam alam ni pun sama juga ke?

"Akmal, bangun la cepat. Pau ni sedap tau." Aku kenal suara itu.

Mata aku katup semula acah belum sedar lagi. Itu Akmal Aira, bakal bidadari aku yang kuat makan . Maknanya aku masih bernyawa lagi. Syukur untuk peluang kedua ini.

Nasib baiklah aku bomba. Cuba kau bayangkan kalau aku ni penulis novel atau penulis skrip drama rantaian. Sah kena maki. Dah tulis tamat riwayat tiba-tiba hidup balik.

"Akmal, lepasni saya tak minta dah yang pelik-pelik. Tak mahu cincin permata besar. Saya tak merajuk lagi dah. Saya tak ambil biskut ke buah ke yang awak simpan. Roti pun saya tak kacau." Aku mendengar sesi pengakuan Aira. Patut la kadang tu stok makanan aku susut. Tapi aku diamkan sahajalah sebab makanan itu akan bertambah semula. Baru aku tahu Aira punya kerja rupanya.

"Awak, cincin tunang kita ni cantik sangat. Saya suka, nampak ringkas tapi elegant. Tapi sampai hati kan awak tak datang majlis pertunangan sendiri. Kesian mak sarung cincin dekat tangan saya sambil nangis. Banyak kali mak tanya saya sungguh ke nak bertunang sebab tak tahu awak sedar bila. Tapi saya tahu dan yakin awak akan sedar jadi saya teruskan juga. Awak akan sedar kan? Dah tiga hari dah ni. Sampai bila awak nak tidur?" Aira menyeka air matanya. Cincin emas bertatahkan batu zirkon ditatap sayu. 

Sekejap lagilah aku usaha nak bagitahu aku dah bangun. Seronok pula dengar pengakuan Aira ni. Entah apa lagi yang hendak dia katakan.

"Dalam bilik kawalan masa awak luahkan perasaan dekat saya, jantung saya rasa macam nak tercabut sebab saya tak jangka luahan awak tu. Saya ingat tu dah krisis jantung paling parah yang saya pernah alami. Tapi bila saya nampak ada sahabat dari Kuala Lumut pikul awak keluar, jantung saya rasa macam berhenti berdetak. Saya dah cuba habis baik bagi first aid tapi tak tahulah membantu awak ke tak. Saya takut. Saya takut sangat kehilangan awak." Makin lebat pula air mata Aira.

Aku cuba menggerakkan jari aku yang berhampiran dengan Aira supaya dia sedar bahawa aku dah sedar. Tetapi mungkin air matanya mengganggu penglihatan, dia tak nampak jemari yang aku cuba gerakkan. Aku mencari jalan lain. Tak silap aku ada butang kecemasan berhampiran tangan orang yang tidak sedarkan diri seperti aku.

Butang yang berada di tangan kiri aku tekan. 

Loceng penggera yang berbunyi menyebabkan Aira sedikit panik . Aku pula tidak dapat bercakap kerana mulut ditutupi topeng oksigen. 

ALPHA 122Where stories live. Discover now